Selasa, 20 September 2011

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Longkang tiada saluran keluar

Posted:

Longkang tiada saluran keluar

Longkang tiada saluran keluar

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my


Aziz Ismail melihat longkang tersumbat yang ditakungi air di Taman Labok Jaya, Machang, baru-baru ini.


MACHANG 19 Sept. - Lebih 10 keluarga di perumahan Taman Labok Jaya di sini terus diancam pencemaran alam sekitar yang berlarutan sejak lima tahun lalu hingga kini.

Ia berlaku berikutan longkang yang tidak memenuhi spesifikasi sistem perparitan atau dengan kata lain tidak mempunyai saluran keluar sehingga menyebabkan air mudah bertakung.

Keadaan bertambah buruk apabila longkang itu juga seringkali dipenuhi air kumbahan yang mengeluarkan bau busuk dan meloyakan penduduk.

Malang bagi penduduk di kawasan tersebut apabila dikatakan masih belum ada tanda-tanda masalah tersebut akan diselesaikan memandangkan pihak berkenaan yang dirujuk hanya saling menuding jari menyalahkan satu sama lain sekali gus terus menjadikan penduduk sebagai mangsa keadaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati longkang di kawasan berkenaan penuh ditakungi air bukan sahaja kotor tetapi mengeluarkan bau kurang menyenangkan di kalangan penduduk sekitar.

Selain itu, difahamkan longkang itu tidak pernah kering kerana tidak mempunyai saluran keluar yang sepatutnya tetapi hanya disalirkan ke kebun getah berdekatan.

Wakil penduduk, Aziz Ismail, 54, kecewa dan putus asa dalam mengatasi masalah tersebut apabila pihak berkaitan dilihat seolah-olah lepas tangan sehingga ia berlarutan begitu lama.

Katanya, sebelum ini penduduk terbabit pernah mengambil inisiatif sendiri dengan mengorek saluran bawah tanah bagi mengelakkan air kotor itu melimpah ke atas jalan namun, tindakan itu tidak berpanjangan.

"Apa sangat kemudahan yang ada pada kami bagi mengatasi masalah ini. Kalau setakat masalah kecil itu lainlah.

"Selepas lima tahun, tiada sesiapa lagi yang mahu bertanggungjawab mengenai masalah tersebut dan penduduk terpaksa mengusahakannya sendiri," katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Taman Labok Jaya merupakan kawasan perumahan yang dibina kira-kira lima tahun lalu terletak hampir 12 kilometer dari bandar Machang.

Katanya, keadaan akan menjadi bertambah teruk setiap kali musim perayaan dan cuti sekolah kerana pada waktu itu orang ramai banyak menggunakan air hingga menyebabkan berlakunya limpahan dan takungan air di hadapan rumah penduduk.

"Air tidak dapat mengalir lancar sebab tidak mempunyai saluran keluar. Ia hanya berpusing dalam longkang itu sahaja," katanya.

Lagipun, tegasnya, air yang kotor boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan orang ramai terutama penduduk berdekatan.

Justeru, bagi mengatasi masalah tersebut, beliau berkata, satu saluran sesuai perlu dibina secara lebih bersistematik bukannya dibiarkan lepas bebas ke kawasan kebun getah berdekatan yang sudah semestinya menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemilik (kebun).

Katanya, pihak pemaju sepatutnya membina saluran khas bagi menyalurkan air (kotor) bukan membiarkannya.

Sehubungan itu, beliau memohon pihak berkaitan supaya memandang serius bagi menyelesaikan masalah berbangkit demi kepentingan semua pihak.

Mengikut fakta kesihatan pencemaran alam sekitar seperti longkang tersumbat, air bertakung punca menyebabkan mudahnya berlaku penyakit berjangkit seperti denggi dan malaria.

Karnival halal di Jeli dapat sambutan hangat

Posted:

Karnival halal di Jeli dapat sambutan hangat

Karnival halal di Jeli dapat sambutan hangat


Mustapa Mohamed melancarkan buku usahawan Groom Big pada Majlis Perasmian Karnival Rakyat dan Transformasi Halal Kelantan 2011 di MRSM Jeli, baru-baru ini.


JELI 19 Sept. - Lebih 21,000 pengunjung menghadiri Karnival Rakyat dan Transformasi Halal Kelantan 2011 di padang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, baru-baru ini.

Bertemakan Usahawan Kreatif & Inovatif, Pemangkin Ekonomi Negara, karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) selama tiga hari itu menjadi medan usahawan tempatan mempamer dan menjual produk mereka bermula 15 September lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga ahli Parlimen Jeli berkata, karnival tersebut merupakan acara terbesar pernah diadakan di kawasan tersebut dan berjaya menarik perhatian pengunjung tempatan dan luar.

Sebanyak 162 gerai yang terdiri daripada 140 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta 20 jabatan kerajaan dan agensi swasta mengambil bahagian dalam usaha mendedahkan mereka kepada peluang perniagaan yang lebih besar.

"Melalui karnival tersebut, HDC menyediakan pelbagai aktiviti termasuk seminar pendidikan dan peluang kerjasama perniagaan dengan syarikat-syarikat besar untuk meningkatkan pendapatan usahawan.

"Syarikat-syarikat halal tempatan yang berpotensi dalam industri makanan dan pembuatan perlu diketengahkan bagi menyertai lebih banyak program promosi di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan karnival tersebut serta melancarkan buku usahawan Groom Big di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin serta pegawai-pegawai daripada agensi MITI dan lebih 3,000 pengunjung yang membanjiri karnival.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada Pusat Pengajian Darul Falah dan Pusat Dakwah Jeli.

Menyentuh mengenai pemilihan Jeli bagi karnival transformasi halal tersebut, Mustapa berkata, kawasan tersebut walaupun kecil dengan kapasiti penduduk sekitar 40,000 namun mempunyai potensi terutama dalam sektor pelancongan kerana kedudukan yang bersempadan dengan Thailand.

"Sejak Jambatan Buketa yang menyambungkan Malaysia dan Thailand dirasmikan tiga tahun lalu, hubungan antara penduduk di kawasan sempadan semakin baik dan kerjasama dalam bidang pelancongan mempunyai potensi untuk dimajukan.

"Peruntukan kerajaan Pusat sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan untuk menjalankan kajian pelan pembangunan Jeli terutama di kawasan Bukit Bunga dan kawasan sempadan dan dijangka keputusan diperoleh dalam tempoh enam bulan lagi," katanya.

Tambah beliau, kewujudan institusi pengajian tinggi yang akan beroperasi tidak lama lagi termasuk Universiti Malaysia Kelantan, Politeknik dan Kolej Komuniti di kawasan itu akan melahirkan graduan usahawan yang mampu meningkatkan taraf hidup penduduk Jeli.

Majlis perkahwinan 10 pasangan paling meriah

Posted:

Majlis perkahwinan 10 pasangan paling meriah

Majlis perkahwinan 10 pasangan paling meriah

KUALA TERENGGANU 19 Sept. - Sebanyak 10 pasangan yang dipilih melalui program My Idol, Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan akan diraikan dalam satu majlis akad nikah dan persandingan serentak pada 21 dan 22 Oktober ini.

Program anjuran UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu menerima permohonan kira-kira 100 pasangan tetapi hanya 10 yang terbaik dipilih melalui temu duga di samping memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Antara syaratnya termasuk bakal pengantin perlu menyiapkan karangan tidak kurang daripada 300 patah perkataan bertajuk 'Kenapa saya layak dipilih' di samping pendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan serta beralamat dalam kawasan Kuala Terengganu.

Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pasangan yang terpilih akan ditaja sepenuhnya termasuk majlis akad nikah di Masjid Kristal pada 21 Oktober ini.

Majlis persandingan dan jamuan kahwin perdana akan diadakan di Dataran Shahbandar pada keesokan harinya yang dijangka dihadiri kira-kira 20,000 jemputan dan anggota keluarga.

Menurut beliau, selain majlis perkahwinan ditaja sepenuhnya, pasangan turut menerima wang saku sebanyak RM5,000.

"Setiap pasangan juga akan diberikan satu khemah khas dan mereka dibenarkan menghantar jemputan kepada 1,000 tetamu bagi memeriahkan majlis tersebut,'' katanya selepas majlis sesi taklimat kepada pasangan yang berjaya di sini hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu berkata, program tersebut merupakan kali pertama diadakan dalam membantu pasangan yang menghadapi masalah kewangan untuk mendirikan rumah tangga.

Katanya, program itu turut mendapat kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Pejabat Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved