Selasa, 18 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


KKL, KKJ lancar Doakan MH370

Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

ANUAR Ralib (tengah) bersama-sama sebahagian pensyarah dan penuntut menurunkan tandatangan tanda prihatin terhadap anak kapal dan penumpang pesawat MH370 yang hilang menerusi program Doakan MH370 di Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 18 Mac - Kolej Komuniti Lipis (KKL) dan Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) melancarkan program Doakan MH370 sebagai tanda simpati kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu pada 8 Mac lalu.

Majlis pelancaran program itu disertai pensyarah, kakitangan dan penuntut kedua-dua kolej berkenaan yang berlangsung di ruang legar KKL, di sini baru-baru ini.

Pengarah KKL, Anuar Ralib berkata, pihaknya terpanggil untuk turut sama melahirkan keprihatinan terhadap anak kapal dan penumpang pesawat MH370 selepas membaca laporan media sejak pesawat itu hilang daripada kawalan radar.

"Kita melancarkan program ini dengan meminta semua warga kolej menurunkan tandatangan dan berdoa supaya anak kapal dan penumpang pesawat itu selamat dan kembali ke pangkuan keluarga dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Anuar, program itu untuk menyedarkan penuntut mengenai keadaan semasa melibatkan kehilangan pesawat berkenaan selain peka terhadap perkembangan teknologi penerbangan yang merupakan antara disiplin ilmu dan kemahiran teknologi tinggi.

Di Jerantut pula, pentadbir KKJ turut mengadakan bacaan surah Yasin untuk kesejahteraan dan keselamatan anak kapal dan penumpang pesawat berkenaan.

Majlis itu dikendalikan di bawah Unit Hal Ehwal Pelajar KKJ dengan diketuai oleh Ustaz Mohd. Redzwan Abdul Mutalib membabitkan enam pensyarah dan kakitangan serta 75 penuntut institusi tersebut.

Menurut Mohd. Redzwan, walaupun pencarian pesawat yang hilang itu tidak hanya memerlukan usaha melalui peralatan dan teknologi canggih, tetapi pada masa yang sama umat Islam perlu meminta pertolongan dan petunjuk daripada Allah.

"Justeru, program bacaan Yasin ini antara pengisian nilai kemanusiaan dan kasih sayang kami supaya pesawat berkenaan serta penumpangnya selamat dan dilindungi oleh Allah," katanya.

Polisas dapat penarafan enam tier

Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT

Shabudin Man (dua dari kanan) dan Abu Bakar Ahmad (dua dari kiri) meletakkan tangan pada bola kaca ketika merasmikan Karnival Kerjaya Polisas di Dewan Sri Makmur, Polisas, Kuantan, baru-baru ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 18 Mac - Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Kuantan melakar sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh penarafan enam tier (tingkat) iaitu terbilang dalam keputusan Sistem Penarafan Politeknik (Polyrate) 2013 yang diumumkan baru-baru ini.

Selain Polisas, turut mendapat penarafan yang sama adalah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Perak dan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Johor.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Pengajian Politeknik, Shabudin Man, Polyrate 2013 yang dilakukan oleh sekumpulan penilai bebas bagi menilai kualiti latihan, pengajaran dan pembelajaran di 32 politeknik di negara ini.

"Polisas melakar sejarah kerana sebelum ini hanya berjaya mendapat empat tier. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Polisas dan berharap kejayaan ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Polisas di Dewan Sri Makmur, Polisas, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad dan timbalannya, Shamsuria Mohd. Ariffin.

Menurut Shabudin, sebanyak 85 peratus penuntut Polisas berjaya mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini.

"Perkara ini merupakan sesuatu yang membanggakan pihak jabatan dan diharap dapat menjadi contoh kepada politeknik lain dalam membangunkan modal insan," katanya.

Sementara itu, bagi memastikan program pengajian politeknik sentiasa relevan, Shabudin berkata, pihaknya telah menjalankan pelbagai usaha bagi mendampingi pihak industri.

"Antaranya kita mengadakan aktiviti dan dialog dengan pihak industri bagi mengumpul maklumat serta bertukar pandangan mengenai pembangunan modal insan," katanya.

Demam denggi membimbangkan

Posted: 18 Mar 2014 11:18 AM PDT

KUANTAN 18 Mac - Kes demam denggi yang berlaku di negeri ini sejak 1 Januari sehingga Ahad lalu semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pada tahun ini sahaja sebanyak 278 kes denggi berlaku berbanding 139 kes yang dikesan tahun lalu.

Menurut beliau, daerah Kuantan mencatatkan kes paling tinggi iaitu 153 kes diikuti Temerloh (33), Jerantut (32), Maran (19), Raub (10), Bentong (10), Pekan (enam), Bera (enam), Lipis (empat), Rompin (tiga) dan Cameron Highlands (dua).

"Pada masa ini sebanyak lima lokasi dikesan sebagai kawasan yang aktif berlaku demam denggi iaitu di Taman Tas Selatan, Taman Mutiara Mahkota di Kuantan dan Felda Kota Gelanggi 2, Taman Bukit Permai serta Taman Bukit Pedah di Jerantut.

"Antara punca berlaku wabak di kawasan itu adalah terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam rumah dan sampah dibuang merata-rata di kawasan perumahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jabatan mengambil langkah pencegahan dan kawalan dengan melakukan semburan kabus di 216,205 buah premis.

"Selain itu, sebanyak 75,611 premis telah menjalani pemeriksaan dan 24,695 premis diletakkan racun pemusnah serangga 'abate' bagi pemusnahan jentik-jentik," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran rumah masing-masing dan tempat awam bebas daripada pembiakan nyamuk ini.

"Jabatan Kesihatan menyarankan supaya masyarakat mengamalkan perlindungan diri daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau nyamuk atau 'repellent'.

"Selain itu mereka digalakkan menggunakan semburan aerosol terutama di dalam rumah untuk membunuh nyamuk dewasa," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved