Jumaat, 24 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pengurus restoran didapati bersalah

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KOTA KINABALU 24 Jan. - Seorang pengurus restoran, Riduan Masmud yang dibicarakan atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di dalam sebuah kereta pada awal Februari tahun lalu, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Riduan, 40, yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mendakwa mengahwini mangsa selepas kejadian itu, ditetapkan Isnin ini bagi mendengar hujahan pendakwaan dan rayuan daripada pembelaan.

Hakim Ummu Khatom Abd. Samad mengarahkan supaya jaminan RM8,000 terhadap tertuduh dilanjutkan sehingga hari tersebut.

Riduan diwakili oleh peguam, Ram Singh, Y.S Lo dan Timoty Daud.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan sepanjang perbicaraan berlangsung 19 saksi dipanggil memberi keterangan.

Tertuduh yang mempunyai seorang lagi isteri dan empat anak berusia dua hingga 17 tahun didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun enam bulan di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Inanam dekat sini pada pukul 10 pagi, 18 Februari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Liputan kes Riduan mendapat perhatian umum apabila mahkamah sama pada 21 Mei tahun lalu dimaklumkan dia telah menikahi mangsa, malah salinan sijil perkahwinan itu turut diserahkan kepada mahkamah.

Selain tuduhan rogol itu, Riduan turut menghadapi tiga lagi pertuduhan kerana cuba memberi suapan masing-masing RM5,000, RM2,000 dan RM3,000 kepada bapa mangsa sebagai dorongan supaya kanak-kanak itu menarik balik laporan polis bahawa tertuduh telah merogolnya.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Kes terakhir warga Indonesia bunuh pegawai Ambank 10 Feb.

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

SHAH ALAM 24 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 Februari ini bagi tarikh pengurusan kes terakhir terhadap seorang pengawal keselamatan warga Indonesia yang dituduh membunuh dan melepaskan tembakan terhadap seorang pegawai AmBank di Subang Jaya, dalam satu kejadian rompakan, tiga bulan lalu.

Tarikh itu ditetapkan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli bagi memastikan dokumen-dokumen lengkap berkaitan kes terhadap La Ode Ardi Rasila, 37, diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh diwakili peguam bela S. Selvi yang dilantik Kedutaan Indonesia manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Parimalaah. Peguam bela, S. Prakash pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga tertuduh.

La Ode yang berasal dari Sulawesi, Indonesia, hadir di mahkamah memakai baju T dan seluar panjang berwarna hitam pada pukul 8.50 pagi dengan dikawal ketat pihak polis.

Sementara itu, di luar mahkamah, Parimalaah memberitahu pemberita, dokumen tersebut melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan kimia.

Pada 19 November tahun lalu, La Ode didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan membunuh Norazita Abu Talib, 37, di dalam bangunan AmBank No. 5 dan 7, Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul 6 petang dan 6.30 petang, 23 Oktober 2013.

Bagi pertuduhan membunuh mangsa, lelaki yang bertubuh sederhana itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan 'pump gun' dengan niat menyebabkan kematian ke atas mangsa.

Pertuduhan kedua itu dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, dalam kejadian pada 23 Oktober tahun lalu, Norazita maut ditembak oleh suspek ketika membuka peti besi di dalam bilik kebal bank itu, sebelum suspek melarikan diri dengan hasil rompakan berjumlah RM450,000.

Pada 10 November tahun sama, pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya memberkas La Ode kira-kira pukul 7 pagi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.

Tertuduh yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah bank berdekatan dilaporkan menggunakan kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan.

Polis turut menemui senjata api jenis pump gun yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu, beberapa hari selepas penangkapan lelaki terbabit.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved