Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Hobi beri pulangan lumayan

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

PELBAGAI kostum menarik disediakan Sab Collection Rental Shop di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 16 Jan. - Bermula dengan hobi mengumpul pakaian khas atau kostum, Sabariah Abd. Satar tidak menduga minatnya itu memberi pulangan lumayan apabila mendapat perhatian rakan yang berminat untuk menyewa bagi menghadiri majlis makan malam yang menetapkan tema tertentu.

Memulakan langkah awal dengan mengumpul pakaian tradisional Melayu termasuk baju kurung songket yang dipakai ibunya sewaktu majlis perkahwinan, koleksi songket beliau semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Sabariah berkata, koleksi tersebut dikumpul sama ada dengan membeli atau menempah yang kemudiannya disimpan dalam almari khas tanpa dipakai.

Menurut Sabariah, obsesi terhadap kostum makin menjadi-jadi kerana beliau mempunyai satu lagi hobi iaitu melancong.

Gabungan dua hobi saya iaitu melancong dan mengumpul kostum memberikan idea untuk mendapat pelbagai jenis pakaian yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

Apatah lagi rakan-rakan pernah bertanyakan sama ada boleh atau tidak mereka menyewa koleksi kostum untuk dipakai bagi menghadiri majlis tertentu.

Justeru, saya terfikir untuk mewujudkan perniagaan sewaan kostum dan koleksi saya semakin bertambah setiap kali saya melancong," katanya yang kini merupakan Pengarah Urusan Sab Shop Costume Rental.

Terletak di deretan rumah kedai di belakang @Mart Tampoi, premis milik Sabariah itu kini menempatkan hampir 400 pasang kostum daripada pelbagai etnik dari seluruh negara, watak adiwira, karakter filem popular, watak cerita dongeng dan sebagainya.

Jelas beliau, kostum-kostum tersebut diperoleh ketika melancong ke beberapa negara di Asia dan Eropah.

Ada di antaranya saya beli ketika melancong jika harganya berpatutan. Jika harganya terlalu mahal, saya akan menempah dengan tukang jahit khas di Jakarta, Indonesia.

Saya hanya perlu memberi rekaan kostum tersebut kepada tukang jahit itu, maka akan terhasillah kostum yang diingini dengan kos yang jauh lebih murah, katanya.

Sementara itu, Sabariah berkata, ada kalanya dia mengubah sedikit kostum yang ditempah mengikut cita rasanya namun elemen asal masih dikekalkan supaya tidak menyimpang jauh daripada kostum sebenar.

Contohnya pakaian matador dari Sepanyol, jika dibeli di sana, harganya mencecah harga ribuan ringgit tetapi setelah menggunakan khidmat tukang jahit tersebut, kosnya hanya RM500, katanya.

Tambah Sabariah, koleksi kostum miliknya disewakan pada harga RM150 sepasang merangkumi hiasan kepala, baju, seluar, kasut dan juga aksesori lain.

Menariknya, beliau tidak mengenakan sebarang deposit kepada penyewa kerana mahu semua orang mampu menyewanya dan kelihatan menawan dengan koleksi pakaian yang dimilikinya.

"Saya rasa puas apabila penyewa kelihatan kacak bergaya atau cantik menawan memakai pakaian saya dengan lengkap. Sebab itu saya hanya kenakan caj yang murah.

"Lebih menggembirakan jika kostum saya itu dipilih sebagai pakaian terbaik dalam sesebuah majlis," katanya.

Bekas model itu berkata, koleksi kostum yang dimilikinya boleh dilihat di laman Facebook Sab Shop Costume Rental.

MDT sudah keluar notis

Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

LEDANG 16 Jan. - Majlis Daerah Tangkak (MDT) sudah pun mengeluarkan notis pemberitahuan kesalahan (PH14) kepada pemilik kilang produk kecantikan yang terbakar di Kampung Sengkang, Disember lalu, berikutan dakwaan mencemar alam sekitar.

Setiausaha MDT, Sulaiman Ismail berkata, notis itu sebagai tindakan susulan dan maklum balas mengenai aduan penduduk mengenai kilang berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan.

"Siasatan mendapati kilang itu mempunyai lesen jenis kilang syampu atau kosmetik dari MDT. Laporan siasatan Jabatan Perlesenan dan Penguatkuasaan mendapati kawasan kilang yang terbakar itu adalah sebuah gudang menyimpan barang pembungkusan.

"Bahan yang terbakar dalam kebakaran pada 29 Disember lalu adalah kayu palet, botol plastik, kotak pembungkusan, tong plastik dan tong berisi air campuran syampu serta sabun," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini kira-kira 1,000 penduduk di kampung tersebut merungut dan bimbang berikutan kilang tersebut yang terbakar 29 Disember lalu menghasilkan bau kurang menyenangkan dipercayai bahan kimia selepas beberapa hari insiden itu berlaku.

Mereka khuatir pencemaran bau tersebut merupakan hasil daripada bahan kimia yang boleh menjejaskan kesihatan dan bau berkenaan dapat dihidu kerana jarak antara kilang dengan rumah penduduk hanya kira-kira 20 meter, tidak seperti peraturan yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu 100 meter.

Sementara itu, Sulaiman turut memaklumkan bahawa bau busuk atau masam yang dihidu penduduk kampung adalah dari kawasan tepi pagar longkang kilang berkenaan yang berpunca daripada air jirusan jabatan bomba ketika memadamkan kebakaran yang mengalir dan melimpah ke atas jalan.

"Air itu bercampur dengan syampu dan meninggalkan mendapan di atas jalan, longkang serta tanah. Ia dipercayai menyebabkan bau busuk dan masam bagaimanapun MDT sudah mengarahkan pemilik kilang supaya membersihkan mendapan yang tertinggal dengan segera bagi memastikan tiada lagi bau busuk," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved