Jumaat, 9 Mei 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Kementerian Kesihatan minta Selangor henti guna air lombong

Posted: 09 May 2014 02:42 AM PDT

SEGAMAT 9 Mei - Kementerian Kesihatan sudah meminta kerajaan negeri Selangor menghentikan penggunaan air dari kolam bekas lombong sebagai sumber bekalan air kepada rakyat negeri itu walaupun ia disahkan selamat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, langkah itu adalah untuk sementara waktu sahaja berikutan rakyat Selangor masih bimbang dan sangsi setelah tersebarnya khabar angin kandungan air dari sumber itu tidak selamat.

"Walaupun air dari sumber kolam itu disahkan selamat, tetapi disebabkan persepsi masyarakat bahawa ia tercemar dengan pelbagai toksik berbahaya, adalah lebih baik cari pilihan lain untuk menampung keperluan rakyat di negeri itu.

"Saya akan bincang dengan Lembaga Urus Air Selangor dan kerajaan negeri, kalau boleh jangan gunakan air kolam bekas lombong untuk sementara waktu ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Lawatan Pemantauan Projek Bangunan Gantian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Nan, Batu Anam di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

El Nino: Kerajaan akan pastikan bekalan makanan mencukupi

Posted: 09 May 2014 02:21 AM PDT

KUALA LUMPUR 9 Mei - Usaha sedang dilakukan bagi memastikan negara tidak diancam dengan kekurangan bekalan makanan jika kemarau melanda berikutan fenomena El Nino yang dijangka bermula Jun hingga Disember.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu sedang berbincang dengan agensi-agensi berkaitan pengeluaran makanan negara termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan bekalan makanan dan bekalan air untuk kegunaan sektor pertanian, terutama sawah padi, mencukupi.

Selain itu kementerian juga merangka strategi lain bagi menghadapi kemarau yang bakal berlaku, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Tekun Nasional (Suktem) 2014 di sini hari ini.

Beliau berkata selain memastikan bekalan air mencukupi, kementerian itu juga akan mengambil langkah seperti mengimport bekalan makanan asas seperti beras dari negara luar sekiranya berlaku kekurangan bekalan di pasaran tempatan. - BERNAMA

Usaha kesan anggota kumpulan al-Syabab diteruskan

Posted: 09 May 2014 02:21 AM PDT

Oleh SYUKRI SHAARI

TAIPING 9 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan intipan untuk menghidu dan mengesan saki-baki anggota kumpulan militan al-Syabab yang dipercayai mula menyusup masuk ke negara ini sejak dua tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan yang berpangkalan di Afrika itu dikesan memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, pas pekerja dagang dan pas sosial.

Katanya, rata-rata ahli kumpulan itu menggaburi mata pihak berkuasa apabila mendaftar sebagai pelajar di kolej-kolej swasta khususnya akademi bahasa.

"Setakat ini hanya seorang ahli kumpulan itu telah berjaya ditahan hasil intipan Unit Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman. Kami akan terus menjejaki saki-baki kumpulan ini yang dipercayai masih berada di Malaysia bagi memastikan negara ini tidak menjadi sarang latihan kumpulan pengganas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pengisytiharan Pusat Koreksional Kamunting dekat sini hari ini.- UTUSAN ONLINE.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved