Sabtu, 19 April 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


KDN selaras pemberian kuasa Komandan Esscom kepada polis, tentera - Ahmad Zahid

Posted: 19 Apr 2014 03:29 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 April - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyelaras pemberian kuasa Komandan operasi Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) secara bergilir kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu juga sedang diteliti Majlis Keselamatan Negara sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk keputusan muktamad.

``Perubahan kuasa lazimnya merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman atau Kementerian Pertahanan.

``Oleh yang demikian, bagi menentukan keseluruhan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dikawal sepenuhnya, maka Komandan ini lebih baik digilirkan untuk beberapa tahun tertentu kepada pihak polis dan tentera,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga KDN di Kompleks Penjara Kajang dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penyelarasan penggiliran itu penting bagi mengelak percanggahan kuasa dan melibatkan penggunaan aset yang dibeli oleh PDRM, ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

``Pada hemat saya, yang penting keselamatan penduduk di sekitar Esszone dan menghalang kemasukan penceroboh dari negara jiran serta penyeludupan barangan ke dalam atau luar terutamanya barangan bersubsidi,'' katanya.

Ditanya mengenai bidang kuasa ATM dalam membuat tangkapan ketika menjadi Komandan di kawasan Esscom itu, Ahmad Zahid berkata: ``Apa yang telah diselaraskan ialah mereka (tentera), mempunyai kuasa tangkapan, tetapi diserahkan kepada polis untuk tindakan''.

Mengulas tahap keselamatan di pantai timur Sabah ekoran insiden penculikan di Semporna baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup berdefinisi tinggi di kesemua 11 resort di premis masing-masing untuk memperketat kawalan keselamatan.

Beliau juga berkata satu memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani dengan kerajaan Nepal dan Bangladesh berhubung pengambilan pekerja negara itu di negara ini.

``Saya telah menjemput Menteri Tenaga Kerja Bangladesh dan Nepal ke Kuala Lumpur untuk tandatangan MoU itu. Namun, oleh kerana ia adalah di bawah kuasa Kementerian Sumber Manusia, maka KDN akan menjadi saksi untuk menentukan pelaksanaannya dapat dijalankan secara teratur,'' katanya.

Beliau mengulas penahanan 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang bekerja di sebuah pusat peranginan di Sabah berhubung penculikan di Singamata Adventures Reef and Resort, Semporna, Sabah.

Dalam laporan itu, Ahmad Zahid meminta pengusaha resort dan majikan tidak mengambil warga asing atau individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah kerana ia akan mengakibatkan pelbagai masalah kelak.

``Macam pekerja asing Bangladesh dan Nepal, mereka minta pihak agensi pekerja asing tak kenakan bayaran tinggi untuk pengambilan pekerja dalam negara. Kita sebenarnya dah tentukan jumlah yang cukup minimum untuk pemprosesan Biometrik dan sebagainya,'' katanya.

Bagaimanapun masalah timbul kerana agensi terbabit mengenakan bayaran tinggi iaitu lebih RM24,000.

``Mereka terpaksa gadaikan harta benda untuk membuat pinjaman... Jadi saya fikir perlu ada tindakan dilakukan bukan sahaja melibatkan kerajaan dengan kerajaan tetapi juga perjanjian perniagaan dengan perniagaan,'' katanya. - BERNAMA

15 jemaah umrah negatif jangkitan MERS-CoV, kata Subramaniam

Posted: 19 Apr 2014 02:53 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 April - Pemeriksaan ke atas 15 jemaah umrah yang pulang dari Tanah Suci bersama-sama seorang lelaki yang disahkan meninggal dunia akibat `Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona' (MERS-CoV), menunjukkan mereka negatif daripada jangkitan wabak itu.

``Tidak ada kes lain. Semua yang diperiksa adalah negatif,'' kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam kepada pemberita selepas merasmikan program kesihatan masyarakat MySihat India 1Malaysia 2014 di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata kementerian akan terus memantau rapi kesemua jemaah terbabit bagi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Pada 13 April lepas, seorang lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail akibat pneumonia teruk susulan jangkitan MERS-CoV.

Mangsa pulang ke tanah air pada 29 Mac dan mengadu mengalami demam, batuk serta kesukaran bernafas selepas kira-kira 10 hari kemduain dan dimasukkan ke hospital berkenaan pada 10 April.

Sementara itu, mengulas program hari ini, Subramaniam berkata terdapat keperluan yang tinggi untuk mempertingkat kesedaran gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat India di Malaysia. - BERNAMA

Pencarian diteruskan dengan kemungkinan ditambah aset komersial - Hishammuddin

Posted: 19 Apr 2014 02:16 AM PDT

KUALA LUMPUR 19 April - Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberi jaminan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan diteruskan, walaupun terdapat rancangan operasi berkenaan akan dibincang dan dibuat penilaian semula.

Katanya, pasukan operasi mencari di bawah seliaan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan Australia dan pihak terbabit, bagaimanapun menimbang pendakatan lain, termasuk meluaskan skop pencarian dan menggunakan aset lain yang mungkin relevan dengan pencarian itu yang memasuki hari ke-43 hari ini.

Selain terus menggunakan kapal selam mini Bluefin-21 untuk kerja mencari di dalam air, pihak berkuasa Malaysia kini mengkaji kemungkinan menambah penggunaan aset komersial dalam operasi itu, katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan usaha mencari pesawat berkenaan di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot berkata operasi mencari itu akan dibincang dan dinilai semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu `dalam masa beberapa hari lagi'.

``Di sini, syarikat seperti Deftech, DRB, Boustead dan beberapa syarikat Malaysia telah bertemu dan berbincang dengan rakan mereka dari luar negara berhubung cara bagaimana kita boleh menambah AUV (kenderaan dalam air autonomi) untuk membantu usaha mencari,'' kata Hishammuddin. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved