Sabtu, 19 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Kerajaan Pusat peruntuk RM2.9 juta

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

OLEH HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

G. Palanivel menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk kurang berkemampuan dalam program Mesra Rakyat di Kampung Beletik, Kuala Lipis, Pahahg, kelmarin.

KUALA LIPIS 19 April - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta untuk projek kemudahan asas dan kemasyarakatan di kampung tradisional Melayu dan Pos Orang Asli kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui peruntukan itu kerajaan akan membina projek baharu dan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi keselesaan penduduk dalam melaksanakan kegiatan menerusi sektor pertanian, pelancongan dan kemasyarakatan.

Menurut beliau, peruntukan tersebut diperoleh menerusi bantuan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel bagi memudahkan pelaksanaan sebanyak 56 projek kecil kemudahan asas dan menjana program kemasyarakatan di DUN Jelai.

"Peruntukan itu akan memberi manfaat kepada 20,000 orang penduduk Jelai di perkampungan tradisional berdekatan Sungai Jelai, tanah rancangan Felda dan 18 Pos Orang Asli di pedalaman kawasan ini.

"Usaha Ahli Parlimen Cameron Highlands itu antara manifestasi utama oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selaras dengan bidang transfomasi pembangunan modal insan dan sosial di sini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat di Kampung Beletik dekat sini semalam.

Dalam majlis itu, beliau bersama Palanivel mengadakan pertemuan dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat kampung tersebut.

Menurut Wan Rosdy, Palanivel juga meluluskan peruntukan menaik taraf jalan di Kampung Lubuk Kulit ke Kampung Bukit Betong dan Kampung Beletik ke Kampung Sungai Padi dengan masing-masing kos membabitkan RM100,000 pada tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak mengabaikan hasrat golongan belia serta kurang mampu dengan menyediakan peruntukan untuk program riadah, keagamaan dan keusahawanan yang boleh membantu menambah pendapatan keluarga.

"Selepas pilihan raya umum lalu, kita bertekad memberi tumpuan terhadap kemudahan asas dan kebajikan Orang Asli termasuk seluruh penduduk Jelai supaya mereka lebih selesa mencari rezeki selain peluang dalam pendidikan serta keusahawanan," katanya.

Istiadat Berkhatan, Bertintik Diraja Bersama Rakyat

Posted: 19 Apr 2014 10:41 AM PDT

Sultan Ahmad Shah berkenan merenjis cucunda baginda, Tengku Ameera Asya Tengku Abdul Rahman, Tengku Eddie Akasya Tengku Abdul Rahman dan Tengku Ahmad Firhan Shah Tengku Abdul Rahman pada Istiadat Diraja Bersama Rakyat Sempena Istiadat Berkhatan Dan Bertindik Yang Mulia Paduka-Paduka Anakanda Yang Amat Mulia Tengku Muda Pahang dan Yang Amat Berbahagia Cik Puan Muda Pahang di Dataran Temerloh, Pahang, semalam. - Mingguan/MAHATHIR ALI

TEMERLOH 19 April - Istiadat Diraja Bersama Rakyat sempena Istiadat Berkhatan dan Bertindik Paduka-Paduka Anakanda Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang julung kali diadakan di Dataran Temerloh di sini malam tadi mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 50,000 orang daripada pelbagai kaum.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom berkenan berangkat ke istiadat itu.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta kaum kerabat diraja Pahang. Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri, Datin Seri Junaini Kassim.

Majlis penuh adat istiadat diraja itu dimulakan pukul 9 malam dengan keberangkatan tiba Tengku Ameera Asya, 11, bersama Tengku Eddie Akasya, 10, dan Tengku Ahmad Firhan Shah, 9, yang menaiki gajah sambil disaksikan ribuan masyarakat sebelum diarak ke singgahsana Diraja untuk upacara merenjis.

Sebaik sahaja tiba disinggahsana Diraja, putera dan puteri itu disambut denga tarian tradisi selamat datang sebelum upacara merenjis dimulakan oleh Sultan Ahmad Shah dan diikuti Tengku Abdullah, kerabat diraja lain serta pemimpin negeri.

Selepas upacara merenjis, majlis santapan diraja dimulakan dengan hidangan tradisional Pahang sambil diserikan dengan persembahan bunga api.

Selepas itu, ketiga-tiga anakanda Tengku Muda berkenan beramah mesra dengan tetamu dan rakyat.

Dalam pada itu, Cik Puan Muda Pahang, Datuk Seri Julita Aishah Abdul Latif berkata, penganjuran majlis berkenaan merupakan hasrat Tengku Abdul Rahman untuk membawa adat istiadat raja yang tidak pernah ditunjukkan kepada rakyat.

Katanya, penganjuran program itu di sini menunjukkan daerah ikan Patin itu amat dekat dengan hati Tengku Muda Pahang.

"Saya bagi pihak Tengku Muda Pahang mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan hadir dalam menjayakan majlis ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya," katanya.

Sementara itu, Tengku Ahmad Firhan berkata, istiadat kali ini amat bermakna dan tidak dilupakan dalam hidupnya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana hadir dan saya sangat gembira," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved