Khamis, 19 Disember 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


181 premis diarah tutup

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

Oleh FAJAR NUR SURIA
Pengarang@utusan.com.my

Ku Nafishah Ku Ariffin menunjukkan risalah tentang Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dalam sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.

PULAU PINANG 18 Dis. - Sebanyak 181 premis makanan diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sepanjang operasi dijalankan pada Januari hingga Disember tahun ini kerana kotor.

Timbalan Pengarah Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 513 premis makanan diperiksa pihaknya termasuk restoran makanan laut, makanan segera, hotel, kilang memproses makanan dan kawasan medan selera.

Menurutnya, kebanyakan kes yang diambil tindakan melibatkan kesalahan kali pertama dan sepanjang operasi didapati kesedaran pengusaha premis untuk mematuhi peraturan kebersihan menunjukkan peningkatan.

"Sebanyak 181 daripada 513 premis makanan telah diambil tindakan sepanjang operasi bulanan yang diadakan pada tahun ini.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah serangga dan tikus di kawasan dapur, lantai rosak, makanan disimpan di dalam peti ais rosak, papan pemotong kayu dan banyak lagi," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, pemilik harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi dan dibenarkan berniaga semula.

"Dalam operasi itu pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan 65 kompaun berjumlah RM10,650 kepada peniaga atas pelbagai kesalahan termasuk berniaga tanpa lesen dan membuang sisa makanan ke dalam longkang.

"Orang ramai boleh membuat aduan mengenai premis makanan kotor dengan menghubungi jabatan di talian 04-2017277," ujarnya.

Dalam pada itu, Ku Nafishah memaklumkan pendaftaran premis makanan akan dibuka di ruang legar Tingkat 3, Kompleks Tun Abdul Razak di sini bermula 24 Disember hingga 23 Januari 2014 (kecuali Sabtu dan Ahad) bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Hanya 11 syarikat PKS di Perak miliki sijil Malaysia Brand

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

Mohd. Nizar Zakaria (kiri) dan Mohamad Rozlan Mohamad Razalli melihat teknik pembungkusan produk sempena Bengkel Pembungkusan dan Penjenamaan Peringkat Perak di Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 18 Dis. - Hanya 11 daripada 6,028 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini mendapat pensijilan Malaysian Brand iaitu pengiktirafan jenama daripada pengguna.

Pengarah SME Corp. Malaysia Negeri Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, syarikat yang berjaya memperoleh pensijilan berkenaan akan diberikan hak untuk mengguna pakai logo Malaysian Brand selama dua tahun selain diberi insentif khas dan dibantu untuk urusan promosi terutamanya di luar negara.

''Pensijilan ini dibuat dengan hasrat untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa produk PKS mempunyai kualiti yang rendah, tidak boleh dipercayai dan tidak menarik dari segi pembungkusan berbanding jenama terkenal. Oleh sebab itu prosedur ketat kita laksanakan.

''Meskipun sehingga kini ia kurang mendapat sambutan, tapi kita harap syarikat-syarikat PKS sedar kepentingan pengiktirafan berkenaan, justeru, tahun depan kita sasarkan sebanyak 15 syarikat mendapat pensijilan Malaysian Brand di negeri ini manakala 300 syarikat di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Bengkel Pembungkusan dan Penjenamaan Peringkat Perak Tengah serta Seminar Pensijilan Halal yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria di Seri Iskandar dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nizar menyeru usahawan PKS di negeri ini mengambil inisiatif untuk memajukan jenama produk atau perkhidmatan masing-masing supaya mampu bersaing dengan produk jenama lain di pasaran global.

''Bilangan PKS berdaftar di Perak sahaja ketika ini berjumlah 60,028 atau 9.3 peratus dan jumlah itu merupakan keempat tertinggi selepas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor," katanya.

5,336 pesawah bakal terima pinjaman tanpa faedah

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

BUTTERWORTH 18 Dis. - Seramai 5,336 pesawah di negeri ini bakal mendapat manfaat menerusi skim pinjaman tanpa faedah yang akan diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pegawai Khas Kanan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohd. Zaidi Mohd. Said (gambar) berkata, program berkenaan akan bermula pada tahun hadapan melibatkan pesawah di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya.

"Pengenalan skim pinjaman ini juga dijangka dapat membasmi kegiatan orang tengah yang selama ini sering membelenggu petani.

"Sebelum ini, ramai pesawah terpaksa membuat pinjaman dengan pelbagai pihak termasuk ah long serta berhutang dengan kedai tertentu untuk membeli baja dan racun.

"Oleh itu, apabila mereka menuai hasil tanaman, pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi kerana terpaksa melangsaikan hutang selain membayar bunga (faedah)," katanya selepas menghadiri majlis Penyerahan Insentif dan Taklimat Projek Estet Padi Pengurusan Secara Berpusat, di sini hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, pengenalan skim pinjaman tanpa faedah itu akan diberi melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional.

Jelasnya, pesawah yang melakukan pinjaman menerusi skim berkenaan akan diminta membuat bayaran selepas musim menuai padi supaya mereka tidak berasa terbeban.

"Segala maklumat lanjut mengenai perkara ini akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved