Rabu, 4 Disember 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Banteras fahaman pesong akidah

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Sebahagian daripada peserta Wacana Pemantapan Akidah mendengar dengan tekun pembentangan isu tentang bagaimana mendepani ancaman Kristianisasi, liberalisme dan Syiah di Auditorium Al Azim, Bukit Palah, Melaka, semalam.

MELAKA 3 Dis. - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan terus mempergiatkan program kesedaran kepada orang ramai terutamanya umat Islam di negeri ini tentang usaha penyebaran fahaman Kristian, liberalisme dan Syiah yang menular di seluruh negara.

Naib Pengerusinya, Datuk Yaakub Md. Amin berkata, usaha memberi kefahaman kepada orang ramai dilihat wajar walaupun aktiviti memesongkan akidah umat Islam itu dilihat tidak berlaku di negeri ini.

Menurutnya, walaupun masyarakat di negeri ini berasa selesa kerana tidak diganggu mana-mana pihak yang cuba menggugat akidah umat Islam, namun orang ramai perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

"Justeru, pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang bahaya penyebaran fahaman Kristian, liberalisme dan Syiah ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutupan Wacana Pemantapan Akidah: Mendepani Ancaman Kristianisasi, Liberalisme dan Syiah Peringkat Negeri 2013 di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Mohd. Zin Mansor dan Pengurus Besar (Operasi) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Kapten (B) Dr. Shamsuddin Munir.

Jelas Yaakub, MAIM bersama JAIM turut giat menjalankan operasi mematahkan cubaan penyebaran risalah dan iklan tentang usaha tersebut.

"Usaha dan pemantauan itu akan terus dilaksanakan bagi memastikan negeri ini bebas daripada aktiviti tidak sihat tersebut," ujarnya.

Sementara itu katanya, wacana berbentuk roadshow anjuran Yadim peringkat kebangsaan yang diadakan di seluruh negara itu dilihat amat baik kerana menyentuh tentang isu-isu semasa yang penting untuk difahami masyarakat.

"Wacana ini diharap dapat memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat Islam tentang isu-isu akidah masa kini terutamanya fahaman Syiah dan liberalisme yang semakin menyusup ke dalam masyarakat," jelas beliau.

Selain itu tambahnya, program ini diharap dapat dijadikan wadah pemikiran dan membentuk persefahaman orang Islam tanpa mengira ideologi dan fahaman politik.

"Wacana ini juga mampu mengukuhkan lagi akidah umat Islam dan seterusnya memelihara kesucian Islam daripada anasir-anasir luar," ujarnya lagi.

Ladang solar KMB terima bayaran pertama RM1.75j

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

IDRIS Haron (dua dari kanan) menerima cenderamata daripada Md. Yunos Husin selepas merasmikan Operasi KMB 5MW Ladang Solar di Melaka World Solar Valley, Rembia, Melaka, kelmarin.

ALOR GAJAH 3 Dis. - Projek ladang solar yang dibangunkan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) menerima bayaran pertamanya daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM1.75 juta hasil penyaluran tenaga elektrik kepada TNB sejak April lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, bekalan tenaga elektrik yang terhasil dari ladang solar itu dijual kepada TNB melalui Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) selama 21 tahun dengan kadar 90 sen kilowatt sejam.

Menurutnya, tenaga elektrik berkenaan disalurkan kepada TNB secara berperingkat bermula April lalu bagi fasa pertama, fasa kedua (Mei) dan fasa ketiga (Ogos).

"Projek yang dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri iaitu KMB ini telah menampakkan hasilnya tetapi yang lebih penting adalah projek ladang solar ini adalah perintis kepada pembangunan teknologi hijau di negeri ini.

"Adalah menjadi harapan saya agar projek ini dapat memenuhi objektif dasar teknologi hijau negara iaitu dapat mengurangkan kadar peningkatan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama dapat memacu pembangunan ekonomi," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Operasi KMB 5 megawatt Ladang Solar di Melaka World Solar Valley, di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Badaruddin Mahyuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md. Yunos Husin.

Idris berkata, kerajaan negeri bakal memperoleh pendapat kasar berjumlah RM118 juta hasil penjualan tenaga solar kepada TNB dalam tempoh 21 tahun dengan keuntungan bersih sehingga RM93 juta.

Katanya, ladang solar berkenaan kini boleh beroperasi sepenuhnya dengan penghasilan tenaga elektrik lima megawatt setelah mendapat lesen awam penjanaan tenaga boleh diperbaharui daripada Suruhanjaya Tenaga bagi ketiga-tiga fasa projek berkenaan.

Selain itu, katanya, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (Seda) juga telah mengeluarkan sijil kelulusan Pengesahan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Tarif Galakan (FITCD) yang menandakan ladang solar itu diberi kebenaran beroperasi sepenuhnya.

"Penerimaan sijil dan lesen ini daripada pihak Seda dan Suruhanjaya Tenaga ini menjadi lambang pengoperasian dan menandakan ladang solar lima megawatt ini boleh menjalankan operasinya secara keseluruhan," katanya.

Ladang solar berkeluasan 6.99 hektar itu dibangunkan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama yang mampu menjana tenaga elektrik sebanyak 1.3 megawatt, fasa kedua (1.22 megawatt) dan fasa ketiga (2.48 megawatt).

Tapak Warisan Dunia di Melaka bakal berwajah baharu

Posted: 03 Dec 2013 10:35 AM PST

Khalil Yaakob (dua dari kiri) berkata sesuatu kepada Zainal Abu (empat dari kiri) semasa melawat dan mendengar taklimat projek membaik pulih Tapak Warisan Dunia di Bandar Hilir, Melaka, semalam.

MELAKA 3 Dis. - Tiga kawasan utama di Bandar Hilir yang termasuk dalam Tapak Warisan Dunia dan menjadi tumpuan pelancong akan berwajah baharu tidak lama lagi.

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, menerusi peruntukan RM10 juta daripada Jabatan Warisan Negara, tiga kawasan iaitu Kampung Hulu, Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Padang Nyiru akan dinaik taraf menjadi lebih menarik berbanding sekarang.

Menurutnya, projek membaik pulih kawasan seluas 18 hektar tersebut yang bermula sejak Mei lalu dan dijadual siap November tahun depan akan memastikan reka bentuk asalnya dikekalkan sesuai dengan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2008.

"Kerja-kerja yang dijalankan selama lebih setahun lebih ini melibatkan kerja-kerja membaik pulih jalan raya dan longkang, membina landskap, memasang lampu jalan baharu, menaik taraf persiar jalan kaki, membaik pulih lorong belakang dan memasang papan tanda.

"Apabila siap nanti, ketiga-tiga kawasan tersebut akan menjadi mercu tanda baharu di bandar raya ini apabila seluruh bangunan terbabit akan dicat merah sebagai simbolik memberitahu pengunjung mereka berada di Tapak Warisan Dunia," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat mengenai kerja-kerja membaik pulih tiga kawasan Tapak Warisan Dunia di sini hari ini.

Taklimat tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Ismail Othman.

Terdahulu Mohd. Khalil membuat lawatan singkat dan meninjau kerja-kerja membaik pulih di kawasan terbabit.

Zainal berkata, sepatutnya kerja-kerja membaik pulih kawasan warisan tersebut sudah bermula pada 2010 tetapi hanya pada tahun ini peruntukan RM10 juta telah diluluskan.

Menurutnya, kerja-kerja tersebut yang dijalankan oleh Syarikat UT Generations Sdn. Bhd. setakat ini berjalan lancar dan dijadualkan siap sepenuhnya pada November tahun depan.

"Kerja-kerja baik pulih itu tidak melibatkan sebarang pembinaan bangunan baharu tetapi sebaliknya masih mengekalkan keadaan struktur bangunan asal dengan penambahbaikan seperti kerosakan pada bangunan terbabit," katanya.

Jelas beliau lagi, apabila siap nanti ketiga-tiga kawasan yang berada di Tapak Warisan Dunia itu akan berwajah baharu dan diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong ke situ.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved