Jumaat, 5 April 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Pemandu teksi durjana dipenjara 12 tahun, sebat

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 April - Seorang pemandu teksi dihukum penjara 12 tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan seks luar tabii, mencabul dan merompak seorang pembantu pengurus restoran di dalam teksinya, dua tahun lalu.

Hakim Hasbi Hassan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap M. Saravanan, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap wanita berusia 31 tahun itu pada pukul 3.30 pagi, 6 Mac 2011.

Tertuduh didakwa memaksa mangsa melakukan seks luar tabii dan mencabul mangsa di dalam teksi yang dipandunya ketika dalam perjalanan dari Jalan P. Ramlee ke Kondominium Kenanga Point di Jalan San Peng di sini.

Bagi kesalahan seks luar tabii, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hasbi memerintahkan hukuman penjara 12 tahun ke atas tertuduh bagi kesalahan itu sementara kesalahan mencabul di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Saravanan dihukum penjara lima tahun dan sebatan sekali.

Tertuduh turut didakwa merompak wang tunai RM500 dan telefon pintar Blackberry milik mangsa dengan bersenjatakan sebilah parang pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dihukum penjara tujuh tahun.

Kesemua hukuman diperintah berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Jun 2011.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh yang telah mencemarkan imej pemandu teksi kerana perbuatannya itu.

Kes culik RM2 juta: Rayuan dua lelaki ditolak

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

PUTRAJAYA 5 April - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 13 tahun ke atas dua lelaki yang menculik dua beranak bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.03 juta, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azahar Mohamed yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan Ng Kim Low, 40, dan Tan Kok Peng, 55.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan rayuan mereka untuk mengetepikan hukuman sebatan tiga kali yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan hukuman tersebut tidak teratur.

Kim Low yang merupakan pekerja am di sebuah pub dan Kok Peng, penghantar air minuman, bersama-sama mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan pilihan menculik kanak-kanak tersebut dan ibunya pada 2008 bagi mendapatkan wang tebusan RM2.03 juta.

Hakim Azahar ketika membacakan keputusan tersebut berpuas hati dengan fakta yang dikemukakan bahawa kedua-dua lelaki berkenaan menculik kedua-dua mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari tadika.

Menurut beliau, fakta turut menunjukkan mereka telah menggunakan kekerasan dengan mengacukan pistol kepada kedua-dua mangsa selain memeras ugut suami wanita itu sehingga lelaki berkenaan menyerahkan wang tebusan RM2.03 juta.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa hukuman penjara berjumlah 13 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi itu tidak terlalu berat berdasarkan kepada keterangan kes yang dikemukakan.

"Kamu bernasib baik kerana didakwa atas tuduhan pilihan sedangkan tuduhan asal adalah di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup,'' ujar Hakim Azahar.

Pada 11 Julai dua tahun lalu, kedua-duanya mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan pilihan selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor meminda tuduhan terhadap mereka daripada Akta Culik kepada Kanun Keseksaan.

Bagi tuduhan pertama, mereka didakwa menculik Yong Wei Jie, 11, di depan rumah No. 28, Jalan Bulat, Taman Abad, Johor Bahru dengan niat mengurung mangsa secara sulit dan salah kira-kira pukul 11.40 pagi, 6 Oktober 2008.

Kim Low dan Kok Peng juga menghadapi tuduhan kedua iaitu didakwa menculik ibu kanak-kanak itu, Lee Yoke Chan, 46, pada waktu dan tempat yang sama.

Mereka turut didakwa menerima wang tebusan berjumlah RM2.03 juta kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 7 Oktober 2008 di tepi pagar Kilometer 130, arah selatan di Lebuh Raya Utara Selatan.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan manakala tuduhan ketiga mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961, masing-masing dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, mereka dikenakan hukuman penjara tiga tahun setiap tuduhan manakala tuduhan ketiga, mereka dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan. Hukuman diperintah berjalan secara berasingan.

Kedua-dua perayu diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved