Jumaat, 5 Ogos 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Chef Hamdan pelanggan diutamakan

Posted:

Chef Hamdan pelanggan diutamakan

Chef Hamdan pelanggan diutamakan

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my.
Gambar HAFIZH KHOSMAT

LAIN orang, lain kisah kehidupannya. Begitu juga dengan cerita kehidupan Chef Hamdan Harun yang berasal dari Teluk Intan, Perak Darul Ridzuan.

Sebelum bergelar seorang chef, beliau mula bekerja di bahagian penyelenggaraan pendawaian elektrik dan servis pendingin hawa.

Daripada memegang spana dan pemutar skru, beliau kini lebih selesa memegang senduk dan periuk setelah hampir 30 tahun berkhidmat dalam bidang perhotelan dan katering.

Ketika ditanya mengenai bagaimana beliau boleh menceburi bidang tersebut, jawapan yang diberikan amat mudah kerana beliau minat memasak pada waktu lapang. Chef Hamdan berkata, beliau tidak sangka yang minat terhadap masakan membuahkan hasil apabila beliau diterima berkhidmat di Restoran Masakan Jepun, Cikuyote yang terletak di Jalan Sultan Ismail sekitar tahun 1980.

Bagaimanapun, katanya, restoran tersebut telah dirobohkan dan kini telah digantikan dengan Menara Ambank.

"Bekerja dalam dua bidang berbeza memberikan pengalaman yang amat berlainan kepada saya dan pengalaman tersebut mematangkan diri saya sendiri.

"Walaupun saya mula bekerja dalam bidang penyelenggaraan dan kemudiannya dalam bidang masakan, boleh dikatakan banyak ilmu berharga saya pelajari sepanjang tempoh saya bekerja.

"Ini kerana, bekerja juga seperti belajar. Lebih banyak kita belajar, lebih banyak kemahiran yang kita perolehi," katanya ketika ditemui di Hotel Vistana.

Chef Hamdan mula bekerja tanpa ada sebarang pengalaman memasak tetapi berkat usahanya sendiri beliau kini menguasai pelbagai jenis masakan Asia hinggalah masakan barat dan Timur Tengah.

"Masa saya bekerja di Cikuyote, saya banyak diberi tunjuk ajar dari Chef Eksekutif, Ozawana yang berasal dari negara matahari terbit (Jepun).

"Pada masa itu, saya bukannya mahir sangat dengan masakan. Kalau setakat masak nasi goreng atau telur dadar mudah sahaja tetapi masakan Jepun agak sukar untuk dihasilkan.

"Boleh dikatakan saya amat bertuah kerana mempunyai seorang guru masakan yang baik. Dengan tunjuk ajarnya, sedikit sebanyak kebolehan masakan Jepun saya semakin bertambah baik" jelasnya.

Menurut Chef Hamdan, Chef Ozawana merupakan pakar masakan sasimi dan beliau turut mengajarnya beberapa menu masakan Asia.

"Selepas Cikuyote ditutup awal tahun 1990, saya merasakan kerja-kerja di bahagian dapur telah sebati dengan hidup saya, malah kerja tersebut amat menyeronokkan.

"Sebab itulah, saya sayang untuk menukar kerjaya dan terus menerokai bidang tersebut dengan lebih mendalam.

"Saya pernah bekerja di beberapa restoran dan katering masakan Melayu, KFC dan beberapa hotel terkemuka di ibu kota untuk menimba pengalaman yang lebih baik," ujarnya.

Menyentuh mengenai pengalaman dalam bidang masakan, Chef Hamdan berkata beliau suka memasak berdasarkan cita rasa pelanggan-pelanggannya.

"Jika kita masak untuk diri sendiri, sudah tentu kita akan masak sesuatu mengikut selera kita dan pastinya masakan tersebut semestinya enak dimakan bersama beberapa sajian yang lain.

"Tetapi masakan di hotel amat berbeza kerana kita masak untuk pelanggan. Selera mereka juga berlainan di antara satu sama lain dan sebagai chef, kita perlu bijak menilai selera pelanggan yang mengunjungi hotel tersebut.

"Jika chef tersebut dapat penuhi selera mereka, saya jamin pelanggan tersebut pastinya akan datang kembali," katanya.

Selain itu, katanya, juadah Nasi Beriani Berempah yang disajikan di Hotel Vistana pastinya menjadi pilihan pengunjung sepanjang bulan Ramadan ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sensual Muzikal kanvas digital

Posted:

Sensual Muzikal kanvas digital

Sensual Muzikal kanvas digital

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL

SEMUA orang tahu, dalam bidang seni tampak, setiap karya yang dihasilkan itu dikatakan mampu menyampaikan suatu perasaan yang melampaui batas perkataan.

Begitu juga dengan karya 'Sensual Muzikal' yang dihasilkan oleh Utin Rini. Karya yang dihasilkan olehnya itu kelihatan seolah-olah seperti sebuah gambar digital yang siap dicetak.

Bagaimanapun, sebenarnya ia dilukis dengan menggunakan medium cat minyak diatas kanvas .

Istimewanya, karya tersebut menampilkan percubaan kombinasi dan persimpangan tona warna yang berjaya membentuk imej dan wajah manusia.

Berasal dari Kalimantan Barat Indonesia, Utin Rini kini menetap di Yogyakarta selepas menamatkan pengajian di Institusi Kesenian Yogyakarta.

Ketika bertemu dengannya, Utin Rini memberitahu kesemua wajah figura yang dihasilkan dalam siri Sensual Muzikal diambil dari internet.

"Karya ini dilukis berdasarkan pengalaman nakal ketika saya bersekolah. Bagi saya, perasaan yang terdapat pada wajah-wajah bintang filem lucah itu bukan sekadar lakonan atau berpura-pura tetapi sebenarnya kecantikan dan keunikan mereka timbul pada saat ia dirakamkan.

"Sebab itu, saya gambarkan mereka dalam karya terbaru ini kerana wajah orang Asia amat unik selain saya cuba menyelami kecantikan dan keunikan mereka," jelasnya.

Selain experimentasi terhadap penggunaan warna dan subjek wanita, Utin Rini turut menambah konsep figuratif digital realistik ke dalam karya-karyanya.

Utin Rini berkata, sebab utama mengapa beliau menggunakan wajah wanita dalam filem tersebut ialah kerana beliau ingin menberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai apa yang berlaku pada hari ini.

"Di Indonesia dahulu, kebanyakan kaum wanita tidak menutup bahagian dada mereka dan hanya menutup bahagian bawah dengan kain sarung atau kain batik tetapi tidak banyak kes perkosa dilaporkan.

"Lihat sendiri apa yang berlaku pada hari ini, pengaruh geseran budaya itu sendiri mengubah keadaan tersebut sehingga boleh dikatakan setiap hari kes tersebut dilaporkan di dada akhbar, bukan sahaja di Indonesia malah di negara-negara lain juga.

"Orang dulu-dulu tidak berfikiran kotor dan harapan saya ialah agar orang ramai bersama-sama mengubah keadaan ini," katanya.

Beliau berkata, isu tersebut amat sensitif dan untuk meredakan isu itu, beliau rasakan yang pengantaraan seperti medium kesenian mampu memperhalusi budi pekerti seseorang individu itu sendiri.

"Saya rasa dengan seni kita boleh meningkatkan lagi taraf kehidupan dan moral sesuatu bangsa dengan lebih mendalam.

"Ini kerana seni itu lebih jujur kerana ia merupakan luahan dari dalam diri pelukis itu sendiri," ujarnya.

Menurutnya, idea penghasilan siri tersebut diperoleh ketika beliau sedang melayari laman web dan mendengar muzik rock dari kumpulan Led Zeppelin.

Dari situ, Utin Rini cuba untuk menggunakan konsep warna campuran bagi menghasilkan tona warna sendiri dan setiap lukisan dalam siri tersebut dihasilkan penuh warna-warni.

"Bagi saya lukisan yang menggunakan banyak warna boleh memberikan suasana yang berbeza dalam imaginasi manusia ketika melihatnya," jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap agar suatu hari nanti beliau dapat peluang mempamerkan karya-karyanya di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Kuala Lumpur.

"Saya tidak pernah rasa puas untuk mengadakan pameran-pameran kesenian dan saya bersyukur berpeluang bekerjasama dengan teman-teman di Malaysia sejak 2008 sehinggalah ke hari ini," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved