Sabtu, 19 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Remaja 18 tahun edar dadah ditahan

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

Remaja yang ditahan bersama 18 lagi penagih dadah dalam operasi Op Sepadu di Pelantar Ikan Ah-lu Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 18 April - Seorang pengedar dadah berusia 18 tahun merupakan antara 19 penagih yang ditahan dalam operasi Op Sepadu di Pelantar Ikan Ah-lu, Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, di sini semalam.

Turut ditahan ialah seorang wanita berumur 25 tahun dan mempunyai tiga anak yang mengakui akan berkunjung ke pelantar tersebut pada waktu tengah hari untuk mendapatkan bekalan daripada remaja terbabit.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Mat Akhir Jaafar memberitahu, operasi yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir pukul 1 petang itu turut menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar, Nepal, Thailand dan China.

Menurutnya, penagih yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi ujian air kencing manakala PATI pula dibawa ke Jabatan Imigresen negeri Kedah.

'Kesemua yang ditahan kebanyakannya bekerja sebagai nelayan di sini dan berumur antara 18 hingga 45 tahun.

'Seorang lelaki berumur 30-an turut kita tahan atas kesalahan menghalang penjawat awam bertugas apabila dia melawan ketika penguatkuasa cuba menggari salah seorang rakannya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,' katanya.

Op Sepadu ini turut disertai Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Pejabat Tanah Daerah Kota Setar.

Dua sahabat bawa ganja RM80,000 diberkas

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

ALOR SETAR 18 April - Dua sahabat ditahan bersama 40 ketulan mampat dadah disyaki ganja di Jalan Hutan Kampung di sini, kira-kira pukul 8 malam, Selasa lalu.

Ganja seberat 39 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM80,000 itu disembunyikan di tempat simpanan barang kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki kedua-dua suspek.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Kedah, Supritendan Abd. Razak Md. Zin, dadah yang dibawa lelaki berumur 46 tahun dan 38 tahun itu dipercayai untuk edaran di sekitar negeri Kedah.

"Ketika polis JSJ Narkotik negeri melakukan pemeriksaan pada tempat simpanan barang kereta tersebut, kita dapati ada dadah di dalam plastik dan ada juga yang dibiarkan berselerak.

'Kita masih menyiasat dari mana bekalan ini diperoleh dan berdasarkan siasatan awal kedua-dua suspek positif dadah,' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Abd. Razak berkata, lelaki beru mur 46 tahun itu telah berkahwin dan merupakan peniaga kedai makan di sini manakala seorang lagi merupakan duda yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

Beliau berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

'Kita turut merampas kereta Proton Perdana milik salah seorang daripada mereka dan kedua-dua suspek direman selama seminggu sehingga 22 April ini,' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada Sabtu dan Ahad lalu, satu operasi iaitu Op Tapis Khas diadakan di seluruh negeri Kedah dan berjaya menahan 134 orang atas pelbagai kesalahan dadah.

Menurut beliau, hasil operasi tersebut polis merampas 437 gram dadah jenis heroin, 80.6 gram syabu, 3.37 gram ganja, 88.8 liter air ketum dan 55 kg daun ketum.

2 bot nelayan ceroboh kawasan ditahan

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

PULAU PINANG 18 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri berjaya menahan dua buah bot nelayan Zon B yang menceroboh kawasan pantai kira-kira pukul 3.50 petang ini.

Bot yang berpangkalan di Teluk Bahang itu dikesan menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan kira-kira sembilan kilometer dari Tanjung Huma.

Ketua Penguatkuasa Maritim Malaysia Daerah Maritim 2, Kapten Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pihaknya turut menahan dua tekong dan lima awak-awak warga tempatan namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati salah sebuah bot itu memiliki rekod kesalahan lampau juga berkaitan pencerobohan zon menangkap ikan.

'Sejumlah 280 kilogram (kg) ikan dan 320 kg ikan baja dirampas Maritim Malaysia.

'Kedua-dua bot itu melakukan kesalahan dan disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang dari lima batu nautika dari pantai,' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Kamaruszaman, pihaknya memandang serius aktiviti pencerobohan bot nelayan zon B itu dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negeri ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved