Rabu, 12 Mac 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Menjengah Kg. Gusai, Mat Daling

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

Oleh AMIR SARIFUDIN
amir.mansor@utusan.com.my

BERAKIT antara aktivit menarik apabila berada di Kampung Gusai, Ulu Tembeling, Pahang.

JERANTUT 12 Mac - Banyak destinasi menarik di negara ini menampilkan pelbagai sajian hingga sering menjadi perhatian pengunjung dalam dan luar negara.

Di sebalik tempat-tempat tumpuan yang sekian lama sudah dikenali itu, mungkin ramai terlupa bahawa terdapat destinasi lain yang juga menarik tetapi kurang diberi perhatian.

Ini mungkin kerana tempat-tempat tersebut terletak di pedalaman serta agak sukar dikunjungi selain kurangnya pendedahan.

Kampung Gusai dan Mat Daling di Ulu Tembeling dekat sini, antara destinasi yang terletak di pedalaman serta agar sukar untuk sampai.

Ramai tidak mengetahui bahawa Kampung Gusai dan Mat Daling sebenarnya sebuah kawasan yang menarik dan cantik.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sesiapa yang mengunjungi dua perkampungan ini akan merasa tenang dan damai, tambahan pula jauh dari hiruk-pikuk kota raya.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, orang ramai sepatutnya mencari tempat-tempat baharu untuk dilawati termasuklah Kampung Gusai dan Mat Daling.

Untuk ke Gusai dan Mat Daling, ia mengambil masa antara tiga hingga empat jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau menaiki bot.

Perjalanan melalui jalan darat lebih menarik jika dilakukan pada waktu malam kerana jika bernasib baik pengunjung berpeluang terserempak dengan haiwan liar seperti kucing hutan, tapir, gajah dan banyak lagi.

Manakala perjalanan menggunakan bot hanya dilakukan pada siang hari kerana tiada perkhidmatan bot pada waktu malam.

Kampung Gusai merupakan penempatan paling akhir di Ulu Tembeling dan ia berhampiran dengan sempadan negeri Terengganu.

Salah satu daya tarikan di Kampung Gusai ialah terdapat rakit yang sering digunakan oleh penduduk untuk menyeberang sungai dari Kampung Bantal.

Rakit buluh berkenaan merupakan laluan harian termasuk untuk mengangkut motosikal.

Dengan jumlah penduduk kurang 300 orang, penduduk di sini hanya menggunakan motosikal untuk aktiviti harian.

Mereka yang ingin bermalam dan mengunjungi Ulu Tembeling, boleh menginap di calet yang terdapat di Kampung Mat Daling.

Pengusaha Calet Pak Engku di Mat Daling, Wan Syahrul Haizan Wan Kamaruddin memberitahu, pengunjung boleh memilih pelbagai pakej yang disediakan.

Calet di sini menawarkan harga berpatutan. Kita menyediakan pelbagai daya tarikan termasuk , bersantai di beberapa buah air terjun seperti di Jeram Perahu dan sebagainya.

Daya tarikan lain, memancing ikan kelah, melihat haiwan liar pada waktu malam selain sajian makanan tradisional penduduk kampung di sini, katanya.

Malah katanya, pengunjung juga boleh meminta disediakan aktiviti lain seperti berakit dan mencari madu lebah.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, waktu awal pagi merupakan suasana paling menarik.

Keadaan berkabus dan sejuk menjadikan pengunjung tenang apabila berada di Mat Daling dan Kampung Gusai.

Suasana lebih menarik apabila mendengar suara anak-anak kecil dari jauh yang hendak menuju ke sekolah.

Kelibat kanak-kanak itu hanya dapat dilihat setelah berada pada jarak dekat kerana keadaan berkabus tersebut.

Banyak lagi daya tarikan lain di Kampung Gusai dan Mat Daling. Hanya mereka yang pernah mengunjungi dua tempat ini mengetahui kecantikan di Ulu Tembeling.

Mereka yang inginkan kelainan dan melancong ke Kampung Gusai dan Mat Daling di Ulu Tembeling boleh mendapatkan maklumat serta menggunakan khidmat agensi pelancongan termasuk dengan menghantar e-mel kepada aa.adventure7@gmail.com.

Petronas agih RM1.15 juta

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Muhammad Safian Ismail (kanan) menerima sumbangan Petronas berjumlah RM1.15 juta untuk mangsa banjir Pahang yang diserahkan oleh Wan Mohd. Hasnan Abdullah (tengah) di Kuantan, Pahang, kelmarin. - BERNAMA

KUANTAN 12 Mac - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menyalurkan bantuan berjumlah RM1.15 juta kepada mangsa banjir di negeri ini yang terjejas akibat musibah itu pada awal Disember tahun lalu.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd. Hasnan Abdullah kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dalam satu majlis di sini semalam.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohd. Ghazali Che Nik.

Wan Mohd. Hasnan dalam ucapannya berkata, bantuan tersebut adalah dalam bentuk kad hadiah Petronas mengandungi RM250 bagi setiap kad.

Setiap penerima boleh menggunakan kad ini untuk berbelanja di mana-mana kedai Mesra Petronas termasuk membeli petrol di stesen minyak Petronas," katanya.

Beliau berkata, bantuan itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada mangsa banjir yang terdapat di negeri Petronas beroperasi khususnya di Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Sementara itu Muhammad Safian berkata, bantuan menerusi pemberian kad hadiah Petronas bernilai RM250 itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir di negeri ini biarpun musibah itu telah tiga bulan berlalu.

Biarpun banjir sudah lama pulih, kita amat berterima kasih dengan keprihatinan Petronas menyalurkan sumbangan ini dan kita akan segera mengagihkan bantuan ini kepada mangsa yang terlibat.

Soal lambat atau cepat bantuan yang diberikan itu tidak timbul, apa yang penting adalah kesudian mereka menyampaikan bantuan," katanya.

Tinjau kemudahan perkampungan Orang Asli

Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT

AHMAD Nazlan Idris (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Orang Asli ketika meninjuau perkampungan penduduk terlibat di Jerantut, Pahang, kelmarin.

JERANTUT 12 Mac - Keperluan kemudahan penduduk Orang Asli di daerah ini tidak pernah dipinggirkan sebaliknya kerajaan sentiasa terus membantu terutama dari segi pendidikan.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris memberitahu, hanya melalui pendidikan sahaja dapat menjamin kehidupan yang lebih baik kepada penduduk Orang Asli.

Menurutnya, bantuan pendidikan kepada golongan berkenaan akan terus disalurkan bermula dari pendidikan awal hinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.

Kerajaan akan sentiasa menekankan keperluan pendidikan kepada penduduk Orang Asli.

Ini dapat membantu golongan berkenaan selain kemudahan asas akan terus disalurkan kepada mereka, katanya demikian ketika meninjau sebuah perkampungan Orang Asli yang terletak jauh dari bandar Jerantut dekat sini.

Perkampungan itu terletak berhampiran Kampung Garuk di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan.

Dalam tinjauan itu, penduduk Orang Asli terbabit mendakwa penempatan tersebut diteroka sendiri selain untuk bertani di kawasan berkenaan.

Terdapat sembilan buah rumah di situ dengan jumlah penduduk tidak sampai 100 orang.

Ahmad Nazlan menambah, adalah penting pihak kerajaan mendapat maklumat tepat mengenai keperluan penduduk Orang Asli bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka.

Dalam hal ini, kita perlukan kerjasama semua pihak. Malah penduduk Orang Asli juga boleh berjumpa depan wakil penduduk atau pemimpin kerajaan bagi mengadu nasib.

Tanpa maklumat tepat, dikhuatirkan ada penduduk yang ketinggalan dari segi keperluan dan kemudahan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved