Khamis, 19 Disember 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Keganasan jantina rentas sempadan

Posted: 18 Dec 2013 09:56 PM PST

Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak, isu yang tiada batas sempadan negara, bangsa, agama mahupun warna kulit. Hampir semua bangsa atau negara berdepan dengan kemelut ini yang umpama tiada titik noktah biarpun pelbagai usaha dilakukan bagi memartabatkan golongan tersebut.

Negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) juga tidak terlepas daripada belenggu ini, sehingga negara itu menjadikan tarikh 25 November sebagai sambutan Hari Penghapusan Keganasan Antarabangsa yang didedikasikan sebagai langkah menentang keganasan berteras jantina.

Sambutan itu sebagai mengesahkan komitmen AS untuk mencegah dan bertindak balas kepada keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak di peringkat global.

Tahun ini Keganasan Pasangan Intim dipilih sebagai tema sambutan kerana merasakan ia bentuk keganasan paling lazim yang dialami oleh wanita di seluruh dunia.

Duta Khas AS bagi Hal Ehwal Wanita Global, Catherine M. Russel, berkata, keganasan berteras jantina ini merentasi garisan etnik, kaum, sosio-ekonomi, dan agama, serta tidak mengenal sempadan.

Katanya, di peringkat global, 35 peratus daripada wanita telah dirogol atau didera secara fizikal, Jika keganasan ini berlaku di rumah, 80 peratus daripadanya dilakukan oleh suami atau pasangan.

Beliau berkata, sebahagian besar femisid iaitu pembunuhan sengaja ke atas wanita kerana jantina mereka, berlaku dalam kalangan wanita yang mempunyai hubungan rapat, dan dilakukan oleh pasangan atau bekas pasangan mereka.

"Keganasan oleh pasangan intim telah dikaitkan dengan pelbagai kesan kesihatan serta-merta dan jangka panjang, termasuk kecederaan fizikal, gangguan ginekologi, kehamilan yang tidak diingini, keguguran, penyakit kelamin, kemurungan, dan tingkah laku membunuh diri.

"Kira-kiara 42 peratus daripada wanita yang telah mengalami keganasan pasangan intim melaporkan mereka dicederakan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut Russel, analisis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun ini mendapati bahawa wanita yang telah didera secara fizikal atau seksual adalah 1.5 kali lebih berkemungkinan mendapat jangkitan penyakit kelamin berbanding wanita yang tidak mengalami keganasan pasangan.

Kajian juga menunjukkan bahawa risiko HIV dalam kalangan wanita yang mengalami keganasan mungkin sehingga tiga kali lebih tinggi daripada kalangan mereka yang tidak pernah mengalaminya.

Keganasan juga menjejaskan kesihatan fizikal dan mental secara serius bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk kebanyakannya terhadap kesihatan reproduktif mereka.

"Angka-angka ini patut merisaukan kita semua. Sama ada ia berlaku di kawasan kejiranan kita sendiri, atau di negara asing. Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan memudaratkan kita semua tidak kira lelaki atau perempuan.

"Pada asasnya keganasan merupakan satu manifestasi terhadap status rendah yang diberikan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.

"Mengakhiri keganasan memerlukan kita mengangkat status wanita dan kanak-kanak perempuan dan membebaskan mereka untuk mencapai potensi menjadi ejen perubahan dalam komuniti mereka," katanya.

Menurut Russel lagi, mencegah dan menghukum mereka yang melakukan keganasan terhadap wanita akan memberi faedah jangka masa panjang dan masyarakat dunia tidak boleh terus membiarkan keganasan ini berterusan.

Beliau berpendapat, dengan membiarkan isu ini tanpa ditangani sewajarnya hanya akan membuatkan sesebuah negara itu kehilangan sumber pendapatan dan produktiviti, perniagaan kehilangan pekerja dan keluarga kehilangan pencari nafkah utama.

Malah, berdasarkan pengalaman negaranya, Akta Keganasan Terhadap Wanita AS, yang mengukuhkan langkah untuk menyiasat dan mendakwa jenayah tersebut, dianggarkan telah menjimatkan lebih RM52.8 bilion (AS$16 bilion) sejak diluluskan pada tahun 1994.

"Masyarakat antarabangsa, kerajaan, organisasi pelbagai hala, syarikat sektor swasta, dan pejuang peringkat akar umbi perlu berganding bahu menangani dan mencegah keganasan ini daripada berlaku.

"Kita perlu meningkatkan sokongan dan interaksi antara pembuat dasar dan mereka yang bekerja di lapangan. Kita juga perlu menguatkuasakan undang-undang untuk menghukum perbuatan jenayah ini.

" Bagi saya, undang-undang ini perlu dikuatkuasakan kerana sikap sambil lewa seringkali membantu menggalakkan keganasan.

"Selain itu, kita juga perlu menggalakkan kanak-kanak perempuan bersuara untuk diri mereka sendiri, dan mendidik kanak-kanak lelaki bersuara untuk adik perempuan dan kakak mereka.

"Kita perlu menyokong penglibatan lelaki dewasa, kanak-kanak, dan golongan penting dalam masyarakat, seperti pemimpin agama, dalam menangani dan mencegah keganasan serta mengubah norma dan sikap terhadap jantina," kata Russel.

Dalam pada itu kata Russel, AS turut berkongsi kepakaran dan pengalamannya dalam menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini dengan negara-negara lain di dunia.

Ini termasuk membawa pakar bidang keganasan jantina ke Malaysia untuk bertemu dengan polis, badan kehakiman dan masyarakat awam untuk membincangkan amalan terbaik bagi menangani keganasan rumah tangga.

"Pemerkasaan wanita sangat penting untuk membina masyarakat demokrasi yang stabil, bertanggungjawab memajukan keamanan dan keselamatan.

"Apabila wanita dan kanak-kanak perempuan hidup bebas daripada keganasan dan mempunyai peluang yang sama dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan dan penyertaan politik, mereka sebenarnya meningkatkan taraf keluarga mereka, komuniti dan negara," katanya.

Evolusi 67 tahun JKM

Posted: 18 Dec 2013 09:56 PM PST

Berpandukan kepada lima teras utama dalam penyampaian perkhidmatan iaitu pencegahan, perlindungan, pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian, bidang tugas dan peranan JKM amat luas skopnya kepada kumpulan sasar seperti kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, mangsa bencana, keluarga, orang papa dan pertubuhan sukarela kebajikan.

Exit policy, perkasa program kebajikan produktif

Menurut Norani, pelanggan JKM terbahagi kepada dua kategori iaitu yang tidak produktif seperti warga emas dan OKU yang tidak berupaya bekerja dan yang produktif iaitu mereka yang masih sihat dan berkeupayaan untuk menjana pendapatan sendiri.

Oleh itu, bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kewangan kerajaan, maka pada tahun hadapan, JKM akan melaksanakan exit policy kepada yang masih produktif.

Mereka akan dibantu menjana pendapatan sendiri dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan melalui program kebajikan produktif (productive welfare). Bagi tujuan ini, JKM menyediakan bantuan geran pelancaran sebagai modal permulaan untuk menjalankan perniagaan sebanyak RM2,700 serta menyediakan latihan sewajarnya.

JKM bukanlah satu-satunya agensi yang memberikan bantuan kewangan seperti itu kerana terdapat pelbagai lagi agensi kerajaan yang menyediakan dana dan bantuan kewangan kepada usahawan kecil.

Malah, pelanggan JKM juga boleh mendapatkan barangan untuk memulakan perniagaan melalui program 1AZAM.

Namun ini bukan bermakna JKM akan menghentikan bantuan kewangan bulanan mereka serta merta. Ia akan tetap diteruskan sehingga mereka berjaya memperoleh pendapatan tetap dan telah melebihi daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) semasa yang ditetapkan.

"Apa yang JKM mahu perjelaskan di sini ialah kami mahukan masyarakat agar tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan JKM semata-mata. Inilah masanya untuk mengubah sikap dan corak pemikiran mereka agar seiring dengan kepesatan pembangunan negara yang bakal menjadi negara maju tidak lama lagi," jelas Norani.

Sukarelawan Kebajikan Dimobilisasi

Tugas sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat sudah semestinya memerlukan JKM sentiasa turun padang bertemu dengan rakyat miskin dan berkeperluan supaya mereka tidak tercicir daripada menikmati bantuan-bantuan kerajaan.

Walau bagaimanapun, dengan jumlah kakitangan yang ada sekarang sudah pastinya menyukarkan JKM untuk memastikan khidmatnya sampai kepada keseluruhan masyarakat.

Oleh itu, JKM bekerjasama dengan sukarelawan kebajikan yang berdaftar dengannya untuk turut sama membantu kumpulan sasar selain meningkatkan semangat kesukarelaan dan ambil berat antara satu sama lain dalam komuniti di tempat mereka menetap.

"Kita tidak mahu menjadi negara maju yang rakyatnya semakin bersikap individualistik. Kita mahu semakin maju sesuatu negara semakin berkualiti rakyatnya. Paling kita takutkan rakyat negara ini hilang nilai-nilai murni dan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kebajikan orang lain.

"Ini antara usaha JKM untuk melahirkan sukarelawan yang ikhlas dari hati nurani masing-masing," ujar beliau.

Pendekatan yang yang digunakan JKM demi memastikan nilai murni dan semangat kesukarelaan kekal dalam kalangan masyarakat ialah melaksanakan program Khidmat Bantu Di Rumah (Home Help), iaitu sukarelawan kebajikan membantu kumpulan sasar jabatan khususnya warga emas yang tinggal sebatang kara dan juga OKU.

Dalam program ini, sukarelawan akan memberi khidmat di rumah-rumah pelanggan yang dikenalpasti dua kali seminggu.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah membantu membersihkan rumah, memandikan, memasak, berbual dan menemani mereka bersiar-siar.

Salah satu objektif program Home Help ini ialah memastikan warga emas dapat hidup dalam persekitaran kediaman sendiri tanpa perlu menghabiskan sisa usia di rumah orang tua serta meringankan beban keluarga menguruskan anak-anak OKU.

Wellmart pasarkan produk institusi

Sebutannya ialah wellmart yang boleh membawa dua maksud pasar kebajikan atau pasar sihat.

Kata Norani, beliau merancang menubuhkan sebuah kedai bagi memasarkan produk-produk kraftangan yang dihasilkan oleh warga emas dan OKU yang tinggal di institusi JKM.

Sehingga kini JKM mempunyai sebanyak 65 institusi yang untuk kanak-kanak, OKU dan warga emas. Pelbagai jenis kraftangan dihasilkan oleh para penghuni dan yang sangat berkualiti dan sesuai untuk dipasarkan.

"Projek Wellmart ini kami akan mulakan pada tahun hadapan. Ia akan menjadi lokasi untuk memasarkan kraftangan yang dihasilkan oleh OKU dan warga emas. Sudah tentu pulangannya akan mereka terima dan bagi kami di JKM pula akan memastikan Wellmart bukan sekadar menjual barangan untuk mendapat simpati pembeli daripada mereka yang kurang bernasib baik, tapi membeli kerana kualiti produk yang dijual," jelasnya.

Kanak-kanak dibela

Sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab terhadap isu yang melibatkan kanak-kanak, sudah pastinya JKM amat peka akan keperluan sokongan emosi kepada mereka khususnya kepada kanak-kanak yang terlibat dengan konflik undang-undang.

Oleh itu, JKM dalam usaha melaksanakan sistem keadilan juvenil (juvenile justice system) melalui Program Alihan (Diversion Programme) supaya dapat mengalihkan kanak-kanak yang terlibat dengan konflik undang-undang daripada menghadapi prosiding sistem perundangan yang membawa impak negatif kepada psikologi kanak-kanak khususnya stigma masyarakat terhadap mereka.

"Satu keunikan dalam Program Alihan ini ialah memberi hak kepada kanak-kanak yang terlibat dengan konflik undang-undang membuat pilihan sama ada untuk mengikut program ini atau melalui sistem perundangan sedia ada.

"Program ini juga tepat pada masanya dengan keperluan dan hak kanak-kanak seperti termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) ," kata Norani.

Satu lagi projek yang sedang dilaksanakan oleh JKM bagi memastikan hak kanak-kanak terbela adalah melalui Projek Perintis Perlindungan Kanak-Kanak.

Projek ini adalah usahasama JKM dan UNICEF yang dibantu oleh pakar perunding dari Australia.

Projek perintis ini bertujuan melatih Pegawai Pelindung JKM untuk mengendalikan kes penderaan kanak-kanak secara sistematik dan profesional selaras dengan prosedur antarabangsa yang digunapakai.

Projek perintis ini dijalankan di dua buah lokasi iaitu Petaling Jaya untuk kawasan bandar manakala Kuala Langat pula untuk kawasan pinggir bandar.

"Projek ini akan dilaksanakan selama dua tahun hingga 2015 untuk melihat keberkesanannya sebelum diperluaskan ke seluruh negara," jelas beliau.

Aksesibiliti kepada OKU

Fokus JKM dalam pembangunan dan mengintegrasikan OKU ke dalam masyarakat adalah dengan memperjuangkan aksesibiliti dan juga pekerjaan kepada OKU. JKM akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain yang perlu menyediakan aksesibiliti ini.

Melalui Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU), pelbagai isu mengenai OKU dibincangkan. Majlis itu adalah platform tertinggi yang boleh digunakan untuk memperjuangkan hak dan kesaksamaan OKU untuk diangkat kepada pembuat keputusan dalam kerajaan.

"JKM akan sentiasa berusaha melalui MKBOKU untuk mengenegahkan isu-isu OKU ini agar mendapat perhatian khusus kepada semua pihak. Antara perkara yang menjadi rungutan daripada OKU adalah pemberian peluang pekerjaan kepada mereka, pengangkutan, reka bentuk bangunan serta informasi yang mesra OKU yang masih kurang diberi perhatian oleh penyedia perkhidmatan," katanya.

Perkhidmatan Respite Care

Atas permintaan ramai, JKM bakal memperkenalkan perkhidmatan Respite Care di Rumah Seri Kenangan Cheras. Program ini menawarkan perkhidmatan jagaan secara harian untuk warga emas yang mana pada waktu-waktu tertentu tidak dapat diberi perhatian oleh anak-anak mungkin atas urusan tugasan luar daerah atau pun urusan lain.

"Program ini dilihat dapat memudahkan ahli keluarga yang mungkin ingin bercuti tanpa perlu bimbang untuk meninggalkan ibu bapa yang uzur tanpa penjagaan yang sempurna. Mereka boleh mendapatkan perkhidmatan Respite Care ini dan ia adalah perkhidmatan yang berbayar. Ibu bapa yang dihantar akan dijaga dengan baik oleh petugas terlatih sepanjang di Respite Care. Malah melalui program ini juga dapat membantu JKM untuk menjana pendapatan," ujar beliau.

Manfaatkan ICT dalam perkhidmatan

Sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) JKM telah mewujudkan pelbagai sistem atas talian bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan antaranya perlaksanaan sistem e-JKM yang menguruskan semua perkhidmatan JKM secara atas talian.

Manakala sistem e-Bantuan pula menguruskan semua perkara berkaitan bantuan dan penerima bantuan jabatan. Sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab mengumpul data-data OKU di Malaysia, JKM mewujudkan Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU) bagi memudahkan OKU mengakses dan seterusnya berdaftar dengan JKM.

Sekiranya terdapat orang awam atau syarikat swasta yang mahu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan JKM, mereka juga boleh mendapatkan maklumat menerusi sistem My corporatecare.

Untuk pengurus dan pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) pula, mereka boleh menggunakan sistem ezi2care bagi mendapatkan informasi mengenai penubuhan Taska, cara pendaftaran dan mendaftar bagi mengikuti kursus pengasuhan kanak-kanak. Aplikasi MyResearch pula memberikan kemudahan kepada para pelajar atau mana-mana pihak untuk membuat kajian di institusi JKM.

Wujud akta ke arah profesionalisme

"Insya-Allah tahun depan JKM akan mewujudkan Akta Pekerja Sosial dan apabila lulus kelak, semua Pekerja Sosial perlu berdaftar sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kaunselor. Ini bagi memastikan mereka yang ingin melaksanakan kerja-kerja kebajikan ini adalah dalam kalangan orang yang profesional. Tujuan mewujudkan akta ini adalah untuk memastikan perkhidmatan sosial dan kebajikan tidak dilaksanakan oleh sebarangan orang tetapi mereka yang benar-benar profesional dalam bidang ini.

"Selain itu, saya akan perkenalkan semula Akta Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Diperbadankan 1948. Akta ini membolehkan JKM untuk menjana pendapatan bagi mendapatkan modal. Oleh itu, saya akan meneliti semula akta ini untuk melihat bagaimana JKM boleh mengumpul dana sekaligus menjana pendapatan untuk kegunaan jabatan," jelas beliau.

Kerjasama dengan syarikat korporat

JKM sentiasa menyemarakkan lagi segala usaha kebajikan di negara ini dan kini sudah sampai masanya untuk sektor korporat dan swasta turut melibatkan diri dalam membantu masyarakat yang kurang bernasib baik. JKM juga mahu pastikan dalam Malaysia menuju negara maju, kadar kemiskinan mesti dikurangkan.

Oleh itu, JKM akan meningkatkan jaringan dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat korporat dan swasta untuk bersama-sama berganding bahu demi menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat kumpulan sasar jabatan.

Penambahan kakitangan tingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan

"Saya amat bersyukur dengan penstrukturan semula kakitangan yang dibuat, JPA telah memberi tambahan kakitangan kepada JKM," katanya.

Jumlah kakitangan JKM sedia ada adalah seramai 6,338 dan angka tersebut dijangka bertambah sehingga 9,034 menjelang 2015 bagi menampung beban tugas yang digalas oleh jabatan.

"Hasrat saya adalah menjenamakan semula JKM dengan menukar nama Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat agar lebih relevan dengan situasi semasa dan sejajar dengan perkhidmatan yang dilaksanakan," ujar Norani.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved