Selasa, 19 Julai 2011

Utusan Online - Muka Hadapan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Muka Hadapan


Ambil pelajar tanpa Unit Pusat Universiti

Posted:

Ambil pelajar tanpa Unit Pusat Universiti

Ambil pelajar tanpa Unit Pusat Universiti

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Julai – Universiti Malaya (UM) dijangka akan mengikuti langkah Universiti Sains Malaysia (USM) untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

UM kini sedang menunggu lampu hijau daripada Kementerian Pengajian Tinggi manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan sistem UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

Bagaimanapun beberapa universiti awam lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganggap sistem UPU masih relevan.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, sistem pengambilan terus akan memberikan hak autonomi kepada UM dalam menentukan pelajar yang layak bagi mengikuti pengajian mereka di universiti tersebut.

"Saya melihat proses pemilihan pelajar tanpa melalui UPU ini akan menjadi lebih fleksibel kerana calon-calon yang layak akan melalui sesi temuduga sebelum terpilih untuk menyambung pengajian di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Unit Kemasukan dan Pengambilan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, USM telah memansuhkan penggunaan sistem UPU kerana mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.

"USM adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam di negara ini yang telah diiktiraf sebagai Universiti Apex, kelebihan ini memberi ruang buat universiti kami untuk melaksanakan proses kemasukan pelajar tanpa melalui UPU.

"Berdasarkan pemilihan secara terus ini, kami mampu memperoleh pelajar yang bersesuaian dan menepati standard universiti yang telah ditetapkan," katanya.

Timbalan Rektor Perhubungan Pelajar UIAM, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, sehingga kini hanya pelajar antarabangsa sahaja yang dipilih secara terus oleh pihak universiti.

"Pengambilan pelajar tempatan masih menggunakan sistem UPU kerana kami merasakan ia masih lagi relevan selain sistem itu dapat memudahkan pihak universiti memilih pelajar yang layak," katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa berkata, pihaknya berpendapat sistem yang diguna pakai kini harus diteruskan kerana ia masih lagi relevan

"Melalui sistem UPU, Kementerian Pengajian Tinggi boleh membuat saringan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya pertindihan nama pelajar," katanya.

Turut menyokong kenyataan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili, yang memberitahu pihaknya masih bergantung kepada sistem UPU.

"Ini kerana sebagai sebuah institusi yang masih baru, kami belum mampu membuat pemilihan pelajar secara terus," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Malaysia-Vatican jalin hubungan

Posted:

Malaysia-Vatican jalin hubungan

Malaysia-Vatican jalin hubungan


NAJIB Tun Razak dan isterinya, Rosmah Mansor bertemu Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo, kediaman musim panas pemimpin penganut Katolik itu, di pinggir Rom, semalam. Turut serta Dr. Koh Tsu Koon (tiga kiri), Jamil Khir Baharom (tiga kanan), Bernard Dompok (empat kanan), Profesor Dr. Abdul Shukor Husin (dua kiri) dan Murphy Nicholas Xavier Pakiam (kiri). – BERNAMA


ROM 18 Julai – Malaysia dan kerajaan Vatican bersetuju menjalin hubungan diplomatik bagi menggalakkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat ekoran pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo, kediaman musim panas pemimpin penganut Katolik itu di pinggir bandar ini hari ini.

Menyatakan dunia "berada di persimpangan", Najib berkata, Malaysia mahu berkongsi pengalamannya dengan dunia, dan sebab itu kenapa Malaysia komited untuk menjalin hubungan dengan negara yang sealiran dalam menggalakkan dunia yang aman dan harmoni.

"Inilah sebab utama kenapa Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan Vatican.

"Dunia berada di persimpangan, kuasa-kuasa tidak rasional dan perbalahan mengancam kestabilan yang sekian lama kita nikmati dan perjuangkan dan pertahankan selama ini, dan kemakmuran," kata Najib dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu.

Beliau berkata, Malaysia dan Vatican komited untuk mengatasi kuasa-kuasa negatif yang menggunakan agama untuk mewajarkan tindakan keganasan, dengan menggunakan kuasa alasan dan kesederhanaan.

Katanya, Vatican mengiktiraf komitmen Malaysia untuk menggalakkan kesederhanaan sebagai doktrin global.

"Usaha kita dalam menguruskan kepelbagaian kita di sebalik pelbagai halangan dan cabaran adalah peringatan penting bahawa masyarakat berbeza boleh berjaya.

"Bagaimanapun, kita mesti sentiasa berjaga-jaga dan menghadapi kuasa jahat yang mengancam untuk menganggu-gugat keharmonian. Kita juga perlu lebih bersedia untuk menerima pakai pendekatan inklusif dalam pentadbiran dan tadbir urus, dan memastikan matahari di Malaysia menyinari semua rakyat Malaysia," katanya.

Jalinan hubungan Malaysia-Vatican adalah sebagai menyusuli jejak negara majoriti penduduk Islam lain seperti Indonesia, Iran, Iraq, Pakistan, Bangladesh, Jordan, Turki, Mesir, Libya, Liga Arab dam majoriti anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Najib yang membawa rombongan mengandungi pemimpin pelbagai agama dalam pertemuannya dengan Pope, mengetengahkan konsepnya bagi Pergerakan Sederhana Global untuk menangani ekstremisme dalam semua bentuk, gesaan yang julung kali dibuatnya semasa menyampaikan ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada September 2010 di New York.

Sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan menganut pelbagai agama, Perdana Menteri berkata, Malaysia berpegang pada nilai-nilai kesederhanaan bagi memastikan keharmonian, kestabilan dan kemakmuran berterusan.

Najib juga menyatakan mengenai kemungkinan menjalin hubungan lebih erat dengan Majlis Pontifical untuk Dialog Antara Agama yang diketuai Cardinal Jean-Louis Tauran dan Institut Pontifical untuk Pengajian Arab dan Islam.

Beliau berkata, Institut Kajian Kefahaman dan Kemajuan Islam Malaysia, Institut Pengajian Islam dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan menerajui inisiatif itu dari Malaysia.

Delegasi Najib terdiri daripada dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Mereka turut disertai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin dan Ketua Biskop, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam.

Dalam lawatannya itu, Perdana Menteri juga diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia merupakan pertemuan kedua antara seorang Perdana Menteri Malaysia dan seorang Pope, selepas pertemuan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pope John Paul pada Jun 2002.

Vatican, sebagai badan tertinggi kerajaan yang mentadbir Gereja Katolik adalah entiti juridikal di bawah undang-undang antarabangsa.

Sebagai "kerajaan pusat" Gereja Katolik, Vatican mempunyai status undang-undang yang membolehkannya memeterai perjanjian sebagai juridikal yang sama taraf dengan sebuah negara dan untuk menghantar dan menerima wakil diplomatik.

Vatican menjalin hubungan diplomatik dengan lebih 170 negara termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Islam.

Diwujudkan pada 1929, Vatican adalah kerajaan yang mentadbir Gereja Katolik seluruh dunia dan beroperasi dari Vatican City State yang merupakan sebuah wilayah bebas dan berdaulat terletak di satu kawasan seluas 0.44 km persegi.

Vatican mempunyai pejabat pos, bank, pasukan tentera, landasan helikopter, loji penjanaan elektrik dan mengeluarkan duit syiling dan setem serta mempunyai domain Internet (.va) sendiri. – BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Malaysia sedia terajui projek pendidikan

Posted:

Malaysia sedia terajui projek pendidikan

Malaysia sedia terajui projek pendidikan

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

BALI 18 Julai - Malaysia bersedia menerajui projek-projek pembangunan pendidikan dalam usaha meningkatkan lagi mutu dan kecemerlangan pendidikan di kalangan negara-negara yang menganggotai ASEAN, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Malaysia yakin dengan pengalaman serta sumber-sumber sedia ada, ia dapat dikongsi dengan negara-negara yang menganggotai ASEAN serta rakan-rakan dialog.

Dalam konteks ini, Malaysia kata Muhyiddin, berminat untuk memainkan peranan dalam aspek membangunkan kualiti standard di peringkat universiti berikutan kematangan negara mengendalikan hal ehwal berkenaan.

"Kita minat untuk mengambil peranan dalam kualiti standard dan beberapa perkara lain kerana kita berpendapat Malaysia sudah meletakkan asas yang matang dalam bidang ini.

''Kalau kita diberi kesempatan untuk sama-sama terlibat dalam projek ini bersama ASEAN dan rakan-rakan dialog yang lain, kita boleh menerajuinya," kata Muhyiddin pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Menteri Pelajaran Asia Timur (EAS EMM) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di sini bersama-sama Menteri-Menteri Pelajaran Asean sempena persidangan yang bertemakan Meningkatkan Kualiti Pendidikan Menerusi Kerjasama Serantau yang berlangsung selama dua hari.

Mengenai bidang kualiti standard yang mahu dikongsi dengan negara-negara anggota Asean dan rakan-rakan dialog, Muhyiddin berkata, Malaysia menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpengalaman melaksanakan kualiti standard di peringkat universiti menerusi pengenalan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)

"MQA menentukan supaya tahap mutu pendidikan negara tidak jatuh dan menjejaskan pencapaian mahasiswa kita.

''MQA melaksanakan sistem standard penarafan kualiti dari segi pembelajaran di universiti dengan kriteria tertentu yang diguna pakai berbanding dengan sesetengah negara anggota ASEAN mungkin masih lagi di peringkat awal dan mereka mungkin tidak mempunyai banyak universiti," jelas beliau.

Negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog juga jelas Muhyiddin, sependapat bahawa dalam bidang pendidikan aspek yang cukup mencabar ialah memperluaskan akses pendidikan yang berkualiti di kalangan anak-anak dari negara ASEAN.

Usaha memperluaskan akses pendidikan ini juga jelas beliau, seiring dengan agenda penting Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk memastikan pendikan untuk semua (education for all) dapat dilaksanakan.

"Walaupun Malaysia dalam konteks ini sudah memenuhi sasaran Kumpulan Pembangunan Milenium (MDG) seperti yang digariskan oleh UNESCO namun masih ada sebahagian negara Asean yang yang masih ketinggalan dan kita wajar berkongsi pengalaman ini," terangnya.

Pada mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu, Muhyiddin turut berkongsi pengalaman Malaysia yang tidak pernah berhenti daripada terus mengambil pendekatan meningkatkan lagi kecemerlangan dan kualiti pendidikan negara untuk memastikan sektor berkenaan seiring dengan pencapaian antarabangsa. - utusan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved