Rabu, 4 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Penduduk jangan percaya khabar angin

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Perumahan Rancangan Rumah Murah (RRM) Batu Tiga Setengah di Kuantan, Pahang ditenggelemai banjir, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 4 Dis. - Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan khabar angin yang disebarkan melalui laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS), kononnya air dari Pintu Air Kobat di sini akan dilepaskan sehingga boleh menyebabkan banjir yang lebih buruk.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pintu air itu yang selama ini dianggap oleh orang ramai sebagai 'empangan' berfungsi menghalang air masin daripada masuk ke rumah pam Kobat.

"Pintu air itu sentiasa dibuka dan jika paras air sungai naik akan melimpah secara perlahan melepasi pintu tersebut.

"Macam mana boleh timbul dakwaan air empangan akan dilepaskan, ini semua tidak betul," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, apa yang pasti, banjir kali ini disebabkan hujan luar biasa yang berterusan dan kenaikan para air sukar dijangka di sesetengah kawasan.

Mengenai Terminal Sentral di Indera Mahkota yang lumpuh akibat ditenggelami air berikutan kejadian itu, beliau tidak menolak masalah tersebut disebabkan proses pembangunan di kawasan sekitar yang rancak berjalan.

"Adakalanya proses dan kerja-kerja pembinaan dijalankan pemaju tidak mengambil kira faktor sekeliling yang boleh mengundang masalah di kawasan lain.

"Kita akan minta pihak berkaitan mengkaji punca Terminal Sentral boleh ditenggelami air sama ada berlaku kelemahan dalam pelan binaan atau faktor luaran yang tidak dijangka," katanya.

5 laluan di Jerantut ditutup

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

Penduduk menggunakan perkhidmatan bot tambang untuk membawa motosikal apabila laluan Jerantut-Padang Piol di Kanmpung Paya Garuk ditutup kepada semua jenis kenderaan ekoran banjir di Jerantut, semalam. - UTUSAN/M. RIZAL

JERANTUT 4 Dis. - Sebanyak lima buah laluan di sekitar daerah ini ditutup kepada semua lalu lintas ekoran banjir yang melanda sejak semalam.

Laluan yang terlibat ialah Jerantut ke Kuala Tembeling, Jerantut ke Padang Piol, Jerantut ke Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Pulau Tawar ke Kampung Bukit Nikmat dan Jerantut ke Felda Kota Gelanggi 5 dan 6.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jerantut Feri, Sabri Kamaludin berkata, paras air Sungai Jerantut di Kampung Paya Garuk, di sini mula meningkat sejak malam tadi.

"Penduduk di beberapa buah kampung termasuk Felda Padang Piol, Felda Sungai Retang dan Kuala Tahan terputus hubungan kerana paras air Sungai Jerantut melebihi satu meter.

"Hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan air Sungai Pahang dan Tembeling semakin naik mengakibatkan paras air di sungai-sungai kecil melimpah dan jalan terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, penduduk hanya boleh berhubung menggunakan sampan yang disediakan oleh segelintir penduduk dengan bayaran tertentu.

Beliau berkata, terdapat lima keluarga di Kampung Paya Garuk kini dalam proses untuk dipindahkan kerana paras air semakin meningkat.

Penghulu Mukim Pedah, Mohd. Zahar Wahid berkata, semua penduduk yang berada di kawasan banjir dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan sementara bagi memudahkan urusan bantuan disalurkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

"Kita menetapkan Sekolah Kebangsaan Pedah sebagai pangkalan hadapan dan beroperasi sebagai tempat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir," ujarnya.

Mohd. Zahar memberitahu, pemilik rumah yang dinaiki air hendaklah segera berpindah apabila menerima arahan bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Felda Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani berkata, sembilan daripada 12 keluarga yang dipindahkan di tanah rancangan berkenaan sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Banjir: Keselamatan keluarga perlu diutamakan

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

Shahaniza Shamsuddin (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika melawat pusat penempatan banjir di Kampung Luit, Maran, Pahang, semalam.

MARAN 4 Dis. - Ketua isi rumah di daerah ini diingatkan supaya mengutamakan keselamatan keluarga, khususnya kanak-kanak pada musim banjir yang melanda sejak tiga hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, musim banjir bukan waktunya untuk berpesta tetapi menguruskan keluarga mengatasi masalah supaya dapat diselesaikan dengan berkesan.

"Ibu bapa yang menjadi ketua isi rumah perlu bertegas dalam hal ini supaya fenomena banjir setahun sekali itu tidak menjadi kenangan pahit kepada mereka sepanjang hayat.

"Apabila banjir berlaku, pihak kerajaan dengan sokongan agensi lain berusaha menjaga kebajikan mangsa banjir dari segi pusat penempatan, makanan dan kesihatan penduduk,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan di Kampung Baharu Jara dan Kampung Luit di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir seperti penyediaan pusat pemindahan dan bahan makanan iaitu telur, beras, gula, sardin serta lain-lain.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved