Utusan Online - Dalam Negeri |
- Kementerian Kesihatan minta Selangor henti guna air lombong
- El Nino: Kerajaan akan pastikan bekalan makanan mencukupi
- Usaha kesan anggota kumpulan al-Syabab diteruskan
Kementerian Kesihatan minta Selangor henti guna air lombong Posted: 09 May 2014 02:42 AM PDT SEGAMAT 9 Mei - Kementerian Kesihatan sudah meminta kerajaan negeri Selangor menghentikan penggunaan air dari kolam bekas lombong sebagai sumber bekalan air kepada rakyat negeri itu walaupun ia disahkan selamat. Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, langkah itu adalah untuk sementara waktu sahaja berikutan rakyat Selangor masih bimbang dan sangsi setelah tersebarnya khabar angin kandungan air dari sumber itu tidak selamat. "Walaupun air dari sumber kolam itu disahkan selamat, tetapi disebabkan persepsi masyarakat bahawa ia tercemar dengan pelbagai toksik berbahaya, adalah lebih baik cari pilihan lain untuk menampung keperluan rakyat di negeri itu. "Saya akan bincang dengan Lembaga Urus Air Selangor dan kerajaan negeri, kalau boleh jangan gunakan air kolam bekas lombong untuk sementara waktu ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Lawatan Pemantauan Projek Bangunan Gantian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Nan, Batu Anam di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
El Nino: Kerajaan akan pastikan bekalan makanan mencukupi Posted: 09 May 2014 02:21 AM PDT KUALA LUMPUR 9 Mei - Usaha sedang dilakukan bagi memastikan negara tidak diancam dengan kekurangan bekalan makanan jika kemarau melanda berikutan fenomena El Nino yang dijangka bermula Jun hingga Disember. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu sedang berbincang dengan agensi-agensi berkaitan pengeluaran makanan negara termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan bekalan makanan dan bekalan air untuk kegunaan sektor pertanian, terutama sawah padi, mencukupi. Selain itu kementerian juga merangka strategi lain bagi menghadapi kemarau yang bakal berlaku, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Tekun Nasional (Suktem) 2014 di sini hari ini. Beliau berkata selain memastikan bekalan air mencukupi, kementerian itu juga akan mengambil langkah seperti mengimport bekalan makanan asas seperti beras dari negara luar sekiranya berlaku kekurangan bekalan di pasaran tempatan. - BERNAMA |
Usaha kesan anggota kumpulan al-Syabab diteruskan Posted: 09 May 2014 02:21 AM PDT Oleh SYUKRI SHAARI TAIPING 9 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan intipan untuk menghidu dan mengesan saki-baki anggota kumpulan militan al-Syabab yang dipercayai mula menyusup masuk ke negara ini sejak dua tahun lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan yang berpangkalan di Afrika itu dikesan memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, pas pekerja dagang dan pas sosial. Katanya, rata-rata ahli kumpulan itu menggaburi mata pihak berkuasa apabila mendaftar sebagai pelajar di kolej-kolej swasta khususnya akademi bahasa. "Setakat ini hanya seorang ahli kumpulan itu telah berjaya ditahan hasil intipan Unit Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman. Kami akan terus menjejaki saki-baki kumpulan ini yang dipercayai masih berada di Malaysia bagi memastikan negara ini tidak menjadi sarang latihan kumpulan pengganas," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pengisytiharan Pusat Koreksional Kamunting dekat sini hari ini.- UTUSAN ONLINE. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan