Selasa, 18 Mac 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Karnival Jelajah Serantau berhasil

Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

Pameran kereta yang diadakan ketika Karnival Jelajah Serantau antara yang menjadi tumpuan generasi muda.

JEMPOL 17 Mac - Jika dahulu peranan pihak swasta dilihat hanya bermotifkan keuntungan menerusi penjualan produk mahupun perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat yang terus meningkat.

Namun senario pada hari ini jelas berubah apabila pihak swasta kini lebih peka dan prihatin dengan masyarakat dengan mengadakan pelbagai aktiviti mahupun bantuan kepada masyarakat agar hubungan mereka sentiasa akrab selain dapat menembusi peluang disediakan.

Justeru bagi mendekati masyarakat terutamanya di luar bandar, usaha seperti mengadakan karnival bagi penduduk tidak hanya dilihat sebagai satu aktviti hiburan semata-mata malahan mewujudkan peluang bagi masayarakat untuk turut sama meraih peluang dari segi ekonomi.

Bagi tujuan itu, Twins Global Event dengan kerjasama Felda Global Ventures telah mengadakan Karnival Jelajah Serantau 2014 Siri 1 yang akan diadakan dekat padang awam Palong 6 dekat sini baru-baru ini.

Pengarah Twins Global Event, Abdul Ajib Mohd. Zen (gambar) berkata, karnival berkenaan turut mendapat kerjasama Ventures, Gabungan Wilayah Raja Alias, Majlis Belia Felda Malaysia, Ikatan Seni dan Kebudayaan Anak Felda (Iskaf) serta Tourism Malaysia.

Jelas Abdul Ajib, program berkenaan diadakan bertujuan bagi mendekatkan lagi peranan pihak swasta dengan masyarakat menerusi beberapa aktiviti yang dianjurkan.

"Berdasarkan kepada sambutan orang ramai menerusi program selama enam hari itu, lebih 15,000 orang pengunjung telah menghadiri program ini dan kita melihat ia mendapat maklum balas yang baik bukan hanya dari orang ramai malah dari peniaga di sini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelas Abdul Ajib , karnival itu akan diadakan di beberapa buah negeri dan Felda Palong merupakan lokasi pertama karnival ini dijalankan.

"Antara aktiviti yang akan diadakan ialah wayang pacak dari Iskaf, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna, masakan serta gubahan.

"Turut diadakan pemeriksaan kesihatan,forum bicara agama bersama Ustaz Ridhuan Tee serta Imam Muda Fatah. Kita juga telah mengadakan pelbagai pertandingan sukan, pameran serta persembahan daripada artis untuk malam pop Yeh-yeh, dangdut serta konsert otai rock," katanya lagi.

Tambahnya, pengunjung yang datang ke karnival tersebut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan dalam program tersebut termasuk motosikal.

"Antara aktiviti menarik dalam karnival ini adalah kita bawa persembahan ular dan persembahan api daripada Lost World Of Tambun'. Kita bawakan persembahan tersebut secara percuma khas untuk warga Felda.

"Malah beberapa pengunjung bertuah telah mendapat voucher percuma untuk ke Lost World Of Tambun' dekat Ipoh, Perak dan pelbagai voucher lain seperti penginapan di hotel," ujarnya lagi.

Tambah Abdul Ajib, pihaknya amat gembira apabila program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada warga Felda malah ada di antara mereka yang meminta agar kami mengadakan karnival ini di masa yang akan datang.

"Jika mengikut perancangan yang dijalankan selepas Jempol kita bercadang untuk ke Dataran Segamat, Dataran Teluk Kemang, Jengka, Batu Pahat serta Putrajaya. Namun atas permintaan yang tinggi mungkin kami akan kembali ke daerah ini di masa yang akan datang," katanya lagi.

Karnival dapat sambutan orang ramai

Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT

JEMPOL 17 Mac - Penganjuran karnival jelajah Serantau 2014 Siri 1 yang diadakan di Padang Awam Felda Palong Enam, baru- baru ini ternyata mendapat sambutan dari orang ramai dan penduduk di kawasan berhampiran.

Salah seorang pengunjung yang ditemui Utusan Malaysia, Mohd. Syawal Lizam 16, berkata, dia dan rakan tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke karnival tersebut dan sanggup datang ke padang awam ini untuk tiga hari berturut - turut.

"Jarang sekali ada karnival di kawasan Felda, biasanya kalau ada aktiviti ia hanya sekadar program biasa. Karnival ini boleh di katakan sesuatu yang luar biasa dan program sebesar ini jarang dibuat di kawasan kami.

"Malah pihak penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung. Biarpun tidak menyertai sebarang aktiviti yang diadakan namun saya seronok apabila melihat orang ramai turut bersama-sama dalam aktiviti,"jelasnya.

Bagi serorang peniaga peniaga, Mohd. Fazli Samime, 27, berkata, dia sanggup datang dari Melaka kerana percaya masyarakat Felda akan memberikan sambutan yang baik sekiranya apa-apa aktiviti di adakan di kawasan mereka.

"Biasanya saya hanya akan menjual pakaian di pasar malam iaitu sebanyak lima kali dalam jangka masa satu minggu. Saya mencuba nasib mengikuti karnival dan ternyata perniagaan turut mendapat sambutan yang amat menggalakan.

"Sebagai peniaga kita kene berani mencuba dan saya amat gembira kerana dengan penglibatan dalam karnival ini saya dapat mengenali ramai rakan peniaga yang lain. Kami dapat berkongsi cabang perniagaan dan meluaskan pasaran perniagaan dengan cara bertukar-tukar produk," katanya lagi.

Sementara, Mohd. Amarshahid Muzi 16, berkata, dia amat tertarik dengan sikap penganjur yang bukan sahaja mengadakan konsert rock tetapi turut menjemput penceramah untuk bicara agama.

"Ia sebuah karnival yang cukup bagus apabila terdapat pentas agama dan hiburan. Melalui ceramah agama saya sedar bahawa sebagai remaja saya harus peka dan tidak lalai dengan dunia moden.

"Malah pendedahan dalam media massa mengenai kematian remaja akibat dadah ketika menyaksikan konsert membuatkan saya berhati-hati. Pastinya saya tidak mahu masa depan saya musnah dan akan lebih berhati-hati agar tidak memilih jalan yang salah," katanya lagi.

Manakala Mohd. Hairi Md. Diah 16, berkata, dia amat teruja apabila berpeluang menyaksikan persembahan api dan gembira apabila penganjur tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penonton.

"Saya dimaklumkan bahawa pesembahan itu adalah salah satu pertunjukan yang diadakan di Lost World Of Tambun'. Untuk pergi menyaksikan persembahan di sana ia agak jauh dan mahal.

"Malah saya juga teruja dengan persembahan bunga api yang diadakan oleh pihak penganjur yang bagi saya cukup menghiburkan penduduk di kawasan setempat," katanya lagi.

Melaka laksana PCRS 1 April

Posted: 17 Mar 2014 11:21 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron melakukan imbasan cap jari untuk menetapkan kehadiran waktu bekerja sebagai tanda perasmian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan kerajaan negeri dan pelancaran PCRS di Seri Negeri, Melaka, semalam.

MELAKA 17 Mac - Sebanyak 20 jabatan dan agensi kerajaan negeri akan melaksanakan penggunaan sistem pengesan kelewatan kehadiran dikenali Punctuality Cascading Reporting System (PCRS) bermula 1 April ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sistem itu digunakan bagi menggantikan kad perakam waktu manual kepada sistem elektronik itu bakal dilaksanakan di semua jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri yang telah mempunyai sistem pendaftaran biometrik.

Menurutnya, antara jabatan terlibat bagi perlaksanaan sistem tersebut termasuklah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat, Unit Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Bahagian Promosi Pelancongan (BBP), Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

"Penggunaan sistem inovasi oleh Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat Jabatan ini diharap akan dapat membantu kerajaan negeri menambah baik sistem pendaftaran kehadiran seterusnya membentuk budaya kerja menepati masa di kalangan penjawat awam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan kerajaan negeri dan pelancaran PCRS anjuran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar.

Menurut Idris, inovasi menggunakan sistem imbasan cap jari itu berfungsi dengan memberi laporan secara terus kepada ketua-ketua jabatan dan bahagian setiap agensi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau emel jika terdapat kakitangan yang hadir lewat ke pejabat.

"Penambahbaikan kepada sistem sedia ada yang diperkenalkan di negeri ini dilihat dapat membentuk budaya ketepatan masa di kalangan kakitangan awam bagi menjadikan mereka lebih berdisiplin dan berhati-hati," katanya.

Tambah beliau, penggunaan PCRS turut akan diperluaskan di jabatan serta agensi lain termasuk anak syarikat kerajaan negeri secara berperingkat selepas ini.

"Beberapa pihak luar turut telah menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan sistem ini bagi dilaksanakan di tempat masing-masing," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved