Khamis, 8 Mei 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


PPKJ bina 32 premis perniagaan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh M. RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Ahmad Bazain Mohmud (kiri) melafazkan akad bayaran zakat sambil diperhatikan oleh Ahmad Nazlan Idris (tiga dari kanan) dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPKJ Ke-35 di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut, baru-baru ini. - Utusan/M. Rizal Nor

JERANTUT 8 Mei - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jerantut akan membina 32 unit premis perniagaan dan bengkel sebagai alternatif baharu untuk menjana pendapatan ahli-ahlinya.

Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Jerantut, Datuk Ahmad Bazain Mohmud berkata, projek berkenaan akan didirikan di kawasan perindustrian daerah ini.

"Kita telah menyiapkan kertas kerja dan sudah mencapai kata sepakat untuk menjalankan projek ini.

"Projek ini menelan belanja kira-kira RM4 juta, namun dana kita tidak mencukupi dan cara paling mudah adalah mendapatkan pinjaman kewangan jika mahu projek ini direalisasikan dengan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK Jerantut Ke-35 di Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut baru-baru ini yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris.

Yang turut hadir, Pengarah PPK negeri, Sulaiman Embong dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid.

Dalam majlis tersebut, PPK Jerantut turut menyerahkan bayaran zakat sebanyak RM9,168.13 kepada wakil Pusat Zakat Daerah.

Ahmad Bazain berkata, projek tersebut mampu menjana pendapatan untuk jangka masa panjang dan keutamaan akan diberikan kepada ahli PPK Jerantut untuk menjalankan perniagaan di premis berkenaan selain turut diberi sewa kepada orang lain.

Menurutnya, keahlian PPK Jerantut seramai 4,011 orang dan jumlahnya akan meningkat dengan penglibatan lebih ramai belia.

"Kita mahu lebih ramai belia menjadi ahli kerana lebih banyak projek akan digerakkan selepas ini dalam usaha meningkatkan pendapatan semua ahli," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya sudah memiliki beberapa projek yang sedang diusahakan terutama ternakan udang galah yang dijalankan di Ulu Cheka di sini.

"Sekarang kita ada lapan kolam dan kini hasilnya sudah dijual dengan harga antara RM35 hingga RM40 sekilogram," ujarnya.

Menurutnya, PPK Jerantut berhasrat membina stesen minyak di daerah ini yang menelan kos kira-kira RM1.5 juta.

Pendekatan kreatif anjur program keusahawanan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Shahiruddin Ab. Moin (tiga dari kanan) melancarkan program Jelajah Informasi Usahawan Pahang peringkat daerah Bentong di Dataran Bentong, baru-baru ini.

BENTONG 8 Mei - Kerajaan negeri mengambil pendekatan bersepadu dan kreatif dalam menganjurkan program Jelajah Informasi Usahawan Pahang (JIUP) bagi merangsang daya keusahawanan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, program JIUP yang diadakan ke setiap daerah itu bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat tentang peluang terbuka menceburkan diri dalam sektor berkenaan.

Katanya, fokus utama agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera adalah untuk membudayakan modal insan selain menambah pemilikan ekuiti golongan itu di negara ini.

"Program ini mendapat sambutan hangat pelbagai golongan khususnya generasi muda yang membuktikan mereka berminat kepada program keusahawanan serta perniagaan.

"Jelajah ini telah menarik minat generasi muda yang melihat keusahawanan sebagai cabang utama untuk memakmurkan keluarga dan negara," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian JIUP peringkat daerah di Padang Awam Bentong di sini baru-baru ini.

Menurutnya, program tersebut yang dijadual mengikut daerah akan ditaja oleh agensi kerajaan dan badan berkanun secara bergilir dengan disertai jabatan serta agensi kerajaan berkaitan keusahawanan.

Katanya, langkah ini memberi peluang kepada kerajaan negeri dan agensi terbabit mendapat maklumat serta maklum balas cara paling berkesan bagi memperkukuhkan agenda pemerkasaan bumiputera.

Tindakan bantah GST lebih bersifat politik pembangkang - Ismail

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Ismail Abd. Muttalib (kiri) menyampaikan cenderamata kepada seorang ketua kampung dalam majlis penutup Fiesta Mesra Belia 1Malaysia Peringkat Daerah Maran dan Jom ke Putrajaya di Dataran Teksi Maran, baru-baru ini. - utusan/salehudin ma rasad

MARAN 8 Mei - Tindakan pembangkang yang membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mengheret rakyat berdemonstrasi dibidas kerana lebih bersifat politik berbanding untuk kepentingan negara.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, bantahan yang dibuat oleh pakatan pembangkang itu hanya bertujuan mahu menjejaskan kestabilan dan menjatuhkan kredibiliti kerajaan.

"Rakyat dapat melihat kerenah dan niat sebenar pembangkang untuk meruntuhkan tamadun yang dibina kerajaan sejak selepas merdeka berbanding kononnya untuk membela rakyat," katanya ketika berucap dalam majlis Penutup Fiesta Mesra Belia 1Malaysia peringkat daerah dan Jom ke Putrajaya di Dataran Teksi Maran di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohamed Ariffin Awang Ismail; ADUN Luit, Nurhidayah Mohd. Shahaimi; Pegawai Daerah Maran, Datuk Fadzillah Salleh dan Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Khairul Amin Osman.

Menurut Ismail, ketegasan kerajaan untuk melaksanakan GST pada April 2015 sangat baik demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, kerajaan akan meneruskan program penerangan secara menyeluruh kepada rakyat tentang rasional GST di negara ini dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, penerangan yang kurang jelas mengenai perkara itu bukan sahaja membelenggu rakyat di luar bandar tetapi juga yang membabitkan golongan berpendidikan.

"Pihak pembangkang telah menjadikan isu GST sebagai modal politik untuk membelasah kerajaan walaupun pada hakikatnya sistem ini memberi kebaikan kepada negara.

"Mereka menjadikan GST untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan melalui tindakan dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan rakyat," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved