Rabu, 7 Mei 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Ledang pengeluar beras wangi

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

Oleh Zulhisham Isahak
utusanjohor@utusan.com.my

ABDULLAH Rashidi (kiri) dan Othman Omar (kanan) melihat benih padi semasa Majlis Tabur Biji Benih Padi Wangi MRQ76 di kawasan sawah berkelompok Kesang Tasik, Sungai Mati, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 6 Mei - Kawasan sawah padi seluas kira-kira 80 hektar di sini ditanam benih padi baharu MRQ76 mulai awal bulan ini bagi meningkatkan hasil beras wangi di Semenanjung selepas usaha sama dilakukan di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi berkata, keluasan kawasan yang menjadi model pertama penggunaan varieti itu di negeri ini melibatkan sawah padi di Kesang Tasik, Pulau Penarek, Telok Rimba dan Sawah Ring.

Sebanyak 700 kilogram benih padi jenis itu ditanam bagi projek perintis ini dengan melibatkan 48 pesawah. Daripada jumlah itu, 500 kilogram ditanam di Kesang Tasik dan selebihnya di kawasan lain dengan kos benih RM20,000.

Ledang terutama Kesang Tasik dipilih sebagai pengeluar pertama beras wangi di negeri ini selepas percubaan tiga petani sebelum ini menunjukkan hasil yang amat positif," katanya selepas menyempurnakan majlis Tabur Biji Benih Padi Wangi MRQ76 di kawasan sawah berkelompok di Kesang Tasik, Sungai Mati hari ini.

Beliau berkata, varieti itu mempunyai banyak keistimewaan antaranya pokok tegak serta tegap dengan daun pengasuh yang panjang dan tegak, matang pada 117 hari selepas ditanam benihnya, selain tahan penyakit karah, serangan kulat, serangan ulat, serangga, hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus.

Abdullah berkata, varieti baharu itu mampu meningkatkan produktiviti lima hingga enam tan metrik bagi setiap hektar sawah berbanding benih MR220CL1 atau MR220CL2 yang diguna sebelum ini dengan hasil hanya dua hingga tiga tan metrik.

Katanya, varieti itu amat sesuai dengan tanah di daerah ini kerana kajian di Kesang Tasik sebelum ini menunjukkan hasil sehingga lapan tan metrik sehektar berjaya diperoleh iaitu tertinggi berbanding negeri lain.

Jelas beliau, penggunaan benih itu bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti tetapi juga pendapatan petani daripada RM1,200 sehektar sebelum ini kepada RM1,500 sehektar untuk tempoh semusim.

Menurutnya, hasil pertama projek perintis yang menggunakan benih dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu akan dinilai apabila dituai hasilnya Ogos ini dan jika tidak mempunyai masalah diteruskan penggunaannya untuk musim akan datang.

Sekiranya mempunyai masalah seperti berlakunya serangan padi angin, kita akan cadangkan kepada petani supaya menanam semula benih yang digunakan sebelum ini iaitu MR220CL1 dan MR220CL2," katanya.

Mengenai kemarau yang dijangka melanda pertengahan tahun ini sekali gus merencatkan proses tumbesaran pokok padi jenis itu, Abdullah berkata, pihaknya merancang menggali punca air dan membina telaga untuk mendapatkan sumber air.

Kita mempunyai tiga mesin penyedut air dalam tanah yang mampu menyedut air sedalam kira-kira 21 meter. Disebabkan kemarau sebelum ini 11 petani di Pulau Penarek awal tahun ini kerugian akibat kemarau," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik MARDI, Datuk Dr. Othman Omar berkata, hasil beras wangi di daerah ini akan membantu pengeluaran makanan negara.

Ketika ini katanya, kerajaan mengimport 220,000 tan metrik beras iaitu 80 peratus beras wangi dari Thailand, Vietnam dan sedikit dari Myanmar manakala selebihnya adalah beras basmati dari India dan Pakistan.

Penduduk lega lampu isyarat dipasang di ‘jalan maut’

Posted: 06 May 2014 12:00 PM PDT

PEMASANGAN lampu isyarat memberi keselesaan pengguna yang melalui persimpangan Jalan Kampung Tengah dan Jalan Sungai Terap dekat Muar, Johor, semalam.

MUAR 6 Mei - Lebih 1,000 penduduk berdekatan persimpangan empat di Kampung Tengah, Sungai Terap, di sini kini mampu menarik nafas lega selepas lampu isyarat sudah dipasang kerana sebelum ini kerap berlaku kemalangan.

Penantian lima tahun oleh penduduk ternyata tidak sia-sia kerana laluan berkenaan lebih teratur dan selamat kerana mampu menghalang pengguna jalan raya daripada masuk dan keluar simpang sesuka hati.

Ketua Kampung berkenaan, Rashid Elias berkata, keperluan memasang kemudahan itu amat mendesak kerana laluan tersebut sibuk sepanjang masa dengan pelbagai jenis kenderaan sekali gus terdedah dengan risiko kemalangan.

Jalan ini yang menghubungkan Kampung Jeram Masjid, Sungai Terap, Bukit Pasir, Pagoh, Simpang Jeram dan ke bandar ini menjadi tumpuan kenderaan berat sebagai laluan pintas ke Kawasan Perindustrian Parit Lanjut.

Penduduk di sini panggil simpang empat ini jalan maut kerana kerap berlaku kemalangan termasuk kemalangan maut. Contohnya tahun lalu ada lima kemalangan maut berlaku membabitkan motosikal dengan kereta," katanya ketika ditemui hari ini.

Jelas beliau, sejak pihak berkuasa memasang lampu isyarat, aliran trafik di kawasan tersebut menjadi lebih teratur dan setakat ini belum berlaku kemalangan yang serius.

Dalam pada itu, peniaga runcit, Halimah Abd Rahim, 60, berkata, hampir setiap hari dia melihat kemalangan sejak mengusahakan kedai runcit berdekatan kawasan tersebut tiga tahun lalu.

Kejadian itu katanya, sedikit sebanyak memberikan rasa trauma setiap kali melalui simpang berkenaan kerana banyak kenderaan dipandu laju.

Saya lihat masing-masing pemandu dan penunggang seperti berebut-rebut mahu masuk dan keluar simpang tanpa memikirkan keselamatan diri serta pengguna lain," katanya.

Katanya, perbuatan itu dilihat menyumbang berlakunya kemalangan selain tindakan pengguna yang tidak memasang lampu isyarat ketika masuk dan keluar simpang.

Sementara itu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Muar, Ramli Othman berkata, lampu isyarat dengan kos RM151,000 itu dipasang November lalu dan mula berfungsi awal tahun ini.

Pemasangan kemudahan itu untuk mengurangkan kemalangan dan pengguna diharapkan lebih berdisiplin semasa menggunakan jalan tersebut agar kejadian tidak diingini tidak menimpa diri mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved