Jumaat, 23 September 2011

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Ikut penagih kerana cinta

Posted:

Ikut penagih kerana cinta

Ikut penagih kerana cinta

Oleh HAMDAN TAWADI
utusanjohor@utusan.com.my


MOHD. Fawzi Arshad (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di IPD Kluang, semalam. - UTUSAN/HAMDAN TAWADI


KLUANG 22 Sept. - Kerana cinta, seorang wanita sanggup mengikut teman lelakinya ke sebuah flat di Taman Sri Kluang di sini, yang dijadikan markas untuk mereka menikmati dadah jenis syabu.

Akibatnya, pasangan itu bersama seorang lagi rakan mereka ditahan pukul 10.30 malam kelmarin, hasil maklumat awam dan risikan polis.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Fawzi Arshad berkata, dalam serbuan itu, polis merampas enam peket plastik dipercayai dadah jenis syabu seberat 1.9 gram.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 dan 28 tahun, didapati merupakan penagih tegar dan mempunyai rekod lampau penyalahgunaan dadah.

"Wanita yang berusia 28 tahun itu dipercayai teman kepada salah seorang suspek lelaki yang ditahan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini, hari ini.

Mohd. Fawzi memberitahu, suspek yang dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Bahaya 1952 kerana kesalahan memiliki dan menyalahgunakan dadah, peruntukan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berdepan hukuman gantung kerana mengedar dadah setelah polis merampas 15.59 gram heroin daripadanya di sebuah rumah di Taman Permata di sini, kelmarin.

Mohd. Fawzi berkata, polis menahan suspek berusia 36 tahun kira-kira pukul 11 malam dan dia kini direman sehingga 27 September ini.

30 tong sisa toksik ditemui

Posted:

30 tong sisa toksik ditemui

30 tong sisa toksik ditemui

BATU PAHAT 22 Sept. - Lebih 80 keluarga yang mendiami Kampung Mohd. Nor dekat sini bimbang dengan penemuan kira-kira 30 tong berisi cecair likat dipercayai sisa toksik di sebuah ladang sawit berdekatan kampung itu, sejak Ahad lalu.

Apa yang lebih merisaukan, tong berisi sisa toksik itu ditemui hanya satu kilometer dari rumah penduduk.

Menurut seorang penduduk, Rahmat Ali, 41, mereka juga khuatir sisa toksik itu akan mengalir ke kawasan kebun sayur dan kolam ikan milik mereka menerusi aliran air dari Parit Purun.

"Seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberitahu saya, cecair di dalam tong tersebut boleh membahayakan penduduk.

''Justeru, kami mahu pihak yang membuang cecair itu dikenakan tindakan sewajarnya," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Sibon, 47, berkata, ketua kampung dan beberapa orang penduduk yang menemui tong itu pada mulanya menyangka ia berisi tar.

"Bagaimanapun bau cecair itu yang menyesakkan dada menimbulkan tanda tanya kenapa ia dibuang begitu sahaja berdekatan kampung menyebabkan kami melaporkannya pada JAS," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kira-kira 30 tong berisi cecair likat berwarna hitam itu masih berada di lokasi yang dikatakan dan lebih membimbangkan ada cecair melimpah di atas tanah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved