Jumaat, 9 Mei 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kafe siber tanpa lesen disita

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

Anggota penguat kuasa MPAG merampas komputer daripada sebuah siber kafe yang beroperasi tanpa lesen di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka, baru-baru ini.

ALOR GAJAH 8 Mei - Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menyita sebuah premis kafe siber di Kuala Sungai Baru dekat sini serta merampas 13 unit komputer kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Yang Dipertuanya, Murad Husin berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan MPAG pada Isnin lalu itu turut mengeluarkan kompaun terhadap pemiliknya kerana mempamerkan iklan tanpa kebenaran MPAG.

Menurutnya, hasil maklumat orang ramai dan risikan yang dijalankan, premis terbabit telah beberapa bulan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Premis itu disita di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Tred (MPAG) 2010 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang dikeluarkan oleh MPAG dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000.

"Bagi kesalahan mempamerkan iklan tanpa mendapat kebenaran daripada MPAG boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Iklan (MPAG) 2010," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, serbuan yang diketuai Pengarah Penguat kuasa MPAG, Radzyma Mahat bersama tujuh anggota itu mendapat kerjasama daripada pemilik premis terbabit.

Katanya, usaha mengesan premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen di sekitar daerah ini akan terus dipergiatkan dan MPAG tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menyita premis terbabit.

Justeru katanya, pemilik premis dinasihatkan memohon lesen atau permit perniagaan terlebih dahulu dari MPAG sebelum menjalankan sebarang operasi perniagaan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

Terap ilmu keselamatan jalan raya seawal mungkin

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Sebahagian daripada pelajar bersama hadiah kemenangan selepas menyertai Pertandingan Lalu lintas Jalan Raya MKJR/Shell peringkat negeri Melaka 2014 di Bukit Serindit, Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad

MELAKA 8 Mei - Penerapan ilmu dari peringkat awal mengenai isu keselamatan serta undang-undang jalan raya dilihat mampu membantu melahirkan golongan pengguna beretika seiring harapan kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian di jalan raya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, inisiatif melalui program pendidikan lalu lintas dalam kalangan pelajar sekolah merupakan salah satu usaha terbaik ke arah mencapai hasrat tersebut.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu merupakan proses untuk mendidik para pelajar dari peringkat awal usia kerana mereka akan membesar menjadi pengguna jalan raya.

"Saya percaya dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi mengenai peraturan dan undang-undang di jalan raya, kita akan dapat mengubah masyarakat menjadi lebih berhemah dan beretika," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Pertandingan Lalu lintas Jalan Raya Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR)/Shell peringkat negeri 2014 di Dewan Bola Keranjang Bukit Serindit di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Zaidi Attan.

Yang hadir sama Pengurus Besar Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd, Au Tong Sing dan Setiausaha MKJR negeri, Ong Tai Chu.

Pertandingan yang diadakan dari 6 Mei hingga hari ini melibatkan penyertaan pelajar tahun empat hingga tingkatan dua dari 55 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

Jelas Idris, melalui program yang dianjurkan juga, negeri ini berjaya mencatatkan penurunan kes kemalangan jalan raya melibatkan kematian dari 263 kes pada 2012 kepada 258 kes tahun lalu.

"Ini menunjukkan bahawa para pengguna di negeri ini sudah mula mematuhi peraturan jalan raya dan menghormati pengguna lain ekoran pelbagai kempen dan program kesedaran dianjurkan MKJR," katanya.

Program yang telah meletakkan negeri ini sebagai juara peringkat kebangsaan pada tahun lalu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada majlis penutup itu, Pasukan Terbaik Keseluruhan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Daun (kategori sekolah menengah) dan Sekolah Kebangsaan Seri Bemban (kategori sekolah rendah).

Pesta Buku NS 2014 dapat sambutan

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Orang ramai berpeluang memilih pelbagai jenis buku dalam Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 di Seremban. - UTUSAN/ ASWAD YAHYA

SEREMBAN 8 Mei - Apabila anda membeli sebuah buku, tentulah anda akan membacanya dari kulit depan, isinya dan kulit belakang.

Jarang orang yang membeli buku, kemudian terus menyimpannya dalam rak di rumah, tanpa membacanya dan penulis berharap, anda tidak tergolong dalam kumpulan yang membeli buku tetapi tidak membacanya.

Maka dalam hal ini, membaca tulisan penulis ini juga dianggap sebagai satu daripada kejayaan dalam kempen membaca.

Bagaimanapun, jika bahan bacaan ini tidak cukup, penulis syorkan anda segera ke Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 yang kini berlangsung di Mydin Mall Seremban 2 untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan Perbadanan Perpustakan Awam Negeri Sembilan (PPANS).

Pengerusi Jawatankuasa Gerakan Membaca negeri, Datuk Mohammad Razi Kail, penganjuran program ini dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan bukan sekadar pengisian program.

Akan tetapi katanya, ia bermatlamat untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Katanya, aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ini bertujuan memberi maklumat dan pendedahan kepada semua lapisan masyarakat di samping mendekatkan serta memesrakan mereka dengan perpustakaan di negeri ini.

"Program ini turut menyaksikan 36 buah gerai jualan buku selain pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sepanjang program yang bermula 6 Mei lalu sehingga Ahad ini.

"Dari segi sambutannya ia cukup menggalakkan dan kita merancang untuk menambah jumlah gerai jualan pada tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Negeri Sembilan 2014 di sini di Mydin Mall Seremban 2 di sini kelmarin.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Abd. Razak Ab. Said.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri, Jamilah Katis dan Pengurus Mydin Mall Seremban 2, Sajahan Salman Baris.

Mohammad Razi berkata, antara program yang dilaksanakan sepanjang pesta berkenaan termasuklah Bicara Bersama Angkasawan Negara, Bicara Tokoh, Persembahan Qasidah, Pertandingan Tarian Rakyat, Deklamasi Sajak dan Bercerita yang diadakan di lokasi yang sama.

Dalam pada itu Abd. Razak ketika berucap pada majlis tersebut berkata, tahap membaca dalam kalangan masyarakat merupakan salah satu indikator dalam menentukan kualiti pendidikan sebuah negara.

Katanya, ukuran ini menentukan kemajuan dalam bidang pendidikan kerana dalam era globalisasi yang bersifat terbuka, menuntut masyarakat untuk mencari ilmu sebanyak mungkin.

"Biarpun dunia kini berada di hujung jari menerusi telefon pintar namun buku masih memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Buku adalah wadah pengetahuan kepada manusia yang sentiasa dahagakan pelbagai ilmu.

"Mengambil contoh di negara Jepun mereka sangat maju. Pembangunan fizikal dan mental adalah seimbang kerana masyarakat di siana menjadikan amalan membaca itu sebati dengan jiwa mereka," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved