Jumaat, 5 April 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Penduduk Kg. Parit Lapis Khalid dapat geran

Posted: 04 Apr 2013 12:57 PM PDT

BATU PAHAT 4 April - Permuafakatan penduduk Kampung Parit Lapis Khalid, Ayer Hitam di sini, bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali dalam menuntut geran hak milik tanah sejak enam tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

Berikutan kejayaan itu, sebanyak 69 penduduk kampung berkenaan hari ini menerima geran pemilikan tanah masing-masing daripada Pejabat Tanah dan Galian daerah yang keseluruhannya seluas 66 hektar.

Penerima geran tanah, Abdul Malik Abdul Aziz, 43, berkata, rata-rata penerima geran tersebut terdiri daripada generasi ketiga peneroka yang mengusahakan kebun kelapa sawit dan mendirikan rumah di atas tanah milik kerajaan.

"Kami mula menuntut tanah yang diteroka ini pada 2006 dengan kesemua penduduk bersatu membuat tuntutan dan sempadan hak tanah termasuk surat-menyurat.

"Dengan kerjasama Samsol Bari, tempoh tuntutan menjadi singkat jika dibandingkan dengan orang lain yang terpaksa menunggu berpuluh-puluh tahun bagi memohon hak pemilikan tanah," katanya selepas menerima geran tanah yang disampaikan Samsol Bari di Kampung Parit Lapis Khalid di sini.

Seorang lagi penerima geran, Kamsuri Ismail, 61, memberitahu, kejayaan memiliki geran itu bukan sahaja usaha penduduk tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menitikberatkan hal ehwal masyarakat.

Baginya, sesiapa sahaja boleh membuat tuntutan tanah milik kerajaan tetapi keputusannya bergantung kepada pemilik untuk menyerahkannya.

"Alhamdulillah, BN melalui UMNO bertanggungjawab terhadap rakyat dan membantu kami mendapatkan pemilikan tanah kebun kelapa sawit dan tapak rumah pusaka," katanya.

Sementara itu, Samsol Bari berkata, permuafakatan merupakan asas kejayaan penduduk kampung dalam memperoleh geran tanah itu dengan pantas.

"Saya tidak boleh bayangkan berapa lama lagi penduduk perlu tunggu jika penuntut bergaduh mengenai sempadan tanah dan pemilik yang berhak tidak bekerjasama.

"Oleh itu, saya berharap permuafakatan yang ada dapat dikekalkan supaya menjadi contoh serta mampu membangunkan negara ini," katanya.

RM1.5 juta masjid Kg. Sungai Besar

Posted: 04 Apr 2013 12:57 PM PDT

PONTIAN 4 April - Masjid baharu bernilai RM1.5 juta yang dibina di Kampung Sungai Besar, Benut di sini, bakal memberi keselesaan kepada penduduk untuk beribadat dan melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Pengerusi Jemaah Tadbirnya, Wahid Ali berkata, masjid baharu bagi menggantikan masjid lama berusia lebih 40 tahun itu juga bakal menampung jemaah yang semakin ramai daripada kampung-kampung berhampiran seperti Parit Hassan, Parit Abdul Rahman, Parit Satu dan Parit Makuasang.

"Masjid Sungai Besar yang baharu ini turut dilengkapi pelbagai kemudahan bagi keselesaan kariah dapat memuatkan kira-kira 500 jemaah dalam satu-satu masa bagi menunaikan solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha serta aktiviti kemasyarakatan lain.

"Bagi pihak kariah serta jemaah, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) yang membantu merealisasikan impian penduduk," katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan masjid tersebut daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pontian kepada Pejabat Agama Daerah Pontian.

Majlis penyerahan itu dilakukan oleh Jurutera JKR Daerah Pontian, Ir. Ismail Ibrahim kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah, Mohd. Fauzi Bachok.

Tambah Wahid, pihaknya masih menunggu kebenaran daripada JAIJ bagi membolehkan masjid tersebut digunakan secara rasmi sekali gus meningkatkan syiar Islam dalam kalangan penduduk.

"Sepanjang tempoh pembinaan, penduduk menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid berhampiran seperti Masjid Tampok, Masjid Benut dan sebagainya. Biro-biro yang selama ini menangguhkan aktiviti kerana pembinaan diharap bergerak semula.

"Penduduk juga telah mengadakan kerja-kerja gotong-royong bagi membersihkan kawasan di dalam dan di luar masjid baru-baru ini, serta mengindahkan persekitarannya," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved