Khamis, 19 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kes denggi di NS meningkat

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 18 Dis. - Orang ramai diminta berwaspada dan mengambil langkah pencegahan menghapuskan sarang pembiakan nyamuk aedes berikutan peningkatan kes demam denggi di seluruh negeri sepanjang tempoh bulan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, statistik kes demam denggi sememangnya menunjukkan peningkatan di negeri ini yang sudah menjadi trend setiap tahun terutamanya ketika musim hujan.

''Oleh itu saya minta orang ramai dapat bekerjasama untuk mencegah penyakit itu daripada merebak dengan menghapuskan semua tempat pembiakan nyamuk aedes di semua premis termasuk di kediaman mahupun pejabat ataupun kilang.

''Setiap tahun jumlah kes demam denggi akan melonjak di negeri ini ketika musim hujan dan ini boleh dilihat menerusi statistik di lokasi meningkat dua kali ganda sebagai contoh 15 kes menjadi 30 kes," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.

Jelasnya, selain menjaga kebersihan kawasan masing-masing, pihak jabatan kesihatan juga telah diarah untuk mengambil pelbagai tindakan pencegahan termasuk penguatkuasaan di negeri ini bagi membendung masalah terbabit.

''Kita minta kawasan yang dikenal pasti, dijalankan aktiviti pembersihan gotong-royong selain menjalankan semburan asap bagi menghapuskan sarang pembiakan nyamuk aedes.

''Di samping itu, kita juga telah mengarahkan jabatan kesihatan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu mahupun organisasi yang masih ingkar dengan pematuhan sehingga membiarkan kawasan mereka menjadi lokasi pembiakan nyamuk berkenaan," ujarnya.

Tambahnya, saman atau kompaun akan dikenakan terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan terbabit.

Asingkan sampah bantu kurang beban pusat pelupusan

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

Ismail Othman (tengah) memperkatakan sesuatu semasa melawat proses pembersihan air kumbahan di tapak pelupusan sampah Krubong, Melaka, kelmarin.

MELAKA 18 Dis. - Orang ramai diseru mengasingkan bahan buangan dalam usaha mengurangkan beban pusat pelupusan di Krubong yang kini menerima sehingga 1,500 tan sampah sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, proses pengasingan sampah domestik dan sampah boleh kitar semula sangat penting bagi memastikan jumlah sampah yang dihasilkan tidak melebihi 900 tan sehari.

Menurutnya, beban sampah berlebihan diterima kelak turut akan menjadikan pusat pelupusan itu penuh lebih awal daripada dijangka.

"Peranan masyarakat mengasingkan sampah ini dapat membantu kerajaan negeri mengurangkan kos sementara menunggu pusat pelupusan sampah baharu di Sungai Udang mula beroperasi pada September tahun hadapan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sampah Krubong di sini semalam.

Turut hadir Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Datuk Ab. Rahim Md. Noor dan Pengarah PPSPPA negeri, Zainuddin Abdul Samad.

Jelas Ismail, kebanyakan sampah buangan yang bercampur itu menjadikan kelembapan sampah lebih tinggi dan menyukarkan kerja membakar.

"Jika orang ramai dapat mengasingkan sampah kering dan basah yang dihasilkan mereka, maka usaha ini akan mempercepatkan lagi proses pembakaran sampah seterusnya mengurangkan beban dihasilkan," ujar beliau.

Sementara itu katanya, lawatan pihaknya bersama PPSPPA negeri bertujuan meninjau keberkesanan proses penyulingan air kumbahan dihasilkan di pusat pelupusan berkenaan.

"Kami ingin memastikan pelan pemulihan bagi memproses air ini berjalan dengan baik dan mampu menghasilkan air dengan kualiti kelas dua sebelum ia disalurkan ke sungai berhampiran untuk mengelakkan pencemaran.

"Namun begitu, hasil air yang telah diproses ini masih belum disalurkan ke sungai dan ia di kitar semula bagi kegunaan dalam tapak pelupusan sampah ini seperti mencuci tayar dan sebagainya," jelas beliau.

Tapak lupus sampah Tanah Merah operasi 2015

Posted: 18 Dec 2013 11:29 AM PST

SEREMBAN 18 Dis. - Sebuah pusat pembakaran bagi melupuskan sisa pepejal bakal diwujudkan di Tanah Merah, Port Dickson dekat sini yang dijangka beroperasi pada 2015.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad hasan berkata, pusat tersebut akan dikendalikan oleh Cypark Resources Berhad di sebuah kawasan tapak seluas 40 hektar yang bakal menampung pelupusan sampah dari daerah ini, Port Dickson dan Rembau.

''Kita memerlukan kemudahan ini kerana tapak pelupusan sampah sedia ada yang berkonsepkan 'Landfill' tidak boleh lagi menampung kapasiti sampah selain mendatangkan kesan kepada persekitaran dan juga membahayakan kesihatan.

''Sistem pelupusan berteknologi tinggi menggunakan tekonologi pembakaran di Tanah Merah itu turut berupaya menjana penghasilan tenaga biogas yang juga dapat memberikan aliran tenaga diperbaharui bagi kegunaan kawasan sekitar," katanya ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (DAP-Bukit Kepayang) di sini hari ini.

Jelas Mohamad, kaedah sebelum ini sudah tidak lagi sesuai kerana memberi banyak masalah berbanding teknologi moden itu lebih selamat dan efisien serta sudah digunakan di kebanyakan negara maju.

''Atas faktor itu itu 80 peratus daripada tapak pelupusan sampah lama itu sudah ditutup antaranya di Bukit Palong, Sua Betong, Pajam dan Kuala Sawah.

''Pusat pembakaran menggunakan teknologi moden itu turut mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain berupaya menghasilkan tenaga elektrik kira-kira 40,000 watt daripada proses pelupusan sampah," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut mewartakan tapak pelupusan sampah yang ditutup dengan tidak dibenarkan sebarang projek pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan.

''Ini kerana gas methana dari bawah tanah di tapak pelupusan sampah kaedah timbus boleh membahayakan orang ramai.

''Kita dapati kesemua tapak pelupusan sampah yang ditutup sebelum ini berisiko tinggi serta bahaya, malah tiada pembangunan dapat dilakukan dalam tempoh 25 tahun akan datang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved