Isnin, 3 Oktober 2011

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Saksi tak sedar tanda tangani perjanjian

Posted:

Saksi tak sedar tanda tangani perjanjian

Saksi tak sedar tanda tangani perjanjian

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Tan Sri Dr. Ting Chew Peh hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak menyedari telah menandatangani perjanjian jual beli tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tanpa sebarang pemberian kuasa (authorisation) daripada Kabinet.

Chew Peh yang memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga 2004 bagaimanapun berkata, terma dan syarat perjanjian itu yang ditandatangani pada 20 November 2002 sebenarnya telah dipersetujui oleh jemaah LPK.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersetuju bahawa tiada mesyuarat diadakan untuk membincangkan perjanjian tersebut sebelum ia ditandatangani.

Bekas Setiausaha Agung MCA itu memberitahu demikian ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup pada perbicaraan kes terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik.

Manoj dalam satu soalan mengatakan, pada hakikatnya perjanjian jual beli antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) dan LPK itu telah ditandatangani tetapi tidak dimaklumkan dalam mesyuarat.

Saksi pendakwa kesembilan itu yang kini Pengarah Bukan Eksekutif Hua Yang Bhd. bagaimanapun menjawab, beliau tidak mengingatinya namun mungkin ada dimaklumkan.

Liong Sik sedang dibicarakan atas satu tuduhan utama pindaan dan dua tuduhan pilihan pindaan berhubung penipuan terhadap Kerajaan Malaysia.

Pada awal prosiding yang masuk hari ke-15 hari ini, Chew Peh berkata, maklumat Jemaah Menteri adalah tanah tersebut yang akan diperoleh mengikut Seksyen 3(1) Akta Pengambilan Tanah 1960 berdepan dengan beberapa masalah dan berlarutan sehingga dua tahun setengah.

Katanya, Jemaah Lembaga LPK bersetuju dengan keputusan LPK yang memutuskan untuk mencuba membeli tanah tersebut walaupun keputusan Kementerian Kewangan (MOF) pada masa itu adalah untuk memperoleh tanah.

Menurut pertuduhan, bekas Presiden MCA itu didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta-fakta berkaitan pembelian tanah membabitkan RM1.08 bilion.

Perbuatan tersebut didakwa berlaku antara 25 September dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi itu, bersambung esok dengan giliran peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik untuk menyoal balas Chew Peh.

Pelakon Mr. Mama tidak setuju tawaran suami

Posted:

Pelakon Mr. Mama tidak setuju tawaran suami

Pelakon Mr. Mama tidak setuju tawaran suami

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Pelakon wanita utama yang membintangi drama bersiri Mr. Mama, Jasmine Mohamad Ashraff tidak bersetuju dengan tawaran penyelesaian berhubung tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) yang dikemukakan oleh suaminya, Muhammad Darren Jibran.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili Muhammad Darren selaku plaintif dalam tuntutan hak penjagaan anak lelaki pasangan tersebut, Muhammad Daniel Jibran yang berusia setahun tujuh bulan.

Menurut peguam itu, Jasmine, 31, juga tidak bersetuju terhadap permohonan Muhammad Dareen, 30, yang menuntut agar terma hak lawatan kanak-kanak tersebut dipinda kepada tanpa kehadiran dramatis berkenaan.

''Kedua-dua pihak melalui permohonan inter-parte (antara pihak) pada prosiding 7 April lalu bersetuju terhadap terma hak lawatan kepada Muhammad Darren dalam seminggu sekali dan dimestikan dengan kehadiran Jasmine.

''Oleh demikian, anak guam saya memohon agar terma hak lawatan itu dipinda dengan 'tanpa kehadiran Jasmine','' ujar Azmi di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Peguam syarie, Abdul Halim Bahari yang mewakili Jasmine selaku defendan kemudian memberitahu, kegagalan penyelesaian itu tidak boleh dipersalahkan kepada anak guamnya kerana terdapat beberapa cadangan yang diusulkan oleh defendan tidak dipersetujui oleh Muhammad Darren.

Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain kemudian menjelaskan, mahkamah tidak boleh menetapkan sebarang keputusan berhubung pindaan itu kerana persetujuan sebelum ini dibuat secara inter-parte.

Beliau menjelaskan memandangkan ia dibuat menerusi inter-parte, setiap pihak mestilah bersetuju secara bersama jika hendak meminda terma hak lawatan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 November ini untuk perbicaraan berhubung tuntutan hadanah tersebut.

Jasmine yang memegang watak 'Suria' dalam drama bersiri itu hadir ke prosiding hari ini dengan beberapa ahli keluarga terdekatnya.

Muhammad Darren yang bekerja sebagai jurutera turut hadir ke mahkamah hari ini. Beliau memfailkan tuntutan hadanah itu terhadap Jasmine pada 17 Februari lalu.

Dalam tuntutan tersebut, Muhammad Darren mendakwa, wanita terbabit telah menafikan hak pengawasan anak mereka terhadapnya dan ibu bapanya.

Pasangan berkenaan yang berkahwin pada 7 Mac 2009 di Selangor kini dalam proses untuk bercerai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved