Jumaat, 7 Oktober 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Penuntut ceriakan warga emas

Posted:

Penuntut ceriakan warga emas

Penuntut ceriakan warga emas

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my


PARA penuntut UniKL gembira bersama warga emas ketika program HAT di Rumah Seri Kenangan, Tanjung Rambutan, Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 6 Okt. – Golongan warga emas perlu diberi perhatian oleh setiap anggota masyarakat dalam memastikan mereka dapat meneruskan sisa kehidupan dalam suasana yang selesa dan mendapat pembelaan.

Justeru, bagi menggembirakan golongan tersebut yang tidak mempunyai tempat bergantung, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP) di sini, mengadakan program Humanitarian Aid (HAT) bersama warga emas di Rumah Seri Kenangan, Tanjung Rambutan di sini, baru-baru ini.

Program sehari itu bertujuan beramah-mesra dengan warga emas yang sebahagian besarnya tidak lagi mempunyai saudara-mara dan dipinggirkan oleh ahli keluarga yang lain.

Peserta turut melakukan pemeriksaan kesihatan dan memberi rawatan fisioterapi kepada beberapa warga emas yang tidak berupaya di samping mendedahkan penuntut dengan pengalaman merawat pesakit warga emas dan bekas pesakit mental.

Program Kemasyarakatan UniKL RCMP itu bermula pukul 8.30 pagi dengan aktiviti pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh Pensyarah Perubatan UniKL RCMP, Prof. Madya Dr. Abdul Karim Russ Hassan.

Beliau dibantu oleh tiga jururawat dari Pejabat Kesihatan Kinta di sini serta 22 kakitangan dan 40 mahasiswa program Sains Kesihatan Bersekutu UniKL RCMP.

Pasukan Fisioterapi UniKL RCMP diketuai oleh Wan Rosli Wan Yusuf juga meluangkan masa melawat ke setiap asrama.

Wan Rosli berkata, ia untuk melakukan urutan pemulihan anggota bagi mengembalikan kecerdasan dan melancarkan perjalanan darah penghuni yang mengalami pelbagai komplikasi penyakit, terutama berkaitan saraf.

"Kita membawa 12 penuntut kejururawatan untuk membantu penghuni yang mengalami kemurungan bagi mendapatkan udara segar dan cahaya matahari selain berkomunikasi dengan mereka," katanya.

Menurut beliau, program itu mendapat sambutan yang baik daripada kalangan penghuni di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ketua Pembantu Rumah Seri Kenangan, Aziz Ariffin dalam ucapan penutup program itu berterima kasih kepada kakitangan dan penuntut UniKL RCMP kerana membantu penghuni berkenaan.

Katanya, aktiviti itu dapat membantu mengurangkan masalah kemurungan dalam kalangan penghuni warga emas yang memerlukan sokongan moral daripada semua pihak.

Asap kilang didakwa ganggu penduduk

Posted:

Asap kilang didakwa ganggu penduduk

Asap kilang didakwa ganggu penduduk

ALOR SETAR 6 Okt. - Lebih 300 penduduk Kampung Anak Bukit Mu'adzam Shah di sini, kesal dengan sikap kerajaan negeri yang mungkir janji apabila gagal mengatasi masalah pencemaran asap yang dikeluarkan oleh sebuah kilang kopi di kampung itu.

Wakil penduduk, Ahmad Tarmizi Sulaiman, 40, berkata, masalah yang berlarutan sejak 20 lalu itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini apabila kilang tersebut dikatakan menambah mesin bagi mengembangkan operasi.

Menurutnya, kilang tersebut dibina tanpa cerobong asap dan kedudukannya hanya antara tiga hingga 10 meter dari rumah penduduk.

"Asap tebal yang dilepaskan sekitar pukul 8.30 pagi hingga 12 tengah hari menyebabkan dinding rumah dan baju-baju yang dijemur di luar rumah menjadi kotor, hitam dan berbau kopi," katanya ketika mengunjungi pejabat Utusan Melayu (M) Bhd. di sini, hari ini.

Tarmizi berkata, asap tebal itu juga menyebabkan penduduk sering menghadapi masalah kesihatan seperti batuk, asma, alahan dan gatal-gatal kulit.

Beliau berkata, penduduk sudah lebih lima kali bertemu dengan pihak pengurusan kilang itu untuk berbincang bagi mengatasi masalah tersebut, tetapi tiada jalan penyelesaian diambil.

Menurutnya, aduan kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah turut dibuat, namun masalah tersebut masih berlarutan.

"Dalam satu surat pada 23 Julai 2009 yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi, beliau mengarahkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan JAS mengambil tindakan.

"MBAS seterusnya dalam siasatannya mendapati kilang itu tidak sesuai dibina di tengah-tengah kawasan penduduk," katanya.

Tarmizi berkata, dalam surat MBAS dan JAS bertarikh 25 Mei lalu, kilang itu diarahkan ditutup dan dipindahkan ke Bukit Pinang.

"Tetapi hingga sekarang kilang itu masih beroperasi dan ada pihak memberitahu mereka masih diberikan lesen sementara," jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri seolah-olah 'lepas tangan' terhadap masalah itu walhal tindakan segera sepatutnya boleh diambil untuk kebaikan penduduk.

Menurutnya, pejabat Menteri Besar telah mengeluarkan surat pada 14 Jun 1998 yang berjanji akan menutup kilang tersebut, tetapi janji tersebut tidak dikotakan.

"Penduduk sudah bosan dengan janji-janji kerajaan negeri dan pada masa sama penduduk terus berdepan dengan masalah asap itu setiap hari," jelasnya.

Kata Tarmizi, penduduk juga hairan mengapa kilang tersebut seperti 'kebal' daripada diambil tindakan sedangkan aduan telah lama dibuat.

Pusat Biotex Herba di Perlis

Posted:

Pusat Biotex Herba di Perlis

Pusat Biotex Herba di Perlis

KANGAR 6 Okt. – Pusat Biotek Herba Technology Park Malaysia (TPM) di Perlis yang bernilai lebih RM20 juta, mampu menampung permintaan tinggi dalam kalangan usahawan, khususnya di utara tanah air bagi membantu pengeluaran produk berasaskan herba dan buah-buahan sebaik sahaja ia beroperasi Mac 2012.

Beroperasi di atas tapak seluas 8.09 hektar di Bukit Ayer di sini, pusat itu turut menyasarkan penglibatan lebih ramai usahawan khususnya industri kecil dan sederhana (IKS) yang menghasilkan produk seumpama itu dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Ini kerana di bawah pengurusan TPM Biotech Sdn. Bhd., anak syarikat TPM Corporation Sdn. Bhd. iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pusat berkenaan akan menggunakan peralatan pemprosesan herba dan buah-buahan terkini dan canggih untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Pengerusi TPM, Datuk Nasarudin Hashim yakin usahawan, khususnya IKS di utara tanah air akan memberi sambutan memberangsangkan untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pusat tersebut.

"Kini, usahawan yang mempunyai produk tetapi tidak memiliki kilang boleh mendapatkan perkhidmatan pusat ini untuk mengeluarkan produk masing-masing seperti kordial, buah-buahan kering, serbuk buah-buahan, sos, minuman herba serta makanan bayi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat dan mendengar taklimat mengenai pusat itu daripada Pengurus Kanan TPM Biotech, Fadzhairi Abd. Jabar di Bukit Ayer di sini, semalam.

Menurutnya, keistimewaan yang diperoleh oleh usahawan yang menggunakan perkhidmatan pusat itu ialah pengeluaran produk menerusi kilang yang mengikut ketetapan tertentu termasuk Amalan Pengilangan Baik (GMP).

"Malah menerusi pengeluaran di kilang pusat ini, produk usahawan lebih mudah memperoleh sijil halal, antara proses yang sukar untuk diperoleh kerana perlu menepati beberapa syarat ditetapkan pihak berkenaan," tambah beliau.

Sementara itu, Fadzhairi pula berkata, pusat itu menyediakan perkhidmatan dari peringkat penyelidikan herba sehingga proses pengilangan untuk memberikan kemudahan kepada usahawan dalam mengeluarkan produk.

"Usahawan yang tidak mempunyai kilang untuk mengeluarkan produk boleh menandatangani kontrak pengilangan dengan kadar tertentu dikenakan, antaranya meliputi kos seperti pembiayaan kadar elektrik dan tenaga kerja.

"Mereka (usahawan) boleh mengeluarkan produk mengikut kehendak masing-masing, sama ada dalam bentuk kordial, serbuk dan sebagainya kerana pusat ini mempunyai peralatan berteknologi tinggi dan mampu meningkatkan pengeluaran berdasarkan permintaan," katanya.

Ditanya bagaimana sekiranya terdapat usahawan mahu mengeluarkan produk tidak berasaskan makanan atau minuman seperti minyak wangi dan sebagainya, Fadzhairi berkata, pihaknya menerima permintaan seumpama itu kerana mempunyai sebuah lagi pusat biotek di Raub, Pahang yang beroperasi sejak 2006.

"Tiada masalah kerana ada kerjasama dengan pusat (biotek) di Raub. Sekiranya pusat di Perlis tidak dapat mengeluarkan sesuatu produk kerana ketiadaan peralatan bersesuaian, ia akan dihantar ke Raub dan begitu juga sebaliknya," ujar beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved