Khamis, 8 Mei 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Subang Jaya sedia jadi bandar raya

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Asmawi Kasbi

SUBANG JAYA 7 Mei - Subang Jaya telah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan untuk dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Datuk Asmawi Kasbi berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf status MPSJ kepada majlis bandar raya tidak lama lagi.

Jelasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah membuktikan kemampuannya apabila diiktiraf sebagai PBT Gemilang dengan penarafan lima bintang oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas menduduki tempat pertama dengan memperoleh markah sebanyak 90.30.

"Berdasarkan penarafan lima bintang itu, kami akan membuat permohonan secara rasmi kepada kerajaan supaya MPSJ dapat dipertimbangkan menjadi majlis bandar raya seperti Petaling Jaya dan Shah Alam.

"Saya yakin MPSJ mempunyai asas kukuh untuk mengemukakan cadangan tersebut," katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan MPSJ di sini, hari ini.

Yang turut hadir timbalannya, Abdullah Marjunid.

Menurut Asmawi, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan permohonan terbabit kerana penilaian akan dibuat berdasarkan kemampuan sesebuah PBT memberi perkhidmatan kepada orang awam, jumlah penduduk, pendapatan tahunan dan saiz kawasannya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kejayaan MPSJ meraih penarafan lima bintang dicapai hasil kerjasama dan komitmen tinggi warga kerjanya di semua peringkat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada 780,000 penduduk di kawasan itu.

"Kita berharap MPSJ berada di landasan yang betul kerana kita telah telah menetapkan dalam Pelan Strategik MPSJ untuk mencapai sasaran menjadi 30 PBT terbaik di dunia pada tahun 2030.

"Dengan kerjasama semua pihak, kita yakin misi tersebut tidak mustahil untuk dicapai," ujarnya.

Pembeli kedai dakwa tertipu

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Wilson Lau Hoi Keong (tengah) bersama-sama sebahagian pembeli yang mendakwa ditipu pemaju selepas lot kedai yang dibeli bertukar status menjadi pangsapuri mengangkat kain rentang sebagai membantah tindakan pemaju berkenaan di Kuala Lumpur, semalam

KUALA LUMPUR 7 Mei - Tiga ahli perniagaan mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM65,000 setiap seorang apabila wang yang dilaburkan untuk pembinaan sebuah lot kedai di Taman Melati di sini telah bertukar status sebagai projek pangsapuri 16 tingkat.

Pengerusi Biro Aduan Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, jumlah yang dibayar pembeli berkenaan hanyalah merupakan 10 peratus daripada jumlah keseluruhan sebagai deposit untuk sebuah lot kedai di tapak itu pada tahun 2005.

Bagaimanapun, katanya, selepas lapan tahun menunggu, mereka terkejut apabila mendapati kedai tersebut tidak dibina sekali gus mereka kehilangan hak terhadap projek berkenaan.

"Status tapak projek itu agak meragukan kerana semasa lot kedai dibeli mangsa, tanah itu dibangunkan sebagai kawasan komersial. Malangnya, kini ia menjadi projek pangsapuri perkhidmatan dan mereka tidak menerima sebarang notis atau makluman mengenai perkara itu.

"Walaupun setakat ini yang mengadu kepada kami hanya tiga orang, mungkin ada lagi yang menjadi mangsa tetapi tidak sedar akan perkara tersebut dan tidak tahu untuk mengadu kepada siapa," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalannya, Ben Liew Pok Boon akan menulis surat rasmi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mendapatkan jawapan berhubung pertukaran status pembangunan tanah tersebut.

"Bagaimana pemaju terbabit boleh menukar status projek sesuka hati dan siapa yang memberi mereka permit bagi menjalankan pembangunan lain tanpa memaklumkan kepada pembeli sedia ada?

"Saya harap pihak berwajib dapat menyelesaikan isu ini dan memberi penjelasan kukuh kerana ia melibatkan jumlah kerugian yang bukan sedikit," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga bahan logam, Low Aik Seong, 42, berkata, pertukaran status projek pembangunan itu hanya disedarinya pada tahun lalu ketika meninjau kawasan tersebut.

"Memang tiada sebarang makluman atau notis daripada pihak terlibat mengenai perkara ini.

"Ini benar-benar meragukan dan berharap pihak pemaju bertanggungjawab, katanya.

Seorang lagi mangsa yang merupakan peniaga tayar kereta, Siow Kin Min, 49, turut melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku.

Katanya, masalah itu sekali gus membantutkan hasratnya untuk membuka kedai baharu di situ.

"Saya mahukan pulangan modal yang telah dikeluarkan sebelum ini.Sudah lapan tahun saya bersabar, namun tiada sebarang hasil sehingga kini," katanya.

Sementara itu, Hoi Keong menasihati sesiapa yang terlibat dengan pembelian lot kedai tersebut pada tahun 2005 supaya menghubungi Biro Aduan dan Perkhidmatan partinya di talian 03-9287 6868.

Pembinaan pusat aktiviti diteruskan

Posted: 07 May 2014 12:40 PM PDT

Ahmad Phesal Talib (dua dari kanan) diberi penerangan mengenai projek pembinaan pusat aktiviti di tapak projek di Setapak, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 7 Mei - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap meneruskan projek pembinaan pusat aktiviti belia berdekatan pusat beli-belah KL Festival City, Setapak di sini, walaupun terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ini termasuklah keengganan penjual kereta di situ berpindah.

Menurutnya, pihak DBKL akan mengatur pertemuan dengan pihak berkenaan bagi menyelesaikan isu ini.

"DBKL telah menawarkan mereka berpindah ke lokasi lain sebelum ini, tetapi ditolak.

"Ini sekali gus membantutkan usaha-usaha pembangunan yang dirancang mengikut jadual," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak pusat aktiviti berkenaan untuk melihat perkembangan projek tersebut di Danau Kota, Setapak di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan) DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd. Sauffi Muhamad.

Beliau berkata, surat tawaran berpindah ke tapak lain dan notis terakhir telah diberikan kepada pihak terlibat.

"Sekiranya mereka masih berdegil, saya akan mengarahkan pihak penguat kuasa DBKL untuk masuk dan membuka jalan terbabit," katanya.

Menurutnya, pengusaha terlibat perlu berpindah kerana lokasi mereka mengganggu pembinaan laluan masuk ke pusat aktiviti itu.

Pada 21 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu pembinaan pusat aktiviti itu disegerakan bagi manfaat golongan belia.

Katanya, pembinaan pusat aktiviti itu amat penting bagi membendung belia daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Tambah Ahmad Phesal, kerja-kerja pembersihan sudah pun dilakukan di kawasan terbabit dan akan memasukki fasa 1 dalam tempoh terdekat.

"Selain memasang pagar, fasa 1 turut melibatkan pembinaan laluan siar kaki selain penanaman rumput.

"Manakala bagi fasa 2, kerja-kerja melibatkan pembinaan tempat letak kereta, taman permainan kanak-kanak selain tandas awam dan pondok pengawal," katanya.

Pusat aktiviti yang berkeluasan 13.2 hektar itu turut mengandungi sebuah tasik buatan bagi kemudahan pengunjung untuk beriadah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved