Jumaat, 8 Julai 2011

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Keluarga dunia Ayati Tasrip

Posted:

Keluarga dunia Ayati Tasrip

Keluarga dunia Ayati Tasrip

Khadijah.ibrahim@utusan.com.my


AYATI Tasrip bukan sahaja berbakat dalam bidang seni malah dia juga pandai memasak dan mengambil tempahan daripada mereka yang berminat.


Kehadiran Ayati sebagai penyanyi di era 1980-an yang pernah mengecap kehidupan penuh glamor kini sudah berlalu.

Setelah mendirikan rumah tangga dengan Zulkifly Halim, 52, mereka dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.

Dua daripada empat orang anaknya, Mohd. Fazli, 26 dan Mohd. Faizal, 24, sudahpun mendirikan rumah tangga.

Hanya Siti Nurfazlina, 22 dan yang bongsu, Siti Nurdalila, 16 sahaja yang belum berkahwin.

Hari ini, Ayati sudah bergelar opah (nenek) dengan kehadiran dua orang cucu.

Justeru, kata Ayati, kebanyakan masanya banyak dihabiskan bersama keluarga di rumah.

S3 berkesempatan menyusuri kehidupan Ayati yang kini menetap di Bukit Sungai Putih, Lembah Jaya, Ampang, Selangor.

"Inilah kehidupan saya yang lebih tertumpu kepada keluarga. Namun jika ada undangan menyanyi, saya tidak tolak.

"Lazimnya undangan adalah secara solo untuk menjayakan makan malam tetapi kalau ada undangan ghazal, kami anak beranak akan menjayakannya.

"Lagipun, darah seni itu memang mengalir dalam diri saya dan keluarga saya pula adalah sebuah keluarga seni.

"Kalau persembahan ghazal, nama kumpulan kami ialah Bakawali," kata bekas penyanyi Orkestra Tentera Darat atau Badan Kesenian Tentera Darat (BKTD) bersama Salih Yaccob, Norsheila Amin dan Sharifah Mona.

Ayati berbangga apabila bercerita tentang kebolehan anak-anaknya bermain alat muzik.

Katanya, anak sulungnya bermain akordian dan double bass, anak keduanya pula boleh bermain biola dan menyanyi, sementara anak ketiga pula bermain cello, gendang, tamborin dan gong manakala yang bongsu, boleh bermain biola.

"Daripada bapa sampai ke anak-anak, mereka semua boleh bermain alat muzik. Hanya saya seorang sahaja yang tidak cenderung untuk bermain alat muzik.

"Semasa awal perkahwinan, pernahlah saya cuba belajar bermain piano daripada suami tetapi dia garang sangat.

"Saya terus jadi malas hendak belajar. Lagipun, biarlah saya sekadar jadi penyanyi dalam Bakawali," katanya sambil ketawa.

Melihatkan kepada keluarga seninya, Ayati berkata, adalah satu kelebihan apabila mereka sekeluarga boleh membuat latihan di rumah sebelum tampil membuat persembahan.

"Lebih mudah begini dan anak-anak juga tidak membantah apabila bapa mereka mendesak agar mereka membuat persembahan ghazal.

"Anak-anak pernah menyertai pertandingan muzik asli pada tahun 2007 anjuran Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) dan mereka berjaya mendapat tempat kedua.

"Kalau nak ikutkan kehendak anak-anak, mereka lebih cenderung ke arah genre pop tetapi biarlah disuntik semangat muzik asli atau tradisional dalam diri mereka.

"Lagipun, ghazal adalah warisan Melayu kita dan janganlah ia mati begitu sahaja tanpa kesinambungan oleh generasi muda hari ini," katanya.

Sambil tangannya rancak menyenduk kuah bihun sup untuk dijamu kepada wartawan dan jurufoto bertugas, Ayati memberitahu, anak-anak perempuannya merupakan anggota Orkestra Remaja Istana Budaya.

"Memang kami menggalakkan anak-anak bermain muzik. Bahkan dua anak lelaki saya juga menganggotai Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Orkestra DBKL).

"Lagipun, lebih mudah apabila anak beranak bermain muzik kerana jika perlu buat latihan, kita boleh adakan pada sebelah malam dan masing-masing sudah tahu peranan sendiri," katanya.

Ayati yang turut menjalankan perniagaan katering berkata, dia masih berhubungan dengan rakan artis seangkatan seperti Zur Eda, Rohana Jali, Salwa Abdul Rahman, Nassier Wahab dan Azizul Khamis.

Katanya, jika ada masa terluang, rakan-rakannya akan berkunjung ke rumahnya untuk berbual-bual sambil menikmati apa sahaja juadah yang dihidangkan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Figura bangkit semangat

Posted:

Figura bangkit semangat

Figura bangkit semangat

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY
rekreasi@utusan.com.my.
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


ARANG merupakan medium seni kegemaran buat Bayu Utomo selain cat akrilik.


PAHLAWAN Melayu terkenal dengan kegagahan mereka di seluruh dunia. Dalam sejarah, keberanian mereka telah dibuktikan sehingga kebanyakan daripada mereka sanggup mengadaikan titisan darah terakhir demi melihat bangsa Melayu hidup tanpa dijajah.

Tanpa meminta apa jua balasan, semangat juang mereka wajar diingati agar ia dijadikan semangat buat hari yang mendatang.

Pahlawan Melayu bukannya ayam jantan yang hanya tahu berkokok ataupun bermegah-megah dengan kekuatan mahupun kekayaan yang dimiliki sebaliknya mereka telah menjelajah dunia suatu ketika dahulu.

Walaupun demikian, hanya segelintir pahlawan sahaja yang diberi penghormatan tertinggi contohnya Hang Tuah yang telah mendapat penghormatan dari Maharaja Cina.

Malangnya, biarpun pengorbanan mereka tidak ternilai demi mempertahankan kedaulatan negara, kisah sejarah di sebalik pengorbanan mereka amat sedikit.

Bagaimanapun, buat Bayu Utomo Radjikin, karya-karya yang dihasilkan beliau banyak merekodkan figura pahlawan Melayu yang kini semakin dilupai.

Menyentuh mengenai figura tersebut, kerja terbarunya, 'Face With Out Name' itu turut diberi pendedahan mengenai kegagahan pahlawan Melayu.

Bayu Utomo nyata bijak dengan kombinasi lukisan wajah-wajah pahlawan Melayu dengan juruterbang-juruterbang jet pejuang.

Secara tidak langsung, beliau berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan identitinya sebelum ini dalam siri kerja Hiroshima Never Again, One World – No War, Mencari Pahlawan dan Tuboh.

Bayu Utomo berkata, subjek lukisan terbarunya itu tidak asing lagi kerana beliau pernah menghasilkan beberapa lukisan yang menceritakan mengenai Perang Teluk pada tahun 1990.

"Kali ini saya hasilkan lukisan berdasarkan apa yang sedang berlaku di Asia Barat.

"Dalam persembahan kesenian yang diadakan di Singapura baru-baru ini, saya hasilkan 11 karya dan ia mengambil masa selama tiga bulan," katanya ketika ditemui di House of Mata Hati (HOM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketelitian dan kedalaman makna yang tersirat dalam kandungan karya tersebut membawa maksud yang tersendiri bergantung kepada mereka yang melihatnya.

Bagi penulis, pahlawan Melayu kini semakin dilupai jika dibandingkan dengan juruterbang jet pejuang pada masa kini.

Peliknya, mengapa Bayu Utomo menjadikan pahlawan Melayu sebagai sumber inspirasi yang dilukis dalam kebanyakan karyanya.

Ketika ditanya mengenainya, jawapan yang diberi oleh Bayu Utomo amat mudah iaitu kerana faktor beliau syok sendiri.

"Saya tidak terlalu sentimental dalam menghasilkan sesuatu karya. Jika saya tidak syok sendiri sudah tentu saya tidak akan menghasilkannya.

"Bagi saya, persepsi syok sendiri tidak jadi masalah. Lagipun kalau kita terlalu meuar-uarkan karya kita pun untuk menjualnya ia berada di luar bidang kuasa pelukis itu sendiri," jelasnya.

Boleh dikatakan hampir 80 peratus karya pelukis yang berasal dari Tawau, Sabah ini dihasilkan berdasarkan warna hitam dan putih.

Selebihnya hanya sedikit calitan warna yang menonjolkan lagi pemilihan warna tersebut di atas kanvas.

"Dalam seni, lukisan hitam dan putih dipanggil sebagai lukisan asas. Zaman dahulu kala, manusia melukis menggunakan arang dan teknik itulah yang saya gunakan.

"Teknik tersebut memberi kesan yang tersendiri malah kebanyakan orang juga berpendapat sedemikian," ujarnya.

Menurutnya, elemen kebudayaan yang diselitkan dalam karyanya itu sering kali dijadikan pilihan berdasarkan persepsi masyarakat di negara itu sendiri.

"Bezanya saya beri idea dan ruang kepada penonton untuk berfikir. Lukisan itu seolah-olah memberi sumber inspirasi selepas mereka melihatnya.

"Ada penonton suka berfikir dan apabila mereka melihat lukisan saya pelbagai mesej boleh disampaikan.

"Sebagai pelukis, saya tidak sempitkan bidang ini dengan bidang lain kerana seni tidak sama dengan sains dan saya akan berpuas hati apabila orang lain suka melihat gambaran saya," katanya.

Berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang ini, Bayu Utomo kini mengambil langkah berani untuk melebarkan sayapnya.

Katanya, beliau kini sedang giat mengadakan pameran kesenian di luar negara antaranya seperti Singapura, Indonesia, Vietnam, India, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Buat masa ini, saya berhenti sementara untuk mengadakan pameran lukisan di Malaysia kerana saya rasa tidak ada apa yang ingin dibuktikan lagi.

"Saya sudah tunjukkan semuanya di Malaysia dan sekarang merupakan masa yang sesuai untuk kami mengadakan persembahan di luar negara.

"Semua pelukis sudah tentu inginkan kepuasan lebih-lebih lagi apabila orang asing melihat karya kita dan saya gembira dengan perkembangan ini," jelasnya.

Tambahnya, faktor utama mengapa beliau mengadakan pameran di luar negara ialah kerana peminat seni dan kolektor kesenian di negara ini lebih tertarik dengan karya antarabangsa.

"Pameran di luar negara merupakan salah satu cara untuk menaikkan nilai lukisan itu sendiri disamping menambah kenalan dan bekerjasama dengan pelukis yang lain," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved