Sabtu, 19 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Kecewa lesen niaga ditamatkan

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

IDRIS Jaafar menunjukkan lesen peniagaannya di Kampung Rawang, Sungai Mati, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 18 April - Pendapatan lebih 100 petani bakal terjejas jika gerai yang memasarkan hasil pertanian mereka selama ini di Batu 5 Kampung Rawang, Sungai Mati, dekat sini dirobohkan tidak lama lagi.

Gerai berkenaan yang beroperasi sejak 13 tahun lalu menjual 30 jenis buah, tanaman kontan serta produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari kawasan berdekatan.

Pemiliknya, Idris Jaafar, 54, berkata, arahan untuk merobohkan gerai tersebut telah dikeluarkan Majlis Daerah Tangkak (MDT).

'Jika gerai ini dirobohkan, aktiviti perniagaan di kawasan Rawang akan terhenti. Bukan itu sahaja, tujuh lagi gerai di sepanjang Jalan Rawang ini dikhuatiri menerima nasib sama. Ini memberi kesan terhadap ekonomi petani serta usahawan IKS.

'Saya menerima dua notis daripada MDT iaitu pembatalan lesen perniagaan dalam surat bertarikh 5 Januari lalu, sedangkan tempoh tamat lesen pada 31 Disember tahun ini,' katanya dalam perbincangan diadakan di sini hari ini.

Perbincangan selama sejam itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Samat Atan; Naib Yang Dipertua Perkasa negeri, Ghauth Mohd. Yusof serta Ketua Penerangan Perkasa negeri, Rosli Osman.

Idris memberitahu, pada 10 Mac lalu dia menerima satu lagi arahan untuk merobohkan gerai tersebut dalam tempoh 21 hari.

'Dalam pada itu saya turut menerima surat daripada Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang menyatakan kerja meruntuhkan kedai tersebut ditangguhkan.

'Saya bukan ingkar arahan tetapi tidak berpuas hati dengan tindakan MDT terutamanya apabila menamatkan lesen perniagaan saya secara mengejut,' kata bapa kepada tujuh anak itu lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua MDT, Ab. Han Ramin ketika dihubungi berkata, tindakan merobohkan gerai tersebut diambil berikutan kedudukannya di tepi jalan membahayakan keselamatan orang ramai yang berhenti untuk membeli buah-buahan atau produk IKS.

"Adalah lebih baik peniaga mencari lokasi yang lebih selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terjadi," katanya.

Hospital Segamat perlu banyak bekalan darah

Posted: 18 Apr 2014 10:58 AM PDT

DR. Faidzal Adlee Abd. Ghafar (dua dari kanan) dan Mohd. Kamil Sukarmi (kanan) melihat anggota Perkep menderma darah di IPD Segamat, kelmarin.

SEGAMAT 18 April - Orang ramai diminta menderma darah untuk Hospital Segamat (HS) yang memerlukan lebih 6,000 beg darah setahun apabila dinaik taraf menjadi hospital pakar tidak lama lagi.

Ketua Unit Transfusi Darah HS, Dr. Faidzal Adlee Abd. Ghafar berkata, setiap bulan kira-kira 300 hingga 400 beg darah digunakan dan tahun lalu kira-kira 5,000 beg diperlukan untuk merawat pesakit.

'Peruntukan sebanyak 300 beg darah setiap bulan dikhuatiri tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan perkhidmatan tersebut pada masa akan datang dan usaha menambah bekalan memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

'Dalam tiga bulan pertama tahun ini, kami menggunakan 1,500 beg darah untuk pesakit. Tambahan pula, kami membantu tabung darah Hospital Tangkak (HT) sekiranya hospital tersebut kekurangan bekalan darah,' katanya semasa ditemui dalam Kempen Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-207 anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan HS di Kuarters Perumahan IPD Segamat di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukarmi; Ketua Siasatan Jenayah Narkotik IPD Segamat, Asisten Supritendan Chew Chee Lee dan Pengerusi Perkep IPD Segamat, Rohayah Abu Bakar.

Sementara itu, Mohd. Kamil berkata, program tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan IPD Segamat sempena memperingati Hari Polis.

'Saya menyeru semua kakitangan IPD Segamat serta individu dan masyarakat setempat agar mengambil kesempatan ini mendermakan darah sebagai salah satu khidmat dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang memerlukan,' katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved