Jumaat, 24 Januari 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Rahsia dapat anak soleh, solehah

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Oleh SAFINA RAMLI
Gambar SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

CHE Ariffin Abd. Manaf dan Sharifah Fatimah Syed Hussain menatap gambar perkahwinan mereka yang sudahpun berusia 33 tahun di Alor Setar, Kedah.

CHE Ariffin Abd. Manaf, 54, dan isterinya, Sharifah Fatimah Syed Hussain, 52, yang tinggal di Lorong Seri, Alor Setar, Kedah sedang menikmati masa senggang bersama anak-anak dan dua cucu ketika penulis tiba di rumah mereka.

Kisah perkahwinan lima anak mereka yang berlangsung secara serentak pada awal tahun ini berjaya menarik perhatian ramai.

Siapakah gerangan ibu bapa yang mampu membuatkan anak-anak mereka bersetuju melangsungkan perkahwinan bersama serentak menjadi perbualan ramai.

Lima anak Che Ariffin dan Sharifah Fatimah iaitu Farhana, 28; Mohd. Farhan, 26; Mohd. Syafiq, 25; Mohd. Anis, 22, dan Mohd. Anas, 20, bersetuju bersanding bersama pasangan masing-masing iaitu Mohd. Shafarin Mansor, 29; Fatin Fadlilah Mohd. Salleh, 26; Syazwani Ghazali, 25; Siti Aishah Mohd. Noor, 21, dan Nadjua Izda Mohd. Izham, 19, dalam suasana meriah yang dihadiri kira-kira 6,000 tetamu.

Seorang lagi anak mereka, Alif Muzakir, 13, masih lagi menuntut di Sekolah Menengah Raudhah, Alor Setar.

Che Ariffin yang merupakan seorang pembekal daging berkata, dia bersyukur perkahwinan yang dibina selama 33 tahun bersama isteri yang dipilih ibunya diberkati Allah dengan dikurniakan anak-anak yang menurut kata.

Berasal dari Seberang Perak, Alor Setar, Che Ariffin bertemu jodoh dengan isterinya, anak kelahiran Kuala Pegang, Baling ketika masing-masing berusia 21 dan 19 tahun.

Menurutnya, dia hanya menurut saranan ibunya yang mahu dia mendirikan rumah tangga bersama isterinya.

Justeru, katanya, dia hanya berjumpa sekali sahaja dengan isterinya sebelum mereka diijabkabulkan.

"Mak tanya saya nak kahwin atau tidak, saya cakap saya ikut mak sahaja dan saya pergi tengok isteri sekali sahaja di rumah dia sebelum kami berkahwin.

"Zaman dahulu... mana ada nak bercinta. Saya dan isteri bercinta selepas bernikah dan alhamdulillah, perkahwinan kami diberkati Allah dengan dikurniakan tujuh orang anak," katanya.

Beliau bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang mendengar nasihat dan mengakui terkejut apabila anak-anak bersetuju untuk melangsungkan perkahwinan secara serentak.

"Zaman sekarang ini kalau kita lihat, anak-anak tak mahu melangsungkan perkahwinan sama tarikh dengan adik beradik mereka.

"Alasan yang diberi adalah nak majlis kahwin mereka lebih eksklusif. Namun perkara itu tidak terjadi pada anak-anak saya," jelasnya.

Menurutnya, sepanjang berumahtangga, dia dan isterinya amat menitikberatkan ilmu agama di dalam kehidupan mereka yang mana ilmu itu kemudiannya diturunkan pula kepada anak-anak.

"Saya selalu berpesan kepada isteri dan anak-anak agar memberi penekanan kepada ilmu akhirat dalam kehidupan seharian.

"Nampaknya, mereka mengikut pesanan saya dengan memilih akhirat dalam kehidupan mereka dan kesemua mereka tamat pengajian di sekolah tahfiz sebagai pelengkap diri," jelasnya.

Ketika ditanya kepada isterinya, Sharifah Fatimah apa rahsia yang diamalkan sepanjang berkahwin sehingga kekal bahagia dan mempunyai anak-anak yang soleh serta solehah, katanya, antara amalan yang dilakukannya adalah sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

"Sepanjang masa, saya berselawat dan waktu yang paling banyak saya berselawat adalah ketika saya memasak makanan untuk suami dan anak-anak.

"Mungkin itu yang membuatkan kami saling sayang menyayangi antara satu sama lain dan amalan itu yang saya lakukan sejak dahulu sehingga sekarang," katanya.

Sedih anak kandung tabur fitnah

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

TIDAK ada seorang wanita pun di dunia ini yang mahukan perceraian. Malah setiap saat, mereka mengharapkan rumah tangga yang dibina akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Namun kerja Allah tidak siapa menduga tetapi harus diterima dengan reda dan penuh sabar. Doakan agar kehidupan yang berlaku selepas itu lebih baik daripada sebelumnya terutama yang membabitkan anak-anak.

Itulah yang dialami oleh Shifa (bukan nama sebenar) dalam e-melnya kepada saya. Hancur luluh hati Shifa mengenangkan anak yang dikandung menabur fitnah terhadapnya setelah tinggal bersama ibu tirinya selepas dia berpisah dengan suaminya lebih setahun lalu.

Ingin tahu kisah lanjut, kita ikuti apa yang berlaku kepada Shifa.

"Saya berusia lewat 30-an, mempunyai tiga orang anak berusia antara antara 10 hingga 14 tahun, seorang perempuan dan dua lelaki. Saya berpisah dengan suami, Rasdi (bukan nama sebenar) setahun lalu kerana kehadiran orang ketiga.

"Saya telah puas bersabar dan berharap rumah tangga kami dapat kembali seperti sedia kala tetapi sayangnya tidak menjadi. Tingkah laku suami yang bermain kayu tiga di belakang saya dengan perempuan lain menyebabkan rumah tangga yang kami bina hancur berkecai.

"Puas saya berdoa untuk berbaik-baik dengan suami tetapi tidak berhasil sebab dia nekad untuk bersama perempuan itu. Tanpa pengetahuan saya, mereka bernikah setahun lalu dalam satu majlis gilang-gemilang.

"Anak-anak saya turut sama di hari pernikahan mereka tanpa memberitahu saya. Akhirnya setelah empat bulan hidup dalam kacau bilau, saya diceraikan dengan talak satu. Alasan suami, tidak ada persefahaman dan dia mahu bebas daripada hidup saya. Saya reda dengan ketentuan Allah SWT.

"Anak lelaki sulung saya berusia 14 tahun, tinggal bersama saya, yang kedua, 12 tahun, diambil mentua dan yang bongsu perempuan berusia 12 tahun tinggal bersama bekas suami dan isteri baharunya.

"Walaupun berat untuk berpisah dengan anak-anak, saya terima semuanya dengan positif. Saya mahu selalu berprasangka positif terhadap suami kerana tidak mahu hubungan saya dan anak-anak menjadi renggang. Saya yakin dia boleh membahagiakan anak-anak kami, sayangnya lain pula yang terjadi.

"Anak perempuan saya yang tinggal bersama bekas suami dan ibu tirinya mula buat perangai. Dia tidak hormat saya lagi, selalu buat fitnah terhadap saya dan menceritakan perkara yang bukan-bukan kepada ibu tirinya dan keluarga bekas mentua.

"Ini ditokok tambah lagi dengan hasutan suami. Kononnya saya suka berjalan, tidak buat kerja rumah, tidak melayan bapa mereka dan selalu balik lewat malam.

"Pada mulanya, saya tidak ambil kisah tetapi lama-kelamaan saya merasakan fitnah yang dibuat oleh anak saya itu sudah melampau. Dia sengaja memburuk-burukkan saya kerana termakan hasutan ibu tirinya yang bijak melayannya.

"Apa sahaja yang dia mahu, semua dibelikan oleh ibu tirinya yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank. Saya faham kenapa dia buat begitu sebab ketika bersama saya, dia tidak dapat semua itu kerana saya tidak mampu.

"Demi untuk menyelamatkan nama baik saya, akhirnya saya bersemuka dengan anak perempuan saya itu. Saya tanya kenapa dia sanggup buat macam itu kepada saya. Jawapannya mudah sahaja, itu yang mama buatkan masa masih dengan papa dulukan?

"Tergamaknya dia tuduh saya macam itu? Sedihnya saya Allah sahaja yang tahu, tapi saya bersabar kerana memikirkan dia masih muda. Nama baik saya telah tercemar dalam kalangan keluarga bekas mentua. Dulu saya ditatang dan dianggap menantu paling baik dan rajin ke dapur setiap kali kami pulang ke kampung.

"Tapi sekarang dalam sekelip mata semuanya sudah berlalu. Di mata mereka saya umpama sampah, kebaikan saya hilang entah ke mana. Mereka hanya nampak yang buruk sahaja pada saya. Semuanya gara-gara sudah dapat menantu baharu yang ada pangkat.

"Saya juga sedih kerana anak sulung saya juga tidak dapat berjumpa adik-adiknya kerana dihalang oleh keluarga mentua. Entah apa sebabnya saya tidak tahu, tetapi itulah yang berlaku. Pernah sekali dua saya menelefon untuk bertanya khabar anak-anak saya yang dijaga bekas mentua dan anak perempuan saya tetapi mereka beritahu neneknya tidak suka saya menelefon. Nenek tak bagi cakap dengan mama kerana mama ibu yang tidak baik.

"Apa maksud bekas mentua kata begitu, saya tidak tahu. Mereka mencemuh saya dengan kata-kata saya perempuan tidak baik, suka berjalan dan selalu bergaul dengan lelaki di tempat-tempat hiburan. Dari mana mereka mendapat cerita ini saya tidak tahu. Tentu ada orang yang menyampaikannya.

"Dengan pekerjaan saya sebagai seorang kerani di sebuah syarikat insurans, saya tidak mampu untuk berhibur di tempat seperti itu, tambahan pula dengan status saya sebagai ibu tunggal.

"Saya bekerja siang malam untuk mencari duit bagi membantu suami yang tidak ada pendapatan tetap semasa kami bersama dahulu. Bekas suami dahulu kerja sendiri, kalau ada kerja ada duit tetapi kalau tidak ada, saya yang menjadi galang gantinya, menyara makan minum anak dan persekolahan mereka.

"Saya amat kecewa dengan sikap anak perempuan saya yang menabur fitnah terhadap saya. Bayangkan budak perempuan berusia 12 tahun boleh bercerita tentang keburukan ibunya kepada orang. Saya berharap dia dapat bersama saya ketika saya sedih dan ditinggalkan bapanya tetapi lain pula yang berlaku.

"Pernah sekali saya ke sekolah untuk berjumpa dengannya tetapi dia cepat-cepat naik bas tanpa menoleh kepada saya. Air mata saya menitis melihat perangainya itu tetapi saya tetap sabar.

"Saya berharap Allah pelihara anak-anak saya di mana pun mereka berada, jaga kesihatan mereka dan buka hati mereka untuk menerima ilmu dengan baik supaya masa depan mereka terjamin.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana anak sulung saya selalu ada bersama untuk berkongsi suka duka saya. Dia anak yang baik dan faham kenapa saya terpaksa berpisah dengan adik-adiknya. Dia selalu juga bertanya tentang adik-adiknya tetapi saya selalu beritahu dia, mereka akan datang bila ada kelapangan dan mereka sayang dia.

"Kadang kadang dia bertanya, kenapa papanya tidak pernah datang menjenguknya, saya hanya tersenyum dan beritahu, mungkin papa sibuk... sedangkan dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu. Saya berdoa siang malam agar anak bongsu saya akan sedar dan mengubah sikapnya dan tidak terpengaruh dengan ibu tirinya.

"Saya juga hairan apa lagi yang perempuan itu hendak, dia sudah rampas suami saya, anak-anak saya dan sekarang menyusahkan hidup saya pula. Semoga Allah pelihara anak-anak saya dan insafkan perempuan itu. Saya mohon petunjuk daripada Allah untuk kelangsungan hidup saya." Begitu harapan Shifa sebelum menamatkan kisahnya.

Tersentuh hati saya membaca kisah Shifa. Tidak saya sangka masih ada lagi wanita yang berperangai seperti ini dalam masyarakat kita. Sabar banyak-banyak Shifa, kembali kepada Allah untuk mencari ketenangan.

Saya percaya anak anda akan sedar kesilapannya satu hari nanti kerana dia masih muda dan mudah terpengaruh. Ingat satu perkara, segala kepahitan yang dilalui bukan penamat hidup, sebaliknya ia memberi anda kekuatan untuk terus menempuh cabaran dan ujian Allah. Semoga Allah pelihara anda dan anak-anak anda.

Jangan putus berdoa kerana doa seorang ibu sangat mustajab. Satu hari nanti, anda akan ditemukan semula dengan anak-anak yang mengasihi anda sehingga ke syurga.

Menutup kata, tiada yang mustahil digapai dalam hidup ini jika disertakan dengan keteguhan iman dan kesabaran.

Salam

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved