Khamis, 22 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


TM Terengganu rugi RM2 juta

Posted:

TM Terengganu rugi RM2 juta

TM Terengganu rugi RM2 juta

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

MARANG 21 Sept. – Telekom Malaysia (TM) Terengganu kerugian dianggarkan RM2 juta sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini akibat kecurian kabel yang makin berleluasa di beberapa daerah di negeri ini.

Pengurus Besarnya, Badrul Hisham Bahari berkata, akibat kegiatan itu lebih 10,500 pengguna talian telefon dan Internet mengalami gangguan perkhidmatan.

Katanya, sehingga Ogos lalu sebanyak 200 kes kabel dicuri dilaporkan melibatkan tiga daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu dan Setiu.

"Jika dibandingkan dengan tahun lalu, kita menanggung kerugian RM2 juta sehingga hujung tahun namun pada tahun ini kita jangka kos kerugian yang terpaksa ditanggung lebih tinggi.

"Perbuatan mencuri kabel turut menyebabkan perkhidmatan TM kepada pengguna terjejas dan memberi imej buruk kepada syarikat," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri TM di sini hari ini yang turut dihadiri kira-kira 450 kakitangan syarikat itu.

Mengulas lanjut Badrul berkata, bagi mengurangi gejala itu, langkah memasang alat penggera di kabel telefon dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, ia tidak dapat membasmi kegiatan itu memandangkan tidak semua kawasan dapat dilengkapi dengan alat penggera berkenaan.

"Ada juga kes di beberapa kawasan di mana tidak sampai seminggu kita tukar kabel, ada individu yang tidak bertanggungjawab mencurinya.

"Kita berharap masyarakat dapat membantu mencegah kejadian mencuri kabel ini dengan melaporkan kejadian selain menjalankan rondaan di sekitar kawasan mereka," jelasnya.

Dalam pada itu Badrul berkata, TM akan terus memberi perkhidmatan talian tetap kepada pengguna biarpun is semakin tidak mendapat tempat di kalangan pengguna ekoran perkembangan talian mudah alih yang lebih fleksibel.

Jelasnya, tumpuan TM pada masa kini adalah untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar melalui talian tetap terutama untuk keperluan sambungan Internet di pejabat.

"Selain itu, kita juga bekerjasama dengan kerajaan untuk menyediakan kemudahan Internet di kawasan-kawasan luar bandar bagi membolehkan masyarakat di kawasan terlibat menikmati kemudahan tersebut," katanya.

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

Posted:

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

4 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang


Anggota bomba berusaha memadamkan api yang melibatkan rumah Zahara Abu Bakar (gambar kecil) di Kampung Baung, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 21 Sept. - Empat sekeluarga dari Kampung Baung, Pengkalan Chepa dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pagi ini.

Kejadian pukul 8.15 pagi itu turut memusnahkan sebuah motosikal dan kereta jenis Perodua Kancil milik mangsa yang diletakkan berhampiran rumah berkenaan.

Mangsa, Zahara Abu Bakar 63, berkata, dia menyedari kebakaran itu selepas ternampak kepulan asap di kawasan rumahnya ketika dia dan salah seorang anaknya, Masitah Mohammad, 19, berada di dapur untuk menikmati sarapan pagi.

"Saya mengarahkan Masitah mengejutkan seorang lagi anak saya, Siti Asiah, 24, yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu supaya keluar dari rumah.

"Sebaik sahaja keluar, saya lihat rumah sudah pun terbakar. Saya tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat. Bagaimanapun saya bersyukur kerana musibah ini tidak meragut nyawa kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ketika kejadian, suaminya Mohamad Ibrahim, 64, tiada dirumah kerana keluar bekerja.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Saipu Bahari Mat Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.25 pagi dan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

Menurutnya, seramai 21 anggota dari dua buah balai iaitu Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bersama lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadamkan api.

"Kerugian dianggarkan berjumlah RM160,000. Punca sebenar kebakaran ini masih dalam siasatan," katanya.

Tarikan berkayak di Sungai Nenggiri

Posted:

Tarikan berkayak di Sungai Nenggiri

Tarikan berkayak di Sungai Nenggiri

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my


PESERTA memulakan kayuhan ketika menyertai aktiviti berkayak pada program Cabaran Nenggiri Inter Politeknik Malaysia 2011 di Sungai Nenggiri, Gua Musang, baru-baru ini. – utusan/Yatimin


GUA MUSANG 21 Sept. – Menyusuri Sungai Nenggiri melalui aktiviti kayak arus deras sejauh 54 kilometer menjanjikan satu pengalaman yang menarik buat sesiapa sahaja yang mengikuti aktiviti berkenaan.

Mengharungi 32 jeram termasuk lima jeram besar pasti mengundang rasa gerun kepada mereka yang pertama kali menyertai aktiviti tersebut, namun bagi mereka yang sudah biasa pasti tidak menghadapi sebarang masalah untuk berdepan dengan cabaran itu.

Itulah sebahagian rencah cabaran yang terpaksa diharungi seramai 85 peserta termasuk pegawai pengiring dari 15 politeknik seluruh negara serta dua kolej komuniti iaitu Pasir Mas dan Kok Lanas, Kelantan sepanjang mengikuti Cabaran Nenggiri Inter-Politeknik Malaysia 2011 yang berlangsung di Sungai Nenggiri dekat sini selama tiga hari bermula 15 September lalu.

Pengalaman menaiki rakit tiub sambil menongkah arus deras sungai serta aliran jeram yang diselang seli dengan batu-batuan semula jadi pasti menjadi kenangan paling berharga kepada semua peserta.

Hujan renyai-renyai yang mengiringi hari pertama dan bahang cuaca panas di hari kedua langsung tidak melunturkan semangat kesukanan para peserta dek kerana terpukau dengan keindahan panorama ciptaan yang maha esa sepanjang melunsuri arus Sungai Nenggiri.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah diuji semangat berpasukan melalui cabaran mendayung dan mengharungi arus jeram yang deras. Selain itu, mereka turut dibawa menyelami budaya masyarakat orang asli di Kampung Pos Pulat yang terletak kira 50 kilometer dari Bandar Gua Musang.

Menurut Pengarah Program, Raduan Ibrahim, program anjuran Politeknik Kota Bharu dengan kerjasama Majlis Sukan Polteknik Malaysia (MSP) bertujuan mengembangkan potensi pelajar terutamanya dalam membina soft skill agar mampu berdaya-saing dengan dunia luar selepas menamatkan pengajian.

"Melalui program seperti ini diharapkan para peserta mampu mempelajari kepentingan untuk bekerjasama dalam pasukan kerana apabila menghadapi alam pekerjaan nanti yang sememangnya memerlukan sifat toleransi dan bersatu-padu.

"Selain aktiviti berunsurkan cabaran, kita turut mengadakan aktiviti yang melibatkan masyarakat, menghargai alam sekitar serta mengenali peninggalan sejarah agar para peserta berkeupayaan membudayakan aktiviti tersebut dalam membina jati diri," katanya.

Tambahnya, program tersebut pernah di adakan sebelum ini namun lebih kepada aktiviti riadah dan bukannya berbentuk pertandingan.

"Hari pertama para peserta terpaksa mengharungi cabaran sejauh 30 kilometer bermula di Gua Cha yang merupakan lokasi awal penempatan manusia di negara ini dan berakhir di perkampungan orang asli Pos Pulat dan memakan masa hampir tiga jam 30 minit.

"Cabaran hari kedua bermula di Kampung Pos Pulat dan berakhir di Kampung Star sejauh 15 Kilometer," ujarnya.

Seorang peserta dari Politeknik Sandakan, Sabah, Herman Kunsian, 20, berkata dia teruja dapat menyertai cabaran tersebut yang merupakan kali pertama di sertainya.

"Ini merupakan pengalaman baru buat diri saya sepanjang mengikuti program ini. Antaranya ialah semangat kerjasama berpasukan yang menuntut komitmen yang tinggi.

"Selain itu, saya juga dapat mempelajari cara hidup dan sosial budaya masyarakat orang asli di Pos Pulat yang belum pernah dirasai sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Mohd. Azuwan Mat Nawan, 21, mengakui cabaran kayak arus deras di Sungai Nenggiri menuntut pesertanya memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang mengharungi aliran sungai berkenaan.

"Biarpun sudah biasa mengharungi cabaran di sini, ia bukanlah semudah yang disangka kerana aliran sungai berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum ini," katanya.

Sementara itu, seorang peserta wanita tunggal Zuzailisha Zubir 23, berkata, cabaran Nenggiri memerlukan daya ketahanan mental yang tinggi selain kecergasan fizikal.

"Selain itu, kepakaran membaca aliran sungai juga penting untuk memastikan kita dapat mengemudi rakit berkenaan dengan selamat," ujarnya yang sudah lima tahun berkecimpung dalam sudah berkayak.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved