Jumaat, 5 April 2013

Utusan Online - Timur


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Timur


Kerajaan Pusat lulus RM13 juta

Posted: 04 Apr 2013 12:57 PM PDT

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

PASIR PUTEH 4 April - Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM13 juta menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan bagi melaksanakan dua projek ternakan ikan bagi manfaat 300 nelayan di Tok Bali, dekat sini tahun ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semerak, Datuk Mohd. Jelani Jaafar berkata, projek itu melibatkan ternakan ikan air tawar secara komersial menggunakan sistem pemeliharaan dalam tangki menelan perbelanjaan sebanyak RM3 juta.

Beliau berkata, projek itu dilaksanakan di kawasan penempatan nelayan dengan memberi peluang kepada peserta menguruskan ladang ternak dengan bayaran gaji yang setimpal serta mendapat dividen daripada keuntungan projek terbabit.

"Projek ternakan ikan terkawal menggunakan teknologi akuakultur dari Australia dilaksanakan di kawasan Pelabuhan LKIM Tok Bali dengan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.

"Projek itu membabitkan pembenihan anak ikan secara komersial, penyediaan induk dan penghasilan ikan ternak yang berkualiti tinggi," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma PNK Semerak di Tok Bali, dekat sini hari ini.

Mohd. Jelani yang juga bekas Exco Kelantan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, bekerjasama bagi menjayakan projek terbabit khususnya penyediaan kediaman lengkap dengan dewan orang ramai, surau dan taman permainan.

Menurutnya, projek itu akan dipantau PNK Semerak bagi memastikannya mampu menjana pendapatan sampingan kepada peserta sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan di samping tugasan harian mereka sebagai nelayan tradisional.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan turut membelanjakan sebanyak RM3 juta khusus untuk membaik pulih rumah nelayan di kawasan Semerak.

"Nelayan yang memerlukan bantuan membaiki rumah ini sudah disalurkan bantuan sebanyak RM10,000 yang diuruskan PNK Semerak dengan memastikan kerja membaik pulih dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.

"Tanpa peruntukan sedemikian pastinya sukar bagi nelayan menduduki rumah yang lebih selesa. Inilah keprihatinan dan kebertanggungjawaban Kerajaan Pusat diterajui BN yang mentadbir negara dengan cemerlang," katanya.

Kepatuhan bayar nafkah tidak lagi merisaukan

Posted: 04 Apr 2013 12:57 PM PDT

YAHYA Khatib Mohamad (tengah) bersama sebahagian daripada 14 penerima dana menerima bantuan kewangan RM25,530 di Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 4 April - Kalangan ibu tunggal, isteri dan anak yang terabai serta gagal mendapat nafkah daripada suami atau bapa kini tidak perlu keluh kesah dan risau lagi terhadap soal kepatuhan aspek kebajikan mereka.

Nasib mereka akan dibela dengan bantuan Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu yang ditubuhkan sejak April 2009 bagi mengatasi masalah itu.

Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan setiap perintah nafkah terhadap isteri atau anak yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Sehingga kini katanya, Bahagian Sokongan Keluarga jabatan itu menunjukkan prestasi membanggakan apabila sebanyak 212 kes melibatkan pendahuluan nafkah berjaya diselesaikan melalui khidmat runding cara manakala 65 kes lagi diselesai secara penguatkuasaan.

"Bahagian Sokongan Keluarga membantu golongan ini melalui khidmat nasihat perundangan dengan menguatkuasakan dan melaksanakan perintah mahkamah," katanya dalam majlis Penyampaian Dana Pendahuluan Nafkah Anak Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu di Mahkamah Syariah, di sini hari ini.

Dalam majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad itu, seramai 14 orang penerima dana berkenaan menerima bantuan kewangan berjumlah RM25,530.

Menurut Wan Mohd. Zakri, sehingga Disember lalu, seramai 40 penerima telah dibayar Dana Pendahuluan Nafkah Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga berjumlah RM70,080.

Mengulas lanjut katanya, sehingga Februari lalu, sebanyak 17 kes pembayaran balik berjaya diselesaikan iaitu tujuh kes selesai dengan bayaran penuh manakala 10 kes lagi dengan bayaran ansuran membabitkan jumlah keseluruhan RM11,200 iaitu kira-kira 32 peratus.

"Kejayaan ini hasil komitmen pemohon sendiri yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga hadir ke Mahkamah Syariah bagi menjalani prosiding kes dari awal hingga akhir," ujarnya.

Wan Mohd. Zakri berkata, bermula awal September tahun lalu, urusan prosiding kes di Mahkamah Syariah bagi kes-kes tunggakan nafkah isteri atau anak dipermudahkan dengan kehadiran Pegawai Syariah Bahagian Sokongan Keluarga yang bertindak sebagai peguam syarie.

"Kita harap usaha seperti ini dapat membela nasib ibu tunggal, isteri dan anak yang tidak mendapat nafkah atau pendahuluan nafkah akan terbela dengan seadilnya bagi meringankan bebanan hidup yang ditanggung," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved