Jumaat, 17 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Rungutan penduduk terbela

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh HERMAN HAMID
utusanktn@gmail.com

ADNAN Yaakob menerima baucar bantuan persekolahan daripada Tengku Zulkifli Tengku Ahmad (kanan) dalam majlis penyerahan bantuan tersebut di Yayasan Pahang di Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 17 Jan. - Lori membawa muatan bijih besi tidak lagi menggunakan jalan di Kampung Selamat, Gebeng dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk ke Pelabuhan Kuantan berikutan aduan yang diterima daripada penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, keputusan itu adalah persetujuan bersama selepas pertemuan dengan wakil Persatuan Pengusaha Bijih Besi Pahang bagi mengatasi masalah kerosakan jalan dan debu di kawasan berkenaan.

''Selepas ini lori bijih besi hanya akan menggunakan jalan lencongan Sungai Ular. Hal-hal lain kita akan uruskan kemudian termasuk bantuan yang boleh diberikan kepada penduduk.

''Kerajaan negeri juga pada masa sama mahu mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti soal kapasiti muatan dan memastikan muatan lori ditutup dengan kanvas yang sempurna," katanya selepas mengadakan pertemuan tersebut di Yayasan Pahang di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Pengusaha Bijih Besi Pahang, Datuk Tengku Zulkifli Tengku Ahmad.

Dalam majlis itu, Adnan turut menerima sumbangan daripada persatuan tersebut iaitu baucar bantuan persekolahan untuk anak-anak mangsa banjir negeri ini yang keseluruhannya berjumlah RM350,000.

Sementara itu, Adnan berkata, dengan persetujuan itu semua pihak akan dapat manfaat bersama terutama penduduk yang sebelum ini merungut terpaksa melalui jalan tersebut dalam keadaan berdebu dan ada kalanya berlumpur.

''Aktiviti perlombongan bijih besi juga mempunyai sumbangan kepada ekonomi setempat dan yang penting kita boleh capai penyelesaian yang beri manfaat kepada semua pihak. Malah pengusaha juga memberi sumbangan dalam kerja-kerja mencuci jalan yang berdebu akibat dilalui lori mereka dengan mempunyai kontraktor tetap yang dilantik," jelasnya.

Tambah Adnan, kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan agensi penguatkuasaan terlibat dalam menangani aduan orang ramai akibat aktiviti itu.

''Apa pun saya yakin pihak persatuan pengusaha prihatin kepada masalah-masalah yang diadukan penduduk akibat aktiviti perlombongan," jelasnya.

PPDNKK pantau harga barang secara berterusan - Shahiruddin

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

SHAHIRUDDIN Ab. Moin (dua dari kanan) bersama para pelajar Polisas mendengar penerangan daripada Khor Chooi Beng (kiri) di Kilang BASF Petronas Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 17 Jan. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri sentiasa turun padang membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, proses pemantauan harga barang dilakukan secara berterusan bagi memastikan kepentingan pengguna terbela.

"Selepas ini kita akan lebih agresif setelah menerima arahan Kerajaan Pusat supaya melipatkan gandakan kerja-kerja penguatkuasaan bagi mengheret peniaga tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Sebelum arahan ini keluar pun kita sebenarnya telah bergerak dari semasa ke semasa kerana sedar kesusahan yang perlu ditanggung pengguna jika peniaga menaikkan harga barang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan PPDNKK negeri bersama kira-kira 50 pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) ke Kilang BASF Petronas Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Operasi Teknikal BASF Petronas Chemicals, Datuk Ir. Khor Chooi Beng.

Shahiruddin berkata, dalam Ops Harga sehingga 15 Januari lalu, 8,500 premis perniagaan diperiksa.

"Daripada jumlah itu, 37 pemilik premis dikompaun kerana tidak meletakkan tanda harga dan 14,000 barangan dirampas manakala jumlah kompaun dikenakan RM5,000," katanya.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan supaya segera memperluaskan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di setiap daerah.

Katanya, KR1M banyak membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan tanpa mengenepikan kualiti barangan.

"KR1M adalah yang terbaik dan mendapat sambutan rakyat kerana menawarkan harga yang cukup murah. Sudah sampai masanya kerajaan memperluaskan kedai ini di seluruh kawasan di negeri ini," katanya.

BAC agih bantuan kepada 40 keluarga mangsa banjir

Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmai.com

NOR Hisham Usai Taib (duduk, tiga dari kiri) dan Badrul Hisham Mad Yassin (lima dari kanan) bersama para penerima bantuan mangsa banjir sumbangan Brahim's Airline Catering di Kampung Bukit Betong, Kuala Lipis, Pahang, kelmarin.

KUALA LIPIS 17 Jan. - Anggota sukarelawan Brahim's Airline Catering (BAC) yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor menyumbangkan bantuan bernilai RM2,500 kepada 40 mangsa banjir di Kampung Bukit Betong, dekat sini semalam.

Bantuan berkenaan diagihkan kepada setiap ketua keluarga mangsa iaitu lapan orang di Kampung Telang diikuti Kampung Bukit Betong (16), Kampung Chegar Perah (enam), Kampung Seberang Jelai (lima), Kampung Aur Gading (tiga) dan Kampung Beralas (dua).

Sumbangan berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, makanan kering dan air mineral disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Modal Insan BAC, Nor Hisham Usai Taib dan disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif syarikat tersebut, Datuk Ibrahim Ahmad Badawi.

Ibrahim ketika ditemui berkata, kehadiran 20 sukarelawan BAC untuk membantu serta berkongsi kesedihan yang dihadapi mangsa banjir daerah itu.

"Kita terpanggil menghulurkan sumbangan tersebut setelah terbaca keperitan mangsa banjir di sini menerusi media dan terus mengaturkan penghantaran bantuan menerusi sukarelawan BAC.

"Kehadiran kami juga untuk mendekatkan hubungan antara BAC dengan pemimpin serta penduduk setempat dan usaha ini akan diteruskan menerusi bantuan tertentu jika mereka mengalami musibah yang sama pada masa akan datang," katanya.

Yang hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lipis, Badrul Hisham Mad Yassin dan Ketua Kampung Bukit Betong, Badra Isa Abdul Hamid.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved