Sabtu, 19 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Catuan air: Patut ada pelan B

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
kota@utusan.com.my

IRMOHIZAM IBRAHIM

KLANG 19 April - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya mempertimbangkan idea mendapatkan bekalan air mentah dari luar bagi penyelesaian jangka pendek krisis air di negeri itu dan bukannya sewenang-wenangnya menolak cadangan tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, Abdul Khalid yang juga pakar ekonomi sepatutnya mewujudkan pelan B bagi menampung permintaan bekalan air di negeri ini dengan meningkatkan aktiviti memperbanyakkan sumber bukannya memberi alasan demi alasan sehingga rakyat menjadi bosan.

"Penduduk di kawasan saya di Kuala Selangor turut terlibat dengan catuan air yang menyusahkan kehidupan seharian mereka. Masalah yang teruk ini sepatutnya diatasi dengan Menteri Besar membeli air dari luar seperti dari Negeri Sembilan yang telah menawarkan untuk menjualnya.

"Sebaliknya, kerajaan negeri hanya tahu mendabik dada mengatakan mereka mempunyai rizab sebanyak RM3.2 bilion, tetapi tidak menggunakan duit tersebut untuk menampung permintaan air dari rakyat dan pemain industri. Apa guna subsidi jika air tidak dibekalkan secukupnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas merasmikan Karnival Mesra Belia 1Malaysia Daerah Klang di Kompleks Rakan Muda Kapar, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Gerakan Belia 4B Selangor, Tuan Ahmad Zakir Abdul Rahman; Pengerusi Gerakan Belia 4B Daerah Klang, Haizi Salleh dan Pengerusi Gerakan Belia 4B Parlimen Kota Raja, Muhd. Ali Zakaria.

Irmohizam berkata, sehubungan itu, rakyat Selangor seharusnya sedar siapa yang benar-benar komited membantu rakyat dan siapa yang mengambil sikap menyusahkan mereka dengan pelan catuan yang berkemungkinan besar berlanjutan selama dua tahun.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Belia Selangor (MBS) turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara menyiasat pentadbiran pengurusan Universiti Selangor (Unisel) berhubung kerugian dialami universiti itu berjumlah RM37 juta.

"Siasatan perlu dilakukan bagi mengenal pasti kepincangan yang berlaku. Perkara itu amat penting berikutan memberi impak buruk dan imej negatif kepada penuntut Unisel sendiri.

"Kita juga minta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberitahu jumlah pinjaman yang diperuntukkan kepada pelajar Unisel kerana selama ini kerajaan negeri dengan lantang kononnya mahu memberi pendidikan percuma," tegasnya.

Ubat, kosmetik bernilai RM40,000 dirampas

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 April - Ribuan peket ubat-ubatan dan kosmetik bernilai RM40,000 yang disyaki mengandungi racun berjadual dirampas pasukan penguat kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah dalam serbuan di sekitar Jalan Raja Bot di sini malam tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 8 malam itu, sebanyak 31 premis diserbu selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung penjualan ubat-ubatan serta bahan kosmetik yang kandungannya diragui.

Difahamkan, antara ubat-ubatan yang dirampas adalah ubat kuat yang mampu merangsang nafsu lelaki.

Dipercayai ubat sebegini mengandungi bahan terlarang seperti hydroquinone dan sildenafil yang boleh mengakibatkan pengguna mengalami masalah kesihatan seperti kegagalan jantung dan masalah buah pinggang.

Ketua Cawangan Penguat Kuasa Farmasi, Asniza Alias berkata, risikan pihaknya mendapati banyak ubat-ubatan terlarang serta bahan kosmetik dijual secara terbuka di kawasan ini.

"Kita menjalankan risikan sejak sebulan lalu dan mendapati ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual ini banyak terjual dan lebih membimbangkan kebanyakannya tidak diproses di negara ini sebaliknya diambil dari negara jiran.

"Perkara itu lebih membahayakan pengguna kerana kita tidak mengetahui kandungan sebenar yang ada dalam ubat itu. Sekalipun ubat seperti pil perangsang seks didakwa pengguna amat berkesan namun risiko tetap tinggi.

"Setiap produk yang dirampas ini mengandungi kandungan racun seperti hydroquinone, sildenafil, steroid, antihistamin dan antibiotic yang mampu mengakibatkan kesan kepada tubuh manusia jika digunakan tanpa rujukan pakar perubatan," katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini.

Mengulas lanjut, Asniza memberitahu, pihaknya turut merampas produk kosmetik dan makanan tambahan yang dipercayai turut mengandungi bahan terlarang.

"Produk yang kita rampas kebanyakannya adalah jenis kosmetik pemutih muka dan penambah hormon. Produk ini sebenarnya telah kami jalankan ujian di makmal bagi menentukan kandungannya yang jelas sekali turut mengandungi racun berjadual," katanya.

Tambah beliau, permintaan orang ramai terhadap ubat-ubatan serta kosmetik di sekitar Jalan Raja Bot menyebabkan pertambahan premis di lokasi ini.

"Kita mendapati, kebanyakan peniaga memperoleh pendapatan bersih RM1,000 hingga RM4,000 sehari di sini dan pelanggan mereka bukan sahaja daripada kalangan orang tempatan malah warga asing," katanya.

Ujarnya, kes terbabit disiasat mengikut kesalahan Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah yang boleh disabitkan melibatkan denda hingga RM50,000 atau penjara tiga tahun.

Dalam perkembangan sama, Asniza turut menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan sebarang ubatan atau kosmetik untuk kegunaan harian supaya menyemak status pendaftaran produk farmaseutikal di laman web, www.bpfk.gov.my terlebih dahulu.

"Malah kami turut membekalkan kad pengimbas pelekat hologram ubat di premis penjualan ubat-ubatan dan pengguna dinasihatkan meminta kad itu daripada peniaga bagi mengesan ketulenan setiap produk yang ingin dibeli," katanya.

Tarik balik PPR jika salah guna

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik balik mana-mana unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dikhaskan kepada golongan berpendapatan rendah, jika penyewanya didapati menyalahgunakan kemudahan itu, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, ini termasuk penyewa tidak menyerahkan rumah PPR kepada DBKL setelah pendapatan mereka melepasi garis kemiskinan atau telah membeli rumah lain dan menyewakan kemudahaan itu kepada individu lain.

"Kita ambil keputusan drastik, kita sudah beritahu Datuk Bandar Kuala Lumpur kalau perkara ini berlaku kita akan tarik serta-merta dan akan memutuskan bekalan air dan elektrik di kediaman berkenaan tanpa sebarang notis," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci PPR Bukit Jalil, di sini hari ini.

Sebanyak 96 penyewa menerima kunci rumah pada majlis itu dengan kadar sewa RM124 sebulan. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Tengku Adnan berkata, DBKL tidak akan berkompromi dan setakat ini sebanyak 80 unit PPR telah ditarik balik di seluruh Kuala Lumpur akibat pelbagai penyalahgunaan.

Mengenai 'Perhimpunan 1 Mei' yang dirancang pihak tertentu, Tengku Adnan berkata, DBKL kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di Dataran Merdeka.

"Sekali-kali tidak di Dataran Merdeka, kami mungkin menimbang Padang Merbok atau tempat lain, tapi bukan Dataran Merdeka," katanya.

Perhimpunan berkenaan dirancang bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar kerajaan Barisan Nasional termasuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP), tuntutan royalti, kenaikan harga barang dan memansuhkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved