KEHIDUPAN bermula pada usia 40 tahun. Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40 hingga 65 tahun.
Usia menunjukkan seseorang itu perlu melangkah dengan penuh yakin dan matang. Usia yang banyak juga menguji tahap kesabaran yang tinggi untuk berhadapan dengan konflik, yang kebanyakannya berkaitan dengan masalah peribadi.
Jangan mudah melatah atau melenting jika diuji, hadapi dengan tenang. Dalam setiap sujud lima waktu yang difardukan itu, mohonlah petunjuk daripada Ilahi agar segala urusan hidup dipermudahkan oleh Allah SWT.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak yang lanjut usia, masalah jodoh anak tentu menjadi perkara utama yang diberi perhatian terutama anak perempuan.
Namun begitu, jika anak teruna juga tidak berkahwin, pening juga ibu bapa memikirkannya. Seperti mana yang dilalui oleh Nazri (bukan nama sebenar) yang bertindak bijak menguruskan jodoh untuk anak lelaki tunggalnya.
Hasilnya, kata Nazri amat positif. Kita ikuti cerita Nazri untuk renungan dan teladan.
Begini ceritanya:
"Sewaktu menghadiri satu seminar, saya mengenali seorang gadis. Perkenalan kami bermula daripada bertukar-tukar nombor telefon dan akhirnya menjadi kawan rapat.
"Dalam tempoh perkenalan, saya tidak merahsiakan status sebenar dan memberitahu Atelia (bukan nama sebenar) bahawa saya mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.
"Bagi saya, kita perlu ikhlas dalam menjalin persahabatan, jika tidak ia akan mengundang pelbagai masalah. Saya tidak suka bersikap seperti di luar bagai madu tetapi di dalam bagai hempedu.
"Dalam meneruskan persahabatan, kami sering bertemu di tempat-tempat terbuka sebab saya sengaja mahu menguji Atelia. Satu hari, saya mengajaknya bercuti ke luar daerah. Pelawaan saya diterima. Saya tidak terkejut kerana itu yang saya harapkan.
"Setibanya di tempat yang dituju, kami disapa oleh seorang wanita sambil memperkenalkan dirinya sebagai sepupu Atelia. Terpinga-pinga saya dibuatnya. Atelia memohon maaf kerana mengajak sepupunya datang bersama.
"Bagaikan jinak merpati sungguh mudah untuk didekati tetapi terbang bila mahu dicekup, itu yang terlintas di fikiran saya ketika itu.
"Hajat di hati mahu bercuti berdua, tetapi bertiga jadinya" itu yang saya katakan kepada Atelia.
En. Nazri tidak selesa ke? Atelia bersuara sambil mengerutkan wajahnya yang putih gebu itu.
"Saya tergamam dengan kejutan ini, kata saya dalam nada pura-pura kecewa. Kami pulang pada hari yang sama.
"Sampai sahaja di rumah, saya maklumkan kepada isteri kesayangan saya, Laily (bukan nama sebenar) mengenai percutian yang saya rancang untuk menjerat 'merpati' tetapi terjerat diri sendiri.
"Berubah air muka isteri saya. Daripada tersenyum bertukar menjadi merah padam wajahnya.
"Saya tidak pernah berkelakuan sebegini tetapi saya lakukan untuk mencari 'merpati' yang jinak dan berkualiti untuk seseorang, kata saya kepada isteri tersayang.
"Untuk siapa? Tiba-tiba isteri saya memotong cakap saya dengan pantas sekali, dan saya katakan tunggu dan lihat. Saya nampak wajah isteri masam dan muncung.
"Pada suatu hujung minggu, sekali lagi saya menghubungi Atelia dan mengajaknya untuk makan-makan dengan syarat tidak membawa sesiapa. Pelawaan saya diterima dan kami keluar bersama sekali lagi.
"Saya cuba untuk duduk dekat-dekat dengan Atelia, tetapi 'merpati' yang jinak ini pandai mengelak dengan mengatakan dia tidak selesa begini.
"Saya menghormati pendiriannya dan sambil menjamu selera, saya berlakon menelefon seseorang mengatakan saya sedang makan-makan dengan 'si jantung hati'.
"Saya menamatkan perbualan selepas beberapa minit bercakap, dan Atelia bersuara 'kenapa sekejap berbual, saya tidak marah mungkin ada hal yang penting'. Saya membalas dengan mengatakan isteri saya minta belikan sesuatu.
"Selepas menjamu selera, Atelia mohon untuk pulang segera kerana ada temu janji dengan seseorang.
"Begitulah hari-hari yang saya lalui bersama Atelia. Saya amat tertarik dengan pendiriannya yang bersahaja dan tegas.
"Di rumah, isteri saya inginkan penjelasan yang sebenar, siapakah 'merpati' yang telah menambat hati saya. Saya katakan kepadanya si gadis yang telah lama saya cari akhirnya telah ditemui.
"Kata-kata saya telah mengguris perasaan seorang isteri dan saya katakan jangan cemburu tidak bertempat kerana jika tidak kenal maka tak cinta.
"Sengaja saya mengguris emosinya yang semakin gusar dan keliru jadinya. Melihat wajahnya yang semakin murung, timbul pula perasaan kasihan. Lalu saya katakan, saya ada satu kejutan tetapi biarlah ia menjadi rahsia buat seketika.
"Kebetulan minggu berikutnya adalah hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-30 dan kami sekeluarga akan meraikannya bersama anak-anak termasuk anak lelaki tunggal saya yang masih bujang. Dia tinggal berasingan dan akan pulang untuk bersama kami.
"Itulah waktu yang paling sesuai untuk saya menjemput Atelia bersama. Tepat waktu yang dijanjikan Atelia datang. Saya kenalkan Atelia kepada seluruh ahli keluarga kami. Anak lelaki saya, Azrul (bukan nama sebenar) tersenyum bila saya perkenalkan dia kepada Atelia.
"Sambil menjamu selera, saya bisikan kepada isteri, 'mereka memang serasi dan sesuai untuk digandingkan bersama. Wajah isteri saya berubah.
"Sebenarnya, saya telah berjanji dengan anak kita untuk mencarikannya calon isteri dan Atelia 'lulus' ujian itu. Syarat yang telah ditetapkan oleh Azrul, anak kita juga ada pada Atelia.
"Fahamlah saya kenapa awak keluar dengan Atelia dan jika saya tahu rancangan awak, mungkin saya tidak akan melatah, jawab isteri tersenyum girang.
"Merpati yang jinak akan terjerat juga jika pandai mengumpannya, tetapi tidak semua umpan menjadi pilihan jika tidak kena caranya.
"Kata-kata isteri menyebabkan kami sama-sama ketawa dan gembira kerana mendapat calon menantu yang baik. Atelia tidak menolak apabila saya membuat pengumuman untuk mengambilnya sebagai menantu saya.
"Dalam keadaan malu-malu, dia tersenyum apabila saya memberitahu dia boleh berkawan dulu dengan Azrul untuk mengenali hati budinya.
"Tetapi saya dan isteri terkejut apabila Atelia berkata, dia telah bersedia untuk menjadi seorang isteri.
"Saya terharu dengan sikap Encik Nazri yang sanggup menyamar untuk mencari seorang calon isteri untuk anak sendiri. Saya tidak pernah dengar lagi cerita seperti ini sebelum ini, kata Atelia kepada saya sambil tersenyum manis.
"Apa lagi yang hendak saya katakan melainkan rasa syukur dan gembira dengan jodoh mereka berdua. Sesungguhnya saya nekad melakukan semua ini kerana saya yakin, Atelia adalah calon terbaik untuk anak lelaki saya. Kini, mereka telah sah menjadi suami isteri dan sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertama tidak lama lagi,"kata Nazri menamatkan ceritanya.
Saya tersenyum sendiri apabila selesai membaca cerita ini. Inilah kisah hidup manusia di pentas dunia. Apa pun saya kagum dan bangga dengan Nazri yang sanggup berkorban demi masa depan anak lelaki sulungnya. Semoga kebahagiaan keluarga ini Allah pelihara.
Dalam keadaan dunia yang serba canggih, masih ada ibu bapa yang prihatin dengan jodoh anak-anak mereka. Nazri patut bangga kerana mempunyai seorang anak lelaki yang begitu taat dan menyerahkan jodoh kepada ibu bapanya.
Berapa ramai bapa yang sanggup untuk berbuat demikian kepada anak-anak mereka? Kebanyakan cerita yang saya dengar adalah untuk bapa sendiri!
Menamatkan catatan, pesanan saya, orang yang paling bahagia adalah mereka yang dapat membahagiakan ramai orang yang sedang bersedih dan meratapi ujian hidup.
Salam