Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Jangan hanya jadi 'juara' seorang

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh ZULKIFLI JALIL dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

"KALAU nak jadi juara, kita tak boleh seorang (secara solo). Yang cantiknya melalui agensi pelaksana. Ibarat lagu dan irama, kita sebagai pemegang polisi mesti seiring. Kalau tidak, agensi kerajaan 'tikam kita dari belakang'."

Sama ada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Malaysia, Sheikh Nafiq Alfirdaous ini berseloroh ketika bercakap dengan kami dalam pertemuan santai di restoran mamak dekat Jalan Yap Kwang Seng, Kuala Lumpur kelmarin, atau kami salah dengar.

Tetapi Exco Pemuda berusia 32 tahun itu nampaknya serius.

Secara jujur, penulis jarang mendengar aktiviti-aktiviti yang digerakkan oleh Exco-Exco Pemuda yang baru diangkat penggal baharu 2013-2016, setelah menang pemilihan Oktober tahun lalu. Kelibat yang ketara menonjol hanyalah ketuanya, Khairy Jamaludin.

Malah untuk biro aduan komuniti pun, seingat penulis ada satu dua nama sahaja yang masih melekat di kepala. Mereka begitu agresif dan aktif menggerakkan biro itu antaranya Datuk Subahan Kamal dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (itu pun semasa beliau mengetuai Putera UMNO).

Selepas Subahan dan Abdul Azeez, tidak ada nama yang 'kuat'. Kalau ada pun, cuma suam-suam kuku. Meneruskan sahaja legasi, menyelesaikan isu yang sama, 'Lombok yang sama', statik sahaja.

Namun, Sheikh Nafiq nampaknya ada visi untuk menggalas tanggungjawab biro. Dan yang sebenarnya biro aduan itu sendiri memiliki aura yang paling dekat dengan rakyat. Itu pun jika berupaya dikendalikan dengan berkesan.

Bagi Sheikh Nafiq, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO perlu ada suntikan transformasi dalam membantu rakyat yang semakin terhimpit akibat cabaran kehidupan harian mereka kini.

"Ada satu kes melibatkan anak perempuan sebuah keluarga di negara ini yang berkahwin tanpa restu keluarga di Turki. Kemudian tak balik dan biro ini diminta oleh keluarga terbabit untuk membawa balik anak mereka. Tapi dari segi umur, anak mereka sudah lebih 19 tahun. Ini bukan bawah umur dan kalau kita pergi ke sana pun, ia akan melibatkan prosedur undang-undang di Turki. Jadi, kami fikir kami kena timbang-timbangkan kes yang datang kepada kami," katanya lagi.

Atas faktor itu, Sheikh Nafiq dalam pertemuan sejam itu mahu bironya melihat masyarakat dari perspektif yang luas. Dia sendiri melihat kerajaan ada bermacam instrumen dari sekolah rendahnya, sekolah menengah, sekolah agama, sekolah asrama penuh sehinggalah ke pusat-pusat pengajian tinggi serta institusi orang kurang upaya.

"Tapi tak mungkin bahagian penerangan dan fungsi agensinya tidak memanjangkan (suatu program atau rancangan kerajaan) sehingga ke pengetahuan masyarakat. Yang kedua, kementerian berkenaan sendiri dilihat proaktif dalam menangani isu-isu perumahan. Kita ada PR1MA, Skim Rumah Pertamaku, cuma kelihatannya tidak sampai (ke pengetahuan luas akar umbi). Mungkin disebabkan kekangan tenaga kerja," katanya.

Bertitik-tolak dari situlah Sheikh Nafiq terfikir untuk mengambil pendekatan melantik wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang menganggotai jawatankuasa tertinggi bironya.

"Ada doktor, jurutera, pemimpin belia, mahasiswa dari dalam dan luar negara, pensyarah kanan serta pengetua kolej termasuklah ahli politik," katanya.

Pendekatan baharu seterusnya yang akan digerakkan pihaknya adalah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan 10 badan bukan kerajaan (NGO) berpengaruh pada akhir bulan ini. Antaranya Persatuan Peguam Syarie Malaysia, SukaGuam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Sukarelawan Siswa, Yayasan Salam dan beberapa lagi untuk fasa pertama ini.

"Di dalam MoU itu kita akan bersama-sama terlibat dan tidak mahu sekadar one man show. Kita mahu bersama-sama NGO supaya masyarakat tahu kewujudan UMNO yang prihatin melalui Biro Pemuda ini," katanya.

Sheikh Nafiq juga menarik perhatian mengenai kajian permasalahan di India dan Amerika Syarikat yang pihak berkuasanya berdepan lebih banyak masalah masyarakat.

"Dalam hal ini, saya merancang mewujudkan portal komuniti. Portal ini, seperti yang kita selalu dengar, rakyat bantai sesuatu isu di Facebook yang (komennya) tidak membina. Jadi, apa yang kita buat, kita merakyatkan masalah mereka dan komuniti akan memberi jalan penyelesaian," kata beliau.

Kata Sheikh Nafiq lagi: "Bukan hanya mengadu bahkan mereka juga akan undi terhadap masalah yang dihadapi itu dengan bersama-sama mencari jalan penyelesaian. Kemudian kita akan bagi status sama ada perkara itu wajar diambil tindakan, menghubungkan masalah itu dengan agensi yang terlibat contohnya pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita akan hantar surat kepada mereka.

"Portal berkenaan akan menjadi medium dengan memberikan bukan sahaja aduan malahan keluarkan laporan untuk Khairy melihat apa sebenarnya yang berlaku. Contohnya di Johor Bahru apa masalahnya sebab masalah ini tak serupa seperti mana di Kedah," katanya.

Pihaknya juga merancang menghantar laporan kepada Khairy mengenai rungutan pelajar yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan yang menghadapi masalah dalam permohonan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Saya suka terlibat dalam portal ini kerana orang ramai sendiri dapat menyatakan masalah mereka. Pertama, saya mahu didik masyarakat yang sebenarnya ada ramai yang mahu membantu mereka. Kami juga mengambil pendekatan mesra. Ada seorang hamba Allah beritahu, 'dalam Pemuda UMNO semua nak jadi juara tapi jangan pula sampai bertindih dengan agensi lain.'

"Jadi, kenapa tidak semasa sidang akhbar, Ketua Pengarah agensi terlibat turut dipanggil sama. Jadi, orang tidak akan bantai agensi (kerajaan). Bila nampak agensi, orang akan lihat pada imej (positif) pemerintah (kerajaan) pula," katanya.

Sheikh Nafiq yang turut terlibat dalam memujuk penduduk di tujuh penempatan setinggan di Kempas, Pulai, Johor sekitar 2005 supaya menerima perpindahan ke unit-unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), susulan tuntutan pembangunan Iskandar Malaysia, percaya kaedah turun padang masih lagi relevan dalam politik tanah air.

"Setelah mereka duduk di PPR ini yang ansuran bulanannya cuma RM123 dengan dilengkapi tiga bilik air dan tiga bilik tidur, wah! mereka ubah suai pula sehingga kelihatan macam kondominium.

"Dan apabila kami kami dikunjungi Pemuda PAP dari Singapura, ada anggota delegasinya cukup kagum dengan konsep rumah PPR ini. Kata mereka di Singapura tidak akan ada macam ini. Malah kata mereka, susah nak dapat kerajaan seperti ini yang cukup ambil berat rakyatnya," kata Sheikh Nafiq.

Pembangkang hanya bijak mengambil kesempatan

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh Zulkeflee Bakar

KETIKA penulis bertemu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek di Seremban, kelmarin, beliau melahirkan rasa kecewa dengan sikap pakatan pembangkang yang terus mengambil kesempatan bermain politik dalam isu kenaikan harga barang.

Seperti mana kata beliau, pekerjaan yang paling mudah dalam dunia ini ialah mencari kesilapan orang. Sememangnya itulah sikap pembangkang, ketika kerajaan bertungkus lumus mencari kaedah bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkatkan, pembangkang pula mencari jalan bagaimana mereka boleh memanipulasikan keadaan bagi meraih sokongan politik.

Bagi pakatan pembangkang, mereka membentangkan pelbagai hujah bagi menunjukkan kononnya kalaulah mereka memerintah keadaan negara ini akan menjadi jauh lebih baik berbanding berada di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Walaupun pembangkang memahami kenaikan harga barang dipacu oleh beberapa faktor namun perkara itu sengaja dilupakan kerana mereka tidak ikhlas dalam membela nasib rakyat, apa yang pembangkang fikirkan dalam kepala mereka 24 jam ialah berpolitik sepanjang masa.

Atas sebab itulah, dalam menghadapi situasi ini adalah perlu kerajaan khususnya melalui kementerian yang diterajui Hasan perlu memberi penjelasan sebaik-baiknya kepada rakyat supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Corak penerangan yang jelas dan menyakinkan perlu diberikan kepada rakyat supaya mereka tidak menuding jari dengan membuat kesimpulan mudah bahawa kerajaan gagal mengawal kenaikan harga barang dan paling malang menuduh kerajaan tidak menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu.

Sememangnya, pembangkang tidak pernah berubah dan tidak akan berubah dengan politik persepsi, fitnah, adu domba dan tohmahan mereka. Dari semasa ke semasa apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan akan menjadi sasaran serangan mereka.

Justeru kerajaan perlu bersedia menghadapi situasi ini dan tidak harus mengharapkan pembangkang berubah. Pakatan pembangkang di Malaysia tidak matang berbanding parti-parti pembangkang di negara lain.

Jika di luar negara, pembangkang akan menerima kekalahan mereka dalam pilihan raya kemudian bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan yang dipilih oleh rakyat bagi sama-sama membangunkan negara.

Kalau ada kelemahan dalam tindakan kerajaan mereka akan memberi pandangan dan teguran secara berhemah dan ikhlas. Apa yang penting bagi mereka ialah kestabilan negara tidak diganggu gugat oleh permainan politik sepanjang masa.

Bagi mereka, merebut kuasa politik hanya terhad semasa pilihan raya berlangsung sahaja, apabila pilihan raya berakhir, maka ia waktu bekerja demi kepentingan negara tanpa mengira siapa juga yang menang.

Tetapi keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana pakatan pembangkang sudah diserap oleh politik kebencian dan mahu merebut kuasa semata-mata.

Apa yang akan terjadi kepada negara akibat tindakan mereka tidak dipedulikan. Sebab itulah apabila pilihan raya umum berakhir, pembangkang tidak akan mahu menerima keputusan dengan fikiran dan hati terbuka, pelbagai tuduhan mereka lemparkan.

Bagi pembangkang, apa juga isu yang boleh menjejaskan imej kerajaan seolah-olah satu rahmat, sebab itulah mereka 'bergembira' apabila rakyat mengeluh kenaikan kos sara hidup dan kerajaan terpaksa melakukan tindakan tidak popular untuk menjaga ekonomi negara bagi jangka masa panjang. Pembangkang bukannya tidak faham situasi ini, tetapi pemimpin-pemimpin mereka sengaja memanipulasikannya dengan niat politik.

Pemimpin-pemimpin mereka mengadakan sidang akhbar dan bercakap di atas pentas-pentas forum untuk menyerang kerajaan. Dan ia disokong pula melalui serangan dalam media-media sosial.

Berikutan itu kerajaan BN tidak boleh lagi menggunakan pendekatan yang dilihat ketinggalan dalam berhadapan dengan politik pembangkang termasuklah melalui media sosial dan laman blog. Mahu tidak mahu, kita harus mengakui pembangkang mempunyai 'pasukan' yang cukup hebat dalam soal ini, sebab itulah dalam sekelip mata sahaja sesuatu isu itu mampu ditaburkan melalui internet.

Lagi pun pembangkang ada 'kelebihan' kerana untuk memburuk-burukkan kerajaan, mencari salah kerajaan dan menghentam orang memang senang, apatah lagi apa yang mereka tohmahkan itu pula 'bersesuaian' dengan kehendak rakyat yang tidak mendapat maklumat yang tepat.

Dalam berhadapan situasi ini, penyampaian maklumat yang tepat melalui pelbagai saluran perlu dilakukan dengan memastikan kerajaan mempunyai cukup kelengkapan bagi berhadapan serangan pembangkang.

Pada masa ini, pembangkang mungkin berasa gembira kerana usaha untuk meracuni rakyat dengan menunjukkan kononnya kerajaan sedang menyusahkan hidup mereka hampir berhasil. Di mana-mana sahaja kita mendengar rakyat mengeluh namun kita percaya keadaan itu tidak akan berterusan. Ia memandangkan kerajaan sudah, sedang dan akan melakukan pelbagai tindakan bagi mengurangkan beban rakyat.

Tetapi apa yang penting ialah penyampaian maklumat kepada rakyat supaya mereka tidak terus terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Sememangnya seperti mana kata Hasan, akhirnya segala temberang pembangkang akan terbongkar tetapi biarlah kebenaran itu dapat diserlahkan oleh kerajaan sebelum politik putar belit pembangkang menjadi 'virus' dalam pemikiran rakyat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved