Isnin, 3 Oktober 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Hudud: Kukuhkan dahulu Islam agama Persekutuan

Posted:

Hudud: Kukuhkan dahulu Islam agama Persekutuan

Hudud: Kukuhkan dahulu Islam agama Persekutuan

IPOH 2 Okt. – Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum mana-mana pihak mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ia dapat dilakukan di peringkat Kerajaan Pusat dengan memperkasakan Perlembagaan sebagai institusi perundangan tertinggi negara.

Beliau berkata, senario semasa menunjukkan banyak isu melibatkan kepentingan Islam tidak dapat ditangani walaupun Perlembagaan jelas meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara kerana Islam hanya dilaksanakan di peringkat negeri pada masa ini.

''Dalam Perlembagaan, agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang Islam tetapi apa tindakan Kerajaan Persekutuan dan polis. Apabila tidak ada undang-undang yang kukuh, inilah yang berlaku, orang tidak hormat Islam.

''Begitu juga dalam perbicaraan melibatkan konflik antara Islam dan agama lain. Islam mesti diutamakan tetapi kenapa agama lain diutamakan? Sebab pentadbiran Persekutuan tidak laksana," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harussani juga menegaskan bahawa mata pelajaran Pengajian Islam perlu diwajibkan kepada semua pelajar di sekolah sebagai antara usaha memperkukuhkan kedudukan Islam di negara ini.

Di samping itu, beliau menggesa supaya perkara-perkara utama lain dalam Perlembagaan seperti kedudukan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu mesti diperkukuhkan.

''Sekarang, kebanyakan surat perjanjian ditulis dalam bahasa Inggeris, malah peguam juga menggunakan bahasa Inggeris dalam mahkamah seolah-olah Malaysia ini negara orang putih.

''Bahasa Melayu sudah tidak ada nilai di negara ini sedangkan bahasa Melayu dulu diguna pakai di seluruh Kepulauan Melayu dan Asia. Kita sendiri yang merendahkan bahasa," katanya.

Dalam pada itu, Harussani melahirkan rasa kecewa beliau terhadap sikap dingin yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia semasa menyambut Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

''Semua orang patut wajib menyambut Hari Kemerdekaan sebagai sebuah parti dan mereka yang tidak mengambil bahagian adalah tidak patriotik. Yang mengecewakan, yang menyambut 99 peratus adalah Melayu, seolah-olah merdeka ini milik kerajaan," ujarnya.

Islam mahu manusia menghukum dengan adil - Tun M

Posted:

Islam mahu manusia menghukum dengan adil - Tun M

Islam mahu manusia menghukum dengan adil - Tun M

KUBANG PASU 2 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, adalah tidak adil sekiranya Pas melaksanakan hukum hudud di negara ini dengan melibatkan orang Islam sahaja dan bukan Islam pula dikecualikan daripada hukuman itu.

Menurut beliau, ajaran Islam mahukan manusia menghukum dengan adil atas kesalahan yang dilakukan.

Katanya, pelaksanaan hukum hudud di negara ini sepatutnya mengambil kira keadaan rakyat negara ini yang mempunyai pelbagai agama.

"Dalam negara kita terdapat penduduk berbilang agama, kalau 100 peratus Islam, tak mengapalah. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kata hudud hendak dilaksanakan untuk orang Islam sahaja.

"Jadi apabila dua orang mencuri, seorang beragama Islam dan seorang lagi bukan Islam, yang seorang potong tangan (dan) yang seorang lagi masuk penjara. Adilkah itu?

"Barang kali bagi Nik Abdul Aziz adil, bagi saya tak adillah. Sama-samalah kalau potong tangan, potong tangan. Kalau nak masuk dalam jel, masuk jel sama-sama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Perhimpunan Perdana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kedah Siri 2 Dewan Wawasan Jitra di sini hari ini.

Menurutnya, adalah tidak adil sekiranya jenayah yang sama tetapi hukuman adalah berbeza jika ia dilakukan oleh dua orang berlainan agama.

Beliau ditanya mengenai pendirian Pas yang masih berharap untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini jika pembangkang mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Nik Abdul Aziz semalam dilaporkan berkata, pelaksanaan hukum hudud hanya melibatkan orang Islam dan masyarakat bukan Islam seharusnya tidak perlu risau.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan bukan tidak setuju dengan hukum hudud tetapi keadaan dalam negara ini yang mempunyai berbilang agama menjadikannya tidak sesuai dilaksanakan.

Ditanya mengenai sama ada bekas ketua gerila komunis Malaysia, Chin Peng yang dilaporkan sedang sakit patut dibenarkan pulang ke negara ini, Dr. Mahathir berkata, ia perlu mengambil kira sensiviti orang ramai.

Katanya, walaupun mungkin ada rakyat yang memaafkan Chin Peng, lebih ramai yang tidak dapat menerima perbuatannya itu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

"Dia pilih untuk mengkhianati negara. Walaupun ada orang yang mungkin hendak memaafkan dia, tetapi lebih ramai yang tidak akan memaafkannya kerana mereka kehilangan keluarga dalam peperangan, putus kaki dan tangan. Kita kena fikir perasaan orang itu sama, jangan fikir tentang perasan Chin Peng sahaja," ujar beliau.

Malaysia raih Anugerah Cemerlang kerajaan Australia Barat

Posted:

Malaysia raih Anugerah Cemerlang kerajaan Australia Barat

Malaysia raih Anugerah Cemerlang kerajaan Australia Barat

Oleh Amir Sarifudin

PERTH 2 Okt. – Penglibatan 33 usahawan Malaysia dalam Ekspo Pavilion Malaysia pada Perth Royal Show dari semalam hingga 8 Oktober ini mendapat pengiktirafan kerajaan Australia Barat yang memberi Anugerah Cemerlang berdasarkan kesungguhan dan standard pelbagai produk yang dipasarkan.

Presiden Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad memberitahu, pengiktirafan itu membuktikan produk-produk usahawan bumiputera mampu menembusi pasaran negara maju.

"Pada pameran yang pertama kali melibatkan usahawan Malaysia di Perth Royal Show pada 2005, tiada sebarang pengiktirafan diberikan. Dalam pembabitan kali kedua ini, kita telah diberi Anugerah Cemerlang oleh kerajaan Australia Barat," katanya di sini, hari ini.

Anugerah Cemerlang itu disampaikan oleh Menteri Pemakanan, Pertanian dan Perhutanan Australia, Terry Redman kepada Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mah Siew Keong pada satu majlis di sini, semalam.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, anugerah itu adalah untuk para usahawan yang terlibat memperkenalkan produk-produk Malaysia seperti kraftangan, makanan beku selain seni dan budaya.

Secara tidak langsung katanya, ia satu anjakan kepada kejayaan usahawan bumiputera dalam memperluaskan lagi pasaran produk-produk mereka.

"Melalui pengiktirafan ini, kita merancang memperluaskan lagi pasaran produk-produk bumiputera ke seluruh Australia seperti Sydney, Adelaide.

"Kita juga merancang membawa produk-produk baru dari Malaysia untuk pasaran Australia termasuk produk makanan kering," katanya.

Beliau berkata, pada pembukaan dan perasmian Pavilion Malaysia semalam, jumlah pengunjung dianggarkan melebihi 10,000 orang.

"Hari ini jumlah pengunjung melebihi 30,000 orang memandangkan hujung minggu," katanya. – Utusan

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved