Jumaat, 24 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Wujud saluran pengeluar-pengguna

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Dr. Jamaluddin

ROMPIN 24 Jan. - Kerajaan perlu mewujudkan satu saluran baharu jika mekanisme harga yang digunakan ketika ini tidak berfungsi dengan baik sehingga membebankan rakyat.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, tinjauan di kebun-kebun sayur mendapati harga di ladang jauh lebih murah iaitu tiga kali ganda berbanding harga sayur-sayuran yang dijual di pasar.

"Oleh itu, saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu saluran baharu iaitu pengeluar terus kepada pengguna. Agensi kerajaan berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu memainkan peranan agresif bagi menangani perkara ini.

"Bagi ikan pula, jika harga bekalan makanan itu lebih murah di negara jiran seperti Indonesia, kerajaan boleh mengimportnya terus melalui hubungan Malaysia-Indonesia," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pekarangan pejabat Majlis Daerah Rompin di sini semalam.

Kelmarin akhbar melaporkan kerajaan akan campur tangan sekiranya mekanisme harga yang digunakan ketika ini tidak berfungsi dengan baik sehingga membebankan rakyat.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berkata, kenaikan harga barang ketika ini tidak akan memberi kesan kepada projek perumahan rakyat dan akan dilaksanakan seperti dirancang.

"Saya bagi jaminan harga rumah-rumah PR1MA lebih murah dan kurang 20 peratus daripada harga pasaran.

"Jika harga bahan binaan mahal di negara ini, kita akan usahakan mencari yang lebih murah walaupun terpaksa import atau membina kilang di kawasan berhampiran," ujarnya.

Umat Islam perlu bersatu pertahan agama

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Adnan Yaakob (tengah) menyampaikan anugerah kepada peserta pada Majlis Penutupan Tilawah Al Quran Saudara Baru Peringkat Kebangsaan di Hotel MS Garden di Kuantan, malam semalam. Turut kelihatan, Wan Abdul Wahid Wan Hassan (kiri).

KUANTAN 24 Jan. - Umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan semangat serta ketegasan bagi mempertahankan agama yang kini dilihat begitu mudah dikritik pihak tertentu terutama dalam isu murtad dan kalimah Allah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan dan pihak berkuasa agama juga perlu bertegas berhubung perkara tersebut demi memastikan agama Islam terus terpelihara dan bukan menjadi mainan pihak tertentu.

"Dalam soal murtad, perkara ini boleh dipermainkan di mana orang seolah-olah bebas keluar masuk agama dan boleh dikritik oleh golongan bijak pandai, orang Islam seharusnya sedar dan bangun dari tidur serta bersatu menegakkan agama.

"Begitu juga soal kalimah Allah, kita berpegang pada ajaran Nabi Muhammad SAW, namun ada golongan cuba bangkitkan mewujudkan perselisihan faham antara masyarakat," katanya ketika berucap menutup Majlis Tilawah al-Quran Saudara Baharu Peringkat Kebangsaan di sini malam tadi.

Adnan berkata, beliau bimbang daripada satu sudut Allah SWT akan murka kepada umat Islam jika isu kalimah Allah tidak dapat ditangani dengan baik.

"Kita perlu tangani isu kalimah Allah dengan baik, saya takut dari satu sudut Allah akan murka kepada kita kerana nama Allah pun tidak mampu hendak jaga.

"Kita perlu tegas dengan perkara ini, kalau timbul saja isu itu... mufti dan jabatan agama terus bangun mempertahankan serta bagi penjelasan," katanya.

Menurut beliau, umum dapat melihat bagaimana peguam-peguam bukan Islam mempertikaikan mengenai kalimah Allah walaupun sudah dijelaskan bahawa Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

"Mereka dilihat begitu berani dan saya berharap kita (umat Islam) juga perlu berani bangkit mempertahankan kalimah ini, kalau tidak kita sampai bila-bila akan ditindas pihak tertentu," katanya.

Pampasan Perkeso berjumlah RM8.8 juta

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

KUANTAN 24 Jan. - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang telah membayar pampasan berjumlah RM8.8 juta kepada pencarum yang melibatkan tuntutan pelbagai kes yang diterima sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, bayaran pampasan itu melibatkan sebanyak 2,714 kes antaranya seperti hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen ilat dan pencen penakat.

"Perkeso dalam masa sama akan terus memastikan para majikan di negeri ini membuat caruman bagi memastikan pekerja mendapat hak perlindungan jika berlakunya kemalangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Cek Kepada Penerima Faedah Perkeso Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Wisma Perkeso negeri di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Perkeso negeri, Mohd. Shahar Ismail.

Menurut beliau, Perkeso negeri juga telah mendakwa sebanyak 18 majikan pada tahun lalu dan 57 majikan telah dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan yang dilakukan mereka adalah seperti lewat mengemukakan laporan kemalangan, gagal daftar pekerja dan gagal membayar caruman," katanya.

Katannya lagi, majikan diingatkan supaya sedar akan kepentingan sosial pekerja mereka dengan mencarum dengan Perkeso atau berdepan tindakan undang-undang.

"Kegagalan majikan mendaftar dengan Perkeso sebenarnya turut menafikan kebajikan dan hak pekerja mereka untuk mendapat pembelaan sekiranya berlaku sebarang musibah yang menimpa mereka.

"Selain itu, para pekerja seharusnya mengambil tahu tentang hak masing-masing dengan menyemak status di pejabat Perkeso sama ada majikan membuat caruman atau sebaliknya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved