Selasa, 20 September 2011

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Azizan disaran lepas kedudukan bagi elak konflik - Salleh Majid

Posted:

Azizan disaran lepas kedudukan bagi elak konflik - Salleh Majid

Azizan disaran lepas kedudukan bagi elak konflik - Salleh Majid

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Ahli korporat, Datuk Azizan Abd. Rahman perlu melepaskan kedudukannya dalam semua syarikat senaraian awam bagi mengelakkan timbulnya konflik kepentingan.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Salleh Majid berkata, tindakan itu wajar dilakukan oleh Azizan sebagai menghormati etika memandangkan isterinya, Tan Sri Zarinah Anwar adalah Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Menurut beliau, Azizan sepatutnya sudah mengetahui perkara itu lebih awal, walaupun mungkin tidak ada peruntukan dan peraturan tertentu untuk menyekat pembabitan beliau dalam korporat.

''Pandangan ini adalah dari segi etika. Zarinah adalah Pengerusi SC, satu jawatan penting dalam badan pengawas selia kewangan yang penting.

''Pelantikan Azizan dalam mana-mana syarikat korporat pasti menimbulkan konflik,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, perkara itu perlu diberi perhatian utama untuk mengelakkan peranan SC sebagai satu badan pengawas selia utama negara terjejas.

Beliau berkata, ini kerana dalam institusi perbankan, Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memastikan individu yang memegang jawatan tertinggi dalam bank-bank tidak mempunyai hubungan keluarga dengan Lembaga Pengarah untuk memastikan operasi telus dan mematuhi standard tadbir urus korporat yang tinggi.

''Perkara ini adalah penting dan serius dan ia perlu dikawal secara ketat,'' jelasnya.

Azizan menjadi tumpuan berikutan transaksi pembelian saham Eastern & Oriental Bhd. (E&O) oleh Sime Darby Bhd. (Sime Darby), baru-baru ini.

Sime Darby telah mengambil alih kepentingan sebanyak 30 peratus dalam E&O pada harga RM2.30 sesaham atau RM766 juta.

Penguasaan itu menjadikan Sime Darby sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah yang memiliki Hotel E&O di Pulau Pinang.

Isu membabitkan Azizan timbul selepas beliau yang juga Pengerusi E&O didakwa telah membeli kira-kira 450,000 saham syarikat daripada pasaran terbuka membabitkan lima transaksi berasingan sejak April dan Ogos tahun ini.

Tiga daripada transaksi dibuat antara Julai dan Ogos dan transaksi terakhir membabitkan pembelian 100,000 saham pada 12 Ogos lalu.

Ekoran isu itu, SC telah menjelaskan bahawa pihaknya sedang menilai situasi semasa berkaitan pembelian 30 peratus kepentingan E&O kepada Sime Darby.

SC berkata, langkah itu diambil berikutan terdapat banyak pertanyaan berhubung keputusan pembelian berkenaan.

Kajian itu diketuai oleh ahli Suruhanjaya paling kanan iaitu Datuk Francis Tan dan Datuk Gumuri Hussain tanpa campur tangan dari Pengerusi SC.

Penswastaan pengurusan sisa pepejal dimuktamad

Posted:

Penswastaan pengurusan sisa pepejal dimuktamad

Penswastaan pengurusan sisa pepejal dimuktamad


MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan kakitangan Alam Flora semasa hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi sempena Penswastaan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di PICC, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA 19 Sept. - Selepas tertangguh selama 14 tahun, penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dimuktamadkan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian melibatkan tiga syarikat konsesi tersebut diyakini dapat menambah baik pengurusan sisa pepejal daripada peringkat penjanaan sampah sehinggalah proses pelupusannya.

''Selama 14 tahun syarikat-syarikat ini telah mengurus sisa pepejal sekian lama di zon-zon berkenaan walaupun dalam keadaan yang tidak menentu kerana perjanjian penswastaan belum dilaksanakan.

''Syarikat-syarikat ini tidak berani melabur, membeli aset atau menambah baik perkhidmatan kerana berada dalam keadaan yang tidak menentu dan takut menanggung kerugian.

''Perjanjian konsesi selama 22 tahun ini membolehkan mereka mengambil langkah menambah baik tenaga kerja, menggunakan trak penyendat, sediakan tong sampah yang cukup serta melupus sampah di tapak yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Tiga syarikat konsesi yang dilantik untuk pengurusan sisa pepejal ialah Alam Flora Sdn. Bhd. (Zon Tengah dan Timur), Environment Idaman Sdn. Bhd. (Zon Utara) dan SWM Environemnt Sdn. Bhd. (Zon Selatan).

Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menanggung sebahagian daripada kos pengurusan sisa pepejal supaya pengguna dapat membayar kadar bayaran yang sedia ada kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dimulakan sejak 1 September lalu di semua negeri di Semenanjung kecuali Perak, Selangor dan Pulau Pinang untuk membolehkan kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pengurusan sisa pepejal.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ketiga-tiga negeri Semenanjung tersebut meminta supaya diberi sedikit masa lagi untuk melaksanakan akta tersebut serta memuktamadkan penswastaan pengurusan sisa pepejal.

Muhyiddin berkata, beliau berharap ketiga-tiga syarikat konsesi berkenaan akan mengambil langkah segera dan berbincang dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk menentukan pelaburan yang perlu dilakukan.

''Kerajaan pada masa sama akan mengkaji konsep pelupusan yang terkini termasuk pelbagai jenis insinerator, kita perlu memilih teknologi terkini dengan kos paling efektif.

''Kerajaan Persekutuan berharap bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, malah dapat meningkatkan keupayaan bagi meneroka kaedah rawatan dan pelupusan berteknologi tinggi," katanya.

Keputusan Program 6P 4 Okt. depan

Posted:

Keputusan Program 6P 4 Okt. depan

Keputusan Program 6P 4 Okt. depan

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN dan ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Tarikh bermulanya proses pemutihan, komponen kedua dalam Program 6P akan bergantung kepada keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 Oktober depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penentuan tarikh proses pemutihan yang bakal diumumkan kelak akan mengambil kira keadaan persekitaran dan keselamatan negara.

Menurut beliau, proses pendaftaran yang merupakan komponen pertama dalam program 6P menunjukkan hasil yang positif apabila sebanyak lebih 2.3 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) mendaftar secara sukarela.

"Daripada jumlah itu, seramai 1.3 juta daripadanya adalah PATI manakala selebihnya pendatang yang sah.

"Langkah kedua iaitu proses pemutihan akan ditentukan hasil mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 4 Oktober depan," katanya pada sidang akhbar selepas persidangan mengenai jenayah kewangan antarabangsa dan keganasan di sini, hari ini.

Pada 22 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan Program 6P akan dilaksanakan melalui gerakan pendaftaran merangkumi pengambilan biometrik semua PATI di negara ini mulai 11 Julai.

Sehingga tarikh tutup proses pendaftaran pada 31 Ogos lalu, seramai 2,320,034 pekerja asing dan PATI telah mendaftar untuk Program 6P melalui sistem biometrik.

Sementara itu, dalam ucapan beliau pada persidangan tersebut, Hishammuddin berkata, kerajaan sentiasa bersedia dan mempunyai perancangan rapi dalam mengekang jenayah melibatkan sindiket antarabangsa.

Selain melemahkan penjanaan kewangan puak-puak pengganas dengan kerjasama bersama pelbagai agensi berkaitan, pihaknya juga meningkatkan kemahiran dari segi latihan dan perkongsian maklumat serta risikan.

Jelas Hishammuddin, salah satu cara bagi melemahkan kegiatan pengganas bukan sahaja dengan membanteras perniagaan haram mereka tetapi lebih kepada melumpuhkan sumber kewangan puak-puak pengganas terbabit.

"Agensi keselamatan dan kawalan kewangan perlu bekerjasama dalam pemerhatian serta membanteras sumber kewangan untuk kegiatan dan aktiviti pengganas.

"Sumber kewangan perlu dikekang secara berterusan bagi melemahkan kegiatan puak pengganas selain memastikan dunia berada dalam keadaan selamat," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut memberi penekanan kepada jenayah pemerdagangan manusia yang menjadikan negara ini sebagai negara transit.

Jelasnya, beliau telah berbincang dengan rakan sejawatnya di Beijing, China meliputi kemasukan pelancong, perkongsian maklumat dan risikan mengenai sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa serta perjalanan barang-barang buatan dalam konteks perdagangan yang boleh ditafsirkan sebagai bahan-bahan ancaman nuklear.

"Oleh itu, satu memorandum perjanjian persefahaman akan ditandatangani di Beijing berhubung perkara ini dalam tempoh terdekat," katanya.

Hishammuddin menjelaskan, saringan keselamatan di pintu-pintu masuk negara juga akan ditingkatkan khususnya dalam kemasukan pelajar dan pekerja asing bagi memastikan negara berada dalam keadaan selamat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved