Khamis, 22 September 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Program Sekolah Hijau

Posted:

Program Sekolah Hijau

Program Sekolah Hijau

Oleh AZIZI MAJID
editor.johor@utusan.com.my


Sebahagian murid sekolah diberi penerangan mengenai alat pengukur iklim.


NUSAJAYA 21 Sept. - Fenomena salji turun di kawasan tanah kontang, kawasan lembap menjadi kering, ribut taufan dan siklon tropika melanda di bukan kawasan laluan adalah antara perubahan iklim yang menjadi isu global kini.

Dijangkakan dari 1990 hingga 2100, pemanasan global menyebabkan suhu bumi meningkat antara 1.4 hingga 5.8 darjah celsius manakala paras laut meningkat pada kadar 0.1 hingga 0.9 meter.

Di Johor, impak perubahan iklim turut menyebabkan berlaku bencana alam seperti hakisan pantai luar biasa di pesisiran Tanjung Piai dan Pulau Kukup di Pontian.

Justeru, pelbagai usaha dilakukan pelbagai pihak dalam usaha memulihara alam sekitar sekali gus dapat memberi kualiti hidup yang sihat kepada rakyat.

Baru-baru ini, pemaju induk Nusajaya, UEM Land Holdings Berhad (UEM Land) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Program Sekolah Hijau di Bangunan Sultan Ismail di sini.

Program tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Land, Datuk Wan Abdullah Wan Ibrahim dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Wan Abdullah berkata, Program Sekolah Pintar UEM Land-UKM dirangka berdasarkan konsep 'gaya hidup pintar dan prihatin' iaitu salah satu daripada prinsip utama Pelan Hijau Nusajaya.

Menurutnya, program yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu bertujuan mewujud dan meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dalam kalangan komuniti di Nusajaya terutama golongan pelajar.

"Program ini terdiri daripada dua fasa iaitu program perubahan iklim (fasa satu) yang dilaksanakan tahun lalu dan program pengkomposan (fasa dua) pada tahun ini.

"Ia menggunakan Konsep ROSE iaitu mengurangkan (reduce), mengimbangi (offset), menggantikan (substitute) dan mempertingkatkan (enhance) yang dipraktikkan oleh setiap peserta," katanya.

Wan Abdullah berkata, berbanding hanya tiga sekolah rendah yang dipilih sebagai perintis program tersebut tahun lalu, edisi kali ini diperluaskan ke 10 Sekolah Pintar UEMLand yang lain.

Katanya, seramai 1,000 murid berusia 10 hingga 12 tahun dari 13 sekolah antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Nusa Perintis 1, SK Nusantara, SK Tiram Duku dan SK Kampung Pulai mengambil bahagian dalam program tersebut.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk bengkel pengendalian Program Sekolah Hijau, penghasilan kraf seni tekan bunga, pembuatan alat pengukur iklim, pengedaran buku alam sekitar serta penghasilan laman web interaktif ROSE.

Bagi program pengkomposan, sebanyak lima sekolah terpilih turut disediakan tiga unit tong pengkomposan bagi mendidik peserta mengenai kepentingan membuang sistem pepejal yang betul dan manfaatnya kepada alam sekitar.

Johor imbangkan pembangunan, alam sekitar

Posted:

Johor imbangkan pembangunan, alam sekitar

Johor imbangkan pembangunan, alam sekitar

NUSAJAYA 21 Sept. - Kerajaan negeri sentiasa memastikan pembangunan yang dirancang di negeri ini mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesannya kepada alam sekitar bagi memastikan ia memberi manfaat kepada rakyat dan tidak menjejaskan kualiti kehidupan dalam jangka masa panjang.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai inisiatif dan program penghijauan di seluruh kawasan di negeri ini khususnya di kawasan pembangunan baharu.

"Melalui kempen menanam pokok, sebanyak 1.1 juta batang pokok telah ditanam di negeri ini sejak 2001 sehingga tahun lalu. Jumlah tersebut tidak termasuk pokok-pokok hutan yang ditanam di hutan-hutan bandar di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui program Satu PBT Satu Hutan Bandar," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Ghani, kerajaan negeri juga mensyaratkan supaya setiap projek pembangunan perumahan menyediakan sekurang-kurangnya 10 peratus kawasan rizab lapang yang boleh ditanam pokok.

Katanya, pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) turut membuat penyelidikan tentang 'masyarakat rendah karbon di Iskandar Malaysia' bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kyoto, Universiti Okoyama dan Institut Alam Sekitar Jepun.

"Tujuan penyelidikan lima tahun ini adalah untuk mengira dan membuat unjuran perancangan bagi Iskandar Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat rendah karbon menjelang 2015.

"Projek usahasama ini adalah selaras dengan komitmen Malaysia di Konvensyen Perubahan Cuaca di Copenhagen pada 2009 untuk mengurangkan intensiti karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020," katanya.

Abdul Ghani juga memuji langkah yang diambil UEM Land Holdings Berhad (UEM Land) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Program Sekolah Hijau dan berharap lebih banyak pihak mengambil pendekatan sedemikian pada masa akan datang.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved