Rabu, 4 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tindakan ke atas kontraktor

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

SEORANG pekerja kontraktor membersihkan bahagian sengkuap di PPR Sri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur selepas diarahkan oleh DBKL baru-baru ini. - IHSAN DBKL

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor pembersihan yang gagal menunjukkan prestasi baik dalam melaksanakan kerja-kerja di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, satu jawatankuasa penilaian prestasi kontraktor pembersihan telah ditubuhkan bagi menilai prestasi mereka setiap bulan.

"Bagi kontraktor yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh DBKL, mereka akan dikenakan denda iaitu pemotongan bayaran daripada nilai kontrak. Jika keadaan bertambah buruk maka tindakan lebih tegas akan diambil ke atas mereka.

"DBKL juga melaksanakan pemantauan rapi terhadap kerja-kerja pembersihan oleh kontraktor supaya mengikut spesifikasi kontrak yang ditetapkan khususnya di kawasan PPR.

"Kami juga telah berkerjasama dan berbincang dengan pihak Alam Flora Sdn. Bhd., supaya kontraktor mereka mematuhi dan mengutip sampah mengikut jadual," katanya ketika hadir ke pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Utusan Malaysia pada 27 November lalu berhubung keadaan PPR Sri Pantai di Pantai Dalam yang kotor kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduknya yang membuang sampah merata-rata.

Menurut Ghazali, kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di PPR berkenaan telah diberi amaran dan notis juga telah dikeluarkan kepada penghuni yang dikenal pasti membuang sampah merata-rata.

"Jika berulang DBKL tidak teragak-agak untuk membatalkan penyewaan mereka. Persatuan penduduk juga perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kami dengan aduan," tegasnya.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihaknya selama dua hari pada hujung bulan lalu di PPR Sri Pantai amat mengecewakan kerana kawasannya sangat kotor.

"Oleh itu, skuad khas pembersihan DBKL telah mengambil langkah dengan mengarahkan pihak kontraktor menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan segera pada 28 November lalu.

"Selain itu, aktiviti gotong-royong di PPR Sri Pantai akan diadakan pada Sabtu ini dan saya berharap jumlah penyertaan daripada orang awam akan meningkat. Kami akan mengadakan aktiviti ini secara berterusan termasuk di PPR lain," ujarnya.

21 peniaga pajak gadai haram ditahan

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Polis menahan 21 individu dalam operasi khas ke atas 18 premis pajak gadai emas di sekitar ibu negara yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, operasi tersebut yang melibatkan 22 pegawai dan 88 anggota dari pelbagai cawangan polis kontinjen itu memberi penekanan untuk membanteras perniagaan pajak gadai emas yang dilaporkan dijalankan secara haram.

"Sebanyak 22 premis telah diperiksa dalam operasi itu dan daripada jumlah itu sebanyak 18 dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen. Polis juga menangkap 17 lelaki dan empat wanita berusia antara 20-an hingga 50-an," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas barang kemas seperti rantai leher, gelang tangan, cincin dan subang yang nilainya masih belum dapat dipastikan.

"Selain itu, turut dirampas ialah dokumen-dokumen perniagaan seperti buku rekod, buku resit dan invois," katanya.

Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan Seksyen 6 Akta Peniaga Barangan Terpakai 1946 kerana menjalankan perniagaan pajak gadai tanpa lesen yang sah.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Acara menarik Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013

Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST

Alinah Ahmad mengibarkan bendera MBPJ dalam majlis pelepasan Konvoi Kereta Mini bagi mempromosi Festival Antarabangsa Petaling Jaya di Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

PETALING JAYA 4 Dis. - Orang ramai khususnya warga Selangor dan Kuala Lumpur dijemput untuk memeriahkan sambutan Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2013 selama dua hari bermula 21 Disember ini.

Ini merupakan kali pertama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan festival seumpama itu dan sebanyak 30 acara menarik akan diadakan sepanjang berlangsungnya acara tersebut yang bertemakan Gaya Hidup Lestari. Kehidupan Hijau.

Festival itu dijadualkan turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk yang dibawa khas dari luar negara.

Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, orang ramai berpeluang untuk menyaksi dan menyertai pelbagai acara menarik yang disediakan bagi mempromosikan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai amalan gaya hidup yang lebih sihat dan mesra alam.

"Dari slot pameran sahaja, iaitu untuk segmen Eko Mobiliti kami akan mempamerkan pelbagai jenis kenderaan teknologi eko seperti hibrid, solar dan elektrik, termasuk dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) yang akan mempamerkan kereta ranjer yang menggunakan teknologi dari Jepun dan Jerman dan bas solar dari Universiti Sains Malaysia (USM).

"Di samping itu pameran pelbagai jenis basikal dari pelbagai negara sama ada bersifat klasik dan futuristik termasuk rekaan dari MBPJ sendiri iaitu basikal Ambike (basikal teksi) yang membolehkan lapan orang menaiki dan mengayuh basikal tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas gimik prapelancaran festival itu di ibu pejabat di MBPJ di sini, hari ini.

Alinah berkata, malam perasmian festival akan dimeriahkan dengan perarakan besar yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak yang diikuti dengan persembahan artis Ikon Hijau, Zainal Abidin.

"Kami ada acara tayangan filem (Eco Knight), demonstrasi makanan sihat, persembahan line dance, taici, lukisan grafiti, klinik hijau, muzik jalanan, persembahan akrobatik basikal BMX, senamrobik hijau, fun ride, dam aji gergasi dan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Selain itu, menurut beliau, acara lain ialah pelbagai jenis pertandingan termasuk perlumbaan basikal bukit Getaway PJ 2013, bike hunt, bola jaring, futsal, memanjat dinding, papan selaju, aksi lagak ngeri basikal BMX dan mewarna.

Sehubungan itu beliau berharap ibu bapa membawa anak-anak mereka ke festival itu sebagai aktiviti cuti persekolahan yang sangat berfaedah untuk seisi keluarga.

"Paling menarik juga, penduduk Petaling yang membayar cukai taksiran mereka pada festival ini diadakan akan diberikan rebat sebanyak RM100," katanya.

Festival itu juga, katanya, akan menyediakan gerai jualan pelbagai jenis produk landskap, eko bazar, basikal dan aksesori, peralatan dan pakaian sukan, makanan dan minuman.

Maklumat lanjut dan borang pendaftaran penyertaan boleh diperoleh dari laman web www.mbpj.gov.my atau menghubungi talian 03-7956 3544.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved