Khamis, 22 September 2011

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Banyak jalan perlu dibaiki

Posted:

Banyak jalan perlu dibaiki

Banyak jalan perlu dibaiki

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


Sebuah kereta melalui jalan tar yang rosak di simpang tiga Jalan Batas Paip-Yan ke Taman Bersatu, Kuala Kedah, baru-baru ini. – utusan/Kamal Basir


ALOR SETAR 21 Sept. - Penduduk di kebanyakan kawasan di negeri ini merungut dengan keadaan jalan raya yang rosak dan sempit hingga menyukarkan pengguna melaluinya setiap hari.

Keadaan tersebut bukan sahaja mewujudkan keadaan yang kurang selesa, malah boleh membahayakan pengguna jalan-jalan berkenaan khususnya pada waktu malam atau ketika hujan.

Lebih mengecewakan penduduk ialah kerajaan negeri hanya menggunakan kira-kira RM50 juta daripada RM150 juta peruntukan yang diberi kerajaan Persekutuan untuk membaiki jalan-jalan yang rosak.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini mendapati, rata-rata pengguna jalan raya kesal dengan masalah itu yang berlarutan sejak sekian lama seolah-olah dibiarkan begitu sahaja oleh kerajaan negeri walaupun telah banyak kali diketengahkan.

Sebahagian jalan yang dibaiki pula didakwa menggunakan bahan yang tidak tahan lama seperti simen sehingga menyebabkan ia terpaksa diturap semula apabila rosak.

Masalah itu amat ketara di banyak kawasan seperti simpang tiga Jalan Batas Paip-Yan ke Taman Bersatu, Kuala Kedah dan jalan utama di Kawasan Perindustrian Mergong II.

Selain itu, tinjauan juga mendapati beberapa jambatan seperti di jalan utama yang menghubungkan sempadan Pendang dan Alor Setar berdekatan pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Titi Haji Idris terlalu sempit sehingga membahayakan pengguna.

Sehubungan itu, kerajaan negeri digesa mengambil tindakan yang sewajarnya dengan menyelenggara dan memperbesarkan jalan berkenaan secepat mungkin demi keselesaan serta keselamatan orang ramai yang menggunakannya.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Titi Haji Idris, Shafie Rejab, 60, memberitahu, masalah titi sempit di jalan kampung itu sudah disuarakan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, titi yang sempit boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu kenderaan terutama pada waktu malam dan sepanjang pengetahuannya, tujuh nyawa telah terkorban akibat kemalangan di situ.

"Kami hairan kerana sehingga sekarang masalah ini tidak diselesaikan. Jika kerajaan negeri mempunyai lebihan peruntukan untuk menyelenggara dan membaiki jalan, kenapa ia perlu disimpan sedangkan masih banyak jalan yang perlu dibaik pulih," katanya.

Isu penyelenggaraan jalan raya di negeri ini menjadi perhatian apabila ia dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lepas setelah kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM50 juta sahaja daripada peruntukan kerajaan Persekutuan sebanyak RM150 juta.

Kerajaan negeri memaklumkan lebihan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada Kedah untuk menyelenggara jalan raya bagi 2010 dimasukkan ke dalam sebuah tabung amanah.

Bagaimanapun, pembangkang di negeri ini mempersoalkan tindakan berkenaan kerana masih banyak jalan di negeri ini yang perlu diselenggara.

Mereka berpendapat, Kerajaan Pas Kedah perlu menggunakan lebihan peruntukan yang disalurkan kerajaan Persekutuan bagi menyelenggara jalan raya selain perlu menjelaskan kedudukan baki wang berkenaan.

Seorang penduduk, Azman Rahim, 45, berkata, jika masalah jalan rosak dan sempit terus dibiarkan, keadaan akan bertambah teruk pada setiap hari dan kos untuk menyelenggara juga akan bertambah.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri perlu mengambil perhatian serius terhadap perkara berkenaan menerusi peruntukan yang ada demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

"Kami harap pihak berkenaan lebih prihatin terhadap masalah yang dihadapi yang seolah-olah tiada kesudahan ini. Sudah ada peruntukan daripada kerajaan Pusat, gunakanlah," katanya.

Mahu terma untungkan semua

Posted:

Mahu terma untungkan semua

Mahu terma untungkan semua

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 21 Sept. – Kerajaan negeri tidak memeterai perjanjian penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Semenanjung yang ditandatangani baru-baru ini kerana gagal mencapai kesepakatan berhubung terma bersifat menang-menang dengan syarikat konsesi terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ini disebabkan ada beberapa terma mengenai perkara teknikal yang ditetapkan kerajaan negeri tidak secocok dengan terma-terma penswastaan.

Katanya, beliau membuat keputusan dan belum bersedia menyertainya kerana akan berunding dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mencapai titik kesepakatan dan terma yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, pihaknya juga kecewa dan mempersoalkan tindakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam kerana menutup pejabat mereka di Perak sejak tiga bulan lalu yang mengatakan Perak tidak memberikan maklum balas.

"Saya tahu saya membuat keputusan yang sangat berisiko tetapi saya nak beritahu mereka bahawa terma mestilah betul dan mesti mewujudkan suasana menang-menang bagi kedua-dua pihak kerana saya tidak mahu orang ramai akan menanggung beban.

"Saya tahu akta itu (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 Akta 672) diluluskan di Parlimen dan saya menghormatinya," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi bertemu pelanggan di sini.

Zambry diminta mengulas mengapa Perak antara tiga negeri, selain Selangor dan Pulau Pinang belum menyertai perjanjian penswastaan yang ditandatangani kelmarin antara kerajaan dengan tiga syarikat konsesi bagi penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Semenanjung selaras penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bermula pada 1 September lalu.

Tiga syarikat berkenaan iaitu Alam Flora Sdn. Bhd. yang akan bertanggungjawab melaksanakan pengurusan sisa pepejal di zon tengah dan timur Semenanjung; Environment Idaman Sdn. Bhd. (Environment Idaman) di zon utara dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di zon selatan.

Syarikat berkenaan diberi tempoh konsesi selama 22 tahun dan sebarang tambahan caj perkhidmatan kepada orang ramai akan ditanggung oleh kerajaan.

Zambry berkata, kerajaan negeri tidak pernah menutup pintu rundingan dan akan terus berunding dengan pihak kementerian, namun tindakan pihak perbadanan menutup pejabat berkenaan di sini dilihat tidak profesional.

"Mereka sepatutnya lebih profesional dan terus berunding dengan kita," katanya.

Lima rumah penduduk diancam hakisan tanah

Posted:

Lima rumah penduduk diancam hakisan tanah

Lima rumah penduduk diancam hakisan tanah


Azmi Jusoh (kanan) menceritakan kepada Abdul Azeez Abdul Rahim tentang hakisan yang sering berlaku di Kampung Banggol Chicar di Kupang, Baling, semalam.


BALING 21 Sept. - Lebih lima rumah penduduk di Kampung Banggol Chicar, Kupang di sini diancam bahaya hakisan tanah setiap kali hujan lebat melanda.

Menurut penduduk terbabit, kedudukan rumah-rumah itu yang tidak sampai 10 meter dari tebing sungai menyebabkan mereka terdedah kepada risiko hakisan tanah setiap kali hujan.

Seorang penduduk, Yahaya Jaafar, 56, berkata, setiap kali hujan tebing sungai akan runtuh menyebabkan sebahagian pokok tumbang dan alur sungai semakin membesar.

Katanya, keadaan itu sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu menyebabkan sungai semakin luas.

"Sudah tiga tahun tebing sungai runtuh setiap kali hujan dan kami bimbang dengan keadaan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yahaya menambah, bagi mengelak situasi menjadi buruk penduduk terpaksa memacakkan buluh di tebing sungai sebagai usaha mengelak hakisan menjadi lebih buruk.

Namun seorang suri rumah, Hasnah Md. Daud, 54, berkata, sampai bila langkah seperti itu dapat dilakukan kerana kawasan tebing yang runtuh itu semakin hari semakin menghampiri rumahnya.

Katanya, dia bertambah bimbang kerana kawasan berkenaan turut menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain.

"Apabila hujan lebat maka banjir akan berlaku menyebabkan kami semua takut hakisan akan merebak dan menghanyutkan rumah," jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Azmi Jusoh berkata, masalah hakisan tebing Sungai Kupang telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa, namun tiada sebarang tindakan diambil.

Malah katanya, mereka dimaklumkan oleh pihak terlibat berkenaan masalah kekangan kewangan menyebabkan masalah itu tidak dapat diatasi ketika ini.

Azmi turut berharap kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turun padang membantu sekiranya benar-benar prihatin terhadap masalah rakyat.

"Kampung ini juga antara kampung di daerah ini yang sering dilanda banjir dan bulan ini sahaja sudah empat kali ditenggelami ait," katanya.

Sementara itu Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawat tempat kejadian turut menyuarakan simpati dan bersedia membantu.

"Kita akan cuba membantu termasuk meminta peruntukan Persekutuan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kampung," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved