Khamis, 19 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


9 projek bekalan air di Lipis

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Abdul Rahman Mohamad (duduk) membasuh tangan sambil disaksikan Rahimi Hasan sebagai gimik pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar di Kampung Matuk, Kuala Lipis, kelmarin. - Utusan/Haris Fadilah Ahmad

KUALA LIPIS 19 Dis. - Kerajaan memperuntukkan RM360,000 untuk melaksanakan sembilan projek bekalan air luar bandar menerusi Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Tiga bagi daerah Lipis, tahun ini.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, tujuh projek berkenaan dilaksanakan di pos penempatan Orang Asli yang melibatkan pembinaan empangan kecil di punca air, pemasangan paip dan kerja pengurusan lain.

Beliau berkata, projek berkenaan diselenggarakan oleh Jabatan Kesihatan Lipis yang dilaksanakan secara gotong-royong oleh anggota tentera dari 11 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanise), Kem Batu 3 Temerloh dan penduduk.

"Projek ini membuktikan kerajaan menggunakan pelbagai pendekatan untuk melaksanakan transformasi pembangunan berasaskan bidang kesihatan, sosial dan ekonomi, malahan tidak pernah sesekali menyisihkan penduduk di pedalaman termasuk Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Bekalan Air Luar Bandar menerusi Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Tiga di Kampung Matuk, dekat sini semalam.

Yang hadir sama, Pegawai Kesihatan Lipis, Dr. Rahimi Hasan; Ketua Kampung Jeram Bungor, Mohamad Ramli dan Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Lipis, Amir Marwan Abu Kassim.

Menurut Abdul Rahman, agenda pembangunan kawasan luar bandar terus diberi keutamaan oleh kerajaan Barisan Nasional walaupun negara turut menerima tempias dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu pada masa ini.

Sehubungan itu, katanya, projek yang menjurus kepada meningkatkan kemudahan dalam sektor pertanian, pendidikan, keusahawanan di samping membangunkan taraf kesihatan penduduk termasuk di pedalaman akan terus dilaksanakan.

"Misalnya, projek bekalan air ini yang dapat memberi keselesaan kepada penduduk sekali gus menjamin taraf kesihatan yang sempurna," ujarnya.

Sementara itu, Dr. Rahimi berkata, kemudahan bekalan air bersih di Kampung Matuk bernilai RM30,000 untuk membina empangan kecil di punca air dan memasang paip sejauh empat kilometer ke kediaman antara projek yang kesembilan dilaksanakan di Lipis tahun ini.

"Projek bekalan air di kampung ini merupakan penyelenggaraan kali kedua bagi menggantikan paip lama dan menaik taraf kemudahan ini ke setiap 15 buah rumah yang boleh memberi manfaat sebanyak 300 orang penduduk kawasan ini," katanya.

Rahimi mengingatkan penduduk di situ supaya memasak air terlebih dahulu untuk keperluan minuman dan masakan bagi menghindarkan daripada komplikasi akibat jangkitan kuman.

Lanchang akan dibangunkan - Sharkar

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

Pekan Lanchang antara pekan tertua di Pahang ketinggalan dalam pembangunan walaupun berada di lokasi utama Jalan Kuantan-Kuala Lumpur memerlukan pembangunan moden dan lebih tersusun.

TEMERLOH 19 Dis. - Kerajaan negeri akan membangunkan pekan lama Lanchang di sini dengan bangunan komersial yang lebih moden dan tersusun, sejajar dengan kepesatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, sebenarnya kerajaan mempunyai perancangan untuk berbuat demikian sejak 15 tahun lalu, namun berdepan kekangan apabila penduduk terlibat enggan berpindah.

Katanya, ini menyebabkan pelaksanaannya tidak dapat dilakukan sekali gus landskap di pekan itu yang terdiri daripada bangunan kayu kekal dalam keadaan asal.

''Kini sudah sampai masa pekan Lanchang yang terletak di laluan utama Kuantan-Kuala Lumpur dibangunkan supaya pekan pahlawan Semantan itu tidak terus ketinggalan dengan bandar lain di negeri ini.

''Sedangkan kawasan Lanchang kini semakin dikenali kerana di sini banyak produk pertanian dan pelancongan seperti Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah selain turut terdapat Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan banyak lagi tetapi kawasan sekitar pekan Lanchang masih tidak berubah," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd. Sharkar mengalu-alukan cadangan penduduk tempatan yang mahukan Lanchang berwajah baru memandangkan pekan lain seperti Triang dan Kerayong di Bera serta Karak di Bentong sudah jauh berubah.

Bagaimanapun, Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, kawasan yang dirancang pembangunan di pekan Lanchang itu sebahagiannya adalah tanah hak milik dan sebahagian lagi adalah tanah yang diduduki atas lesen pendudukan sementara (TOL).

Menurutnya, kerajaan juga mempunyai rancangan untuk melebarkan jalan di kawasan itu memandangkan kawasan sekitarnya pesat membangun khususnya dari segi sektor pelancongan.

Beliau berkata, bagi melaksanakannya, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu mengeluarkan notis kepada penduduk di kawasan itu untuk mengosongkan bangunan tersebut bagi membangunkannya.

Katanya, notis itu perlulah dalam tempoh yang bersesuaian supaya pemilik tanah yang tinggal di situ mempunyai masa untuk mencari penempatan baru.

''Saya merayu kepada penduduk di situ supaya bekerjasama untuk membangunkan Lanchang, saya sendiri menerima tekanan daripada masyarakat dan tekanan daripada agensi dan jabatan kerajaan yang mahu Lanchang dibangunkan," katanya.

Anak penjual ikan dapat 8A PMR

Posted: 19 Dec 2013 11:25 AM PST

Mohd. Aiman Ajwad Mohd. Anuar menunjukkan slip peperiksaan PMR dengan keputusan 8A di SMK Bukit Rangin, Kuantan, semalam.

KUANTAN 19 Dis. - Menjalani kehidupan serba kekurangan tidak menghalang seorang anak peniaga ikan di sini untuk mendapat keputusan cemerlang pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Walaupun ada kalanya masa terluang digunakan untuk membantu bapanya menjual ikan di pasar, namun Mohd. Aiman Ajwad Mohd. Anuar, 15, tetap bijak mencuri ruang untuk mengulang kaji pelajaran dan hasilnya, dia memperoleh 8A.

Mohd. Aiman Ajwad berkata, pendapatan bapanya yang tidak seberapa sebagai peniaga ikan telah membakar semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.

"Meskipun ibu tidak bekerja demi menjaga adik-adik, saya tidak menganggap kehidupan kami susah kerana reda dengan rezeki yang diperoleh keluarga," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini hari ini.

SMK Bukit Rangin Kuantan berjaya muncul sebagai sekolah harian terbaik daripada 147 sekolah harian di seluruh negeri ini dengan mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.91.

Mohd. Aiman Ajwad yang mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil itu berkata, rumahnya di Permatang Badak di sini turut terjejas banjir ketika bencana itu melanda sebelum ini dan banyak peralat sekolah miliknya musnah.

''Ada yang boleh dibaiki dan dicuci yang akan dipakai semula untuk sesi persekolahan tahun 2014," ujarnya.

Sementara itu, seorang pelajar cemerlang SMK Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Emir Addney Zaidi, 15, berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan 9A walaupun ketika percubaan hanya mendapat 2A.

"Masa dapat keputusan percubaan itu saya tidak kecewa sebaliknya terus berusaha dan akhirnya saya dapat keputusan yang cemerlang pada hari ini," katanya.

Menurutnya, dia ingin mengikut jejak abangnya sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan awam.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved