Jumaat, 6 Disember 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Memperkasa Melayu-UMNO

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

Datuk Zulkifli Noordin
Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa.

Ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Kota Bharu mengadakan bantahan secara aman selepas membuat laporan polis terhadap penghinaan terhadap Islam di Kota Bharu, November lalu. - UTUSAN/ Zuharman Mohamad Nor

UCAPAN Dasar yang panjang lebar telah diberikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebagaimana biasa, ucapannya memberikan gambaran global mengapa UMNO masih relevan dan menjadi tunggak kepada survival bangsa Melayu, dan apa yang harus dilakukan oleh UMNO untuk terus survive dan menjadi teras perjuangan Melayu. Antaranya memberikan tanda aras KPI kepada seluruh jentera UMNO berdasarkan 5 teras transformasi perjuangan yang telah digariskan.

Saya cukup yakin ahli UMNO sudah memahami mesej yang cuba disampaikan oleh Presiden, hanya tinggal soal melaksanakannya sahaja.

Adakah survival dan kesinambungan perjuangan memperkasa bangsa Melayu-Islam sedang terancam? Apa ancaman itu dan siapa pengancamnya?

Saya gariskan 7 faktor utama ancaman terhadap survival dan kesinambungan perjuangan bangsa Melayu-Islam di Malaysia.

1. DAP - DAP adalah ancaman utama bagi bangsa Melayu-Islam. Sikap cauvinis, rasis, ekstremis dan anti Melayu-Islam yang begitu menebal dalam DAP sudah terserlah - sudah terang bersuloh pula.

Sikap perwakilan DAP mengejek dan menjerit "boo" kepada Jeff Ooi apabila beliau dalam keadaan terpaksa meminta maaf atas keceluparan memanggil kakitangan MPPP yang kebanyakannya bangsa Melayu dengan gelaran 'kucing kurap' membuktikan betapa cauvinis dan rasisnya mereka ini. Meminta maaf kepada orang Melayu seperti sesuatu yang hina untuk dilakukan!

Ingat balik kenyataan Ketua Publisiti DAP Tony Pua yang melabel pegawai dan kakitangan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai 'anjing UMNO' sekadar membuktikan sikap cauvinis, ekstremis dan pelampau perkauman mereka. Sehingga hari ini Tony Pua enggan meminta maaf kepada kakitangan ROS.

Sikap cauvinis, ekstremis dan anti-Melayu DAP ini sudah lama membiak. Contohnya dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Cuba baca semula Laporan Mageran 6 Oktober 1969 yang dibentangkan di Parlimen dan buku tulisan Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman 13 Mei: Sesudah & Sebelum.

Janganlah kita bangsa Melayu-Islam terbuai dan terleka dengan mainan politik kotor ini. DAP tidak pernah berubah. Dan kita boleh bayang apa akan jadi kepada bangsa Melayu-Islam jika mereka yang memerintah?

2. PKR & Anwar Ibrahim - Parti picisan yang ditubuhkan oleh mereka yang dikutip untuk survival politik Anwar Ibrahim. Nafsu besar mereka untuk bertakhta di Putrajaya telah menyebabkan perpecahan bangsa Melayu-Islam. Anwar dan PKR telah memberi talian hayat politik kepada DAP untuk menembus masuk ke kawasan yang mereka tidak pernah impikan pun sebelum ini.

Inilah parti yang dipimpin oleh manusia yang telah dua kali diheret ke Mahkamah atas pertuduhan moral melibatkan dua orang kakitangannya sendiri Azizan dan Saiful Bukhori.

Inilah parti yang bersetuju Kristian dibenarkan mengguna pakai kalimah Allah walaupun dalam bentuk Triniti yang jelas mensyirikkan Allah.

Inilah parti yang dipimpin oleh pemimpin yang pembohongan dan putar belit menjadi alat perkakas mereka. Masih ingat pembohongan 16 September 2008? Masih ingat pembohongan Kg. Buah Pala? Masih ingat pembohongan jam Omega? Masih ingat pembohongan Lynas? Masih ingat pembohongan pengundi Bangladesh? Masih ingat lagi beberapa siri pembohongan dan putar belit mereka? Terbaru kenaikan elaun dan gaji MB, Speaker dan ADUN di Selangor; sedangkan di Parlimen mereka bermain wayang menentang semasa PM mencadangkan kenaikan elaun Ahli Parlimen? Dan jangan lupa dalang-dalang di sebalik mereka; termasuk dalang-dalang asing!

Dan kita boleh bayang apa akan jadi kepada bangsa Melayu-Islam jika mereka yang memerintah?

3. Pas - Inilah parti yang menjadi tunggangan kepada DAP dan Anwar. Inilah parti yang bersekongkol dengan Anwar dan Lim Kit Siang untuk membenarkan Kristian mengguna pakai kalimah Allah.

Inilah parti yang sanggup memecat tanpa memberi notis dan hak bela diri ke atas Datuk Dr. Hasan Ali yang cuba menyelamatkan akidah umat Islam dan syariat Islam!

Inilah parti yang sanggup memecat Ustaz Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura tanpa memberi notis atau hak bela diri kerana dilihat terlalu mesra UMNO!

Inilah parti yang sanggup memecat Ustaz Kazim Elias yang ditawarkan tempat untuk menduduki Majlis Tertinggi UMNO. Lihat bagaimana ahli-ahli termasuk segelintir kepimpinan mereka memaki hamun dan memberi pelbagai gelaran menghina Ustaz Kazim.

Inilah parti yang sanggup mendoakan kehancuran orang Melayu yang tidak sehaluan dan sealiran politik dengan mereka; sehingga sanggup mendoakan supaya pemimpin Melayu pecah perut!

Dan kita boleh bayang apa akan jadi kepada bangsa Melayu-Islam jika mereka yang memerintah?

4. Singapura - Jangan lupa setelah pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas mendapat sedikit kemenangan dalam PRU-12 dengan menumbangkan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) dan merampas Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor; pemimpin kanan dan bekas PM Singapura Lee Kuan Yew membuat kenyataan "bukan sesuatu yang mustahil untuk Singapura menyertai semula Malaysia".

Sekiranya pakatan pembangkang DAP-PKR -Pas memenangi kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan, mereka boleh membawa usul ke Parlimen menurut Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan untuk menjemput Singapura menyertai Malaysia. Usul ini hanya memerlukan majoriti mudah 112 kerusi untuk diluluskan.

Jika itu berlaku, dan usul itu diterima oleh Parlimen Singapura, apakah akan terjadi? Parlimen Singapura dan Parlimen Malaysia akan bergabung. Dengan Parlimen Singapura mempunyai 89 kerusi; dan kita pun tahu siapa yang menguasai kerusi ini. Apa akan terjadi?

Mereka akan dapat menguasai Parlimen Malaysia dengan majoriti besar, malah kemungkinan 2/3!

Dan kita boleh bayang apa akan jadi kepada bangsa Melayu-Islam jika mereka yang memerintah?

5. NGO-NGO Liberal - Baru-baru ini dalam sidang Universal Periodic Review of United Nations Human Rights Council (UPR- UNHRC) di Geneva, Switzerland, beberapa pertubuhan NGO dari Malaysia dengan kerjasama beberapa NGO asing dan antarabangsa telah mendesak badan antarabangsa itu supaya menekan Malaysia menerima beberapa tuntutan mereka.

Antaranya membenarkan Kristian mengguna pakai kalimah Allah, membenarkan orang Islam murtad, menghalalkan amalan seks bebas dan luar tabii lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) termasuk kahwin sesama jenis; membenarkan ajaran seperti Syiah dibenarkan dalam negara ini, termasuk menghapuskan Artikel 153 Hak Keistimewaan Melayu dan lain-lain.

Dan kita tahu NGO-NGO ini kebanyakannya adalah propembangkang termasuk pakatan DAP-PKR-Pas.

Dan kita boleh bayang apa akan jadi kepada bangsa Melayu-Islam jika mereka yang memerintah?

6. Gerakan Kristianisasi - Akhir-akhir ini gerakan Kristianisasi nampaknya semakin menjadi-jadi di negara kita. Peristiwa dakyah dan cubaan murtad di Gereja DUMC masih segar dalam ingatan kita. Peristiwa yang menyebabkan Tuanku Sultan Selangor terpaksa campur tangan tetapi disanggah oleh golongan yang kurang ajar dan biadap.

Cubaan mereka mengheret isu kalimah Allah sehingga ke mahkamah adalah satu tindakan provokatif dan sangat menghina umat Melayu-Islam. Kegagalan mereka di Mahkamah tidak berhenti di situ. Mereka mengheret isu ini ke peringkat antarabangsa menggunakan platform PBB!

Yang paling malang, mereka menerima sokongan daripada segelintir bangsa Melayu yang sudah terlalu kemaruk untuk menduduki takhta Putrajaya!

Kalau PRU-12 diberi label sebagai 'Tsunami Cina', saya tidak terkejut sekiranya PRU-14 kelak akan menjadi 'Tsunami Kristianisasi'.

Dan kita boleh bayang apa akan jadi kepada bangsa Melayu-Islam jika mereka yang memerintah?

7. Neo-Melayu Liberal - Satu ancaman yang mungkin kurang disedari oleh umat Melayu-Islam ialah kemunculan generasi neo- Melayu liberal yang langsung tidak menghargai sejarah perjuangan Melayu-Islam di negara ini, yang asas keagamaan mereka sangat longgar, sifat patriotisme dan kenegaraan mereka sangat cetek, kesetiaan mereka sangat diragukan, dan sikap mereka yang terlalu mementingkan diri sendiri dengan fahaman what my country can do for me!

Mereka ini terlalu mempertuhankan Barat, dan berselindung di sebalik sistem demokrasi, hak asasi tanpa batas dan kebebasan bersuara. Dan mereka merasakan bahawa agama Islam itu menyusahkan, dan bangsa Melayu ini lekeh dan mundur.

Mereka merasakan Islam fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah jumud dan mundur, sebab itu ada antara mereka mudah terpikat dengan ajaran Syiah yang lebih menyeronokkan. Yang paling teruk, ada antara mereka malu mengaku bangsa Melayu!

Malangnya ramai antara mereka ini golongan yang berjaya hasil usaha UMNO dan dasar afirmatif yang membolehkan mereka mencapai kejayaan akademik dengan bantuan dan biaya kerajaan; malah menjadi kaya raya hasil daripada kontrak atau peluang perniagaan dan pekerjaan yang diberikan oleh kerajaan UMNO.

Dan ada antara mereka duduk dalam UMNO, bukan untuk perjuangan memartabat agama, bangsa dan negara, tetapi untuk mengisi tembolok dan memenuhkan kantung mereka!

Mereka ini sekarang sedang melata di bumi Melayu ini. Mereka ada dalam UMNO, dalam Pas, dalam NGO-NGO, di GLC dan GCE, di syarikat-syarikat multinasional dan lain-lain. Mereka ini umpama duri dalam daging, api dalam sekam yang boleh menghancurkan agama, bangsa dan tanah air bila-bila masa!

Dan kita boleh bayang apa akan jadi kepada bangsa Melayu-Islam jika mereka yang memerintah?

RUMUSAN

UMNO mungkin tidak sesempurna yang kita inginkan; pimpinan UMNO mungkin tidak sebaik yang kita cita-citakan; tetapi itu sahaja pilihan yang kita ada buat masa ini.

Jadi tugas dan kerja kita ialah membantu memulihkan UMNO, memperkasa UMNO untuk menjadi parti siasah yang mana bangsa Melayu-Islam boleh terus meletakkan harapan untuk memastikan survival dan kesinambungan kita terus berkekalan.

UMNO memerlukan bangsa Melayu - dan Melayu memerlukan Islam. Tanpa Islam tiada Melayu!

Kepimpinan UMNO perlu disedarkan bahawa UMNO bukan lubuk emas untuk mereka membuat harta, memperkayakan diri dan keluarga, mengisi kantung dan tembolok kroni.

Persepsi bahawa UMNO terlalu takut kehilangan undi bukan Melayu mesti diperbetulkan segera. Keghairahan segelintir pemimpin UMNO menagih undi bukan Melayu perlu dihentikan segera.

Ketakutan sesetengah pemimpin UMNO untuk dikaitkan dengan perjuangan Melayu-Islam mesti dihapuskan. Hanya dengan keberanian melakukan perubahan substantif inilah baru kepercayaan dan harapan orang Melayu-Islam dapat dikembalikan.

UMNO adalah Melayu - Melayu adalah Islam! Semoga Allah memberkati perjuangan kita semua insya-Allah.

Beza pendekatan UMNO-Pas

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

SALAH satu isu yang turut mendapat perhatian pemimpin dan perwakilan UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2013 ialah berkaitan pendekatan politik Pas yang kini seolah-olah terperangkap dalam kerjasama dengan PKR dan DAP.

UMNO membangkitkan persoalan mengenai sikap Pas sepanjang perhimpunan berlangsung bukanlah kerana parti itu adalah musuh politik UMNO, tetapi UMNO membuat peringatan itu demi masa depan orang Melayu dan umat Islam.

UMNO tidak mahu orang Melayu terperangkap dengan mainan politik Pas yang hakikatnya sedang diperalatkan oleh PKR dan DAP untuk mendapat kuasa.

Bagaimanapun kita percaya Pas tidak akan mempedulikan apa juga kata UMNO kerana bagi Pas apa yang penting ialah meranapkan kuasa politik UMNO dan menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) melalui kesepakatan dengan PKR dan DAP.

Sebab itulah, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sandaran orang Melayu dan umat Islam. Sudah terlalu banyak jasa UMNO dalam usaha meningkatkan taraf hidup orang Melayu dan memartabatkan Islam.

Apa yang UMNO katakan dalam soal itu bukan untuk mendabik dada tetapi ia adalah realiti. Untuk memberikan gambaran lebih jelas berikutan penulis paparkan perbezaan antara UMNO dan Pas yang seharusnya menjadi sandaran kepada orang Melayu kenapa mereka harus menjadikan UMNO sebagai harapan untuk melakar masa depan lebih jelas.

l Memartabatkan Islam

- UMNO yang mengemudi kerajaan melalui kerjasama dalam BN telah berjaya membawa negara ini menjadi negara Islam contoh. Di mana-mana juga pemimpin-pemimpin Islam memuji usaha UMNO memartabatkan Islam.

- Pas pula lebih banyak bercakap soal Islam tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Malah di negeri yang mereka perintah pun, pelaksanaan Islam tidak ke mana, ia lebih banyak berkisar kepada slogan dan laungan sahaja.

l Membina Masjid Dan Mewujudkan Institusi Islam

- UMNO bertanggungjawab memastikan peruntukan khas disediakan untuk membina masjid di seluruh negara. Masjid dijadikan tempat untuk memperkembangkan syiar Islam dan mengukuhkan perpaduan ummah.

- Pas tidak membina masjid tetapi menjadikan masjid sebagai medan untuk memecah belahkan ummah melalui khutbah, kuliah dan tazkirah yang berbaur politik.

l Menyatukan Umat Islam

- UMNO seperti mana kata Najib sentiasa bersedia untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik, demi melihat umat Islam kembali bersatu.

- Pas bersedia bersahabat dan berpeluk mesra dengan pemimpin-pemimpin DAP, tetapi memandang sinis salam persaudaraan yang dihulurkan oleh UMNO. Malah ada pemimpin Pas pernah berkata, lebih rela makan babi bersama pemimpin DAP daripada minum kopi bersama Perdana Menteri.

l Menghormati Ulama

- UMNO menghormati apa juga pandangan alim ulama tanpa mengira apa juga latar belakang politiknya. Asalkan apa yang diusahakan oleh ulama itu boleh membawa kebaikan kepada umat Islam, UMNO akan patuh.

- Pas hanya mendengar apa kata ulama mereka. Ulama di luar parti itu biar pun memberi pandangan yang betul akan dianggap 'suara UMNO' dan 'suara kerajaan'. Malah mana-mana ulama yang berada dalam UMNO akan dicemuh, diejek dan ditohmah dengan pelbagai tuduhan dan dakwaan.

l Berhujah Atas Dasar Kebenaran

- UMNO biar pun bekerjasama dengan parti-parti bukan Melayu dan Islam, sentiasa berhujah dan bercakap atas dasar kebenaran. Dalam apa keadaan pun, UMNO tetap tegas mempertahankan kepentingan Melayu dan umat Islam.

- Pas pula dilihat terlalu takut dengan PKR dan DAP. Apa sahaja yang mereka hendak lakukan hatta berkaitan dengan Islam sekali pun mereka seolah-olah perlu mendapat persetujuan PKR dan memperoleh restu DAP.

l Tegas Dalam Menjaga Agama

- UMNO sentiasa tegas mempertahankan akidah umat Islam termasuklah dalam memastikan umat Islam berpegang teguh kepada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. UMNO juga secara lantang menolak segala kesesatan termasuk usaha mengembangkan fahaman Syiah. Sebab itulah dalam perhimpunan agungnya kali ini UMNO mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan agama rasmi Persekutuan adalah Islam berlandaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

- Pas pula dilihat teragak-agak dalam soal ini khususnya untuk memberi penegasan terhadap penyebaran fahaman Syiah.

l Mengajar Rakyat Erti Berterima Kasih

- UMNO sentiasa mengajar rakyat negara ini khususnya umat Islam bersyukur dengan nikmat yang diperolehi dan tahu berterima kasih kepada mereka yang berbudi.

- Pas bersekongkol dengan PKR dan DAP 'mendidik' rakyat untuk menolak segala kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan. Mereka menguar-uarkan segala bantuan oleh kerajaan adalah tanggungjawab kerajaan justeru tidak perlu berterima kasih atau mengenang budi yang ditabur.

l 'Menjatuhkan' Hukum

- UMNO dan BN sama sekali tidak akan mengamalkan sikap menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya kepada musuh politiknya.

- Pas pula begitu mudah menghukum pemimpin-pemimpin UMNO. Malah tanpa mengkaji kebaikan kerjasama mereka dengan DAP dan PKR. Pas menuduh kerjasama UMNO dalam BN adalah haram.

l Pentas Ceramah

- UMNO menggunakan pentas ceramah untuk menyampaikan dasar kerajaan dan membuat penjelasan.

- Pas pula menggunakan pentas yang sama untuk memaki hamun pemimpin UMNO dan kerajaan serta menyebarkan dakyah dan fitnah.

l Dominan Dalam Kerjasama

- UMNO adalah parti dominan dalam BN, namun kedudukan itu tidak pernah disalah gunakan untuk menunjukkan siapa lebih kuat. Sebaliknya kelebihan itu digunakan oleh UMNO untuk tegas memperjuangkan orang Melayu dan memartabatkan Islam, di samping membela nasib kaum lain.

- Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang. Parti itu dilihat sekadar 'pak turut' dan tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membantah kehendak PKR dan DAP.

Demikianlah serba sedikit perbezaan antara dua parti Melayu itu. Sebenarnya, banyak lagi yang membezakan antara UMNO dan Pas. Sebab itulah, orang Melayu perlu mengkaji, meneliti dan menimbang kenyataan Najib bahawa UMNO menjadi sandaran golongan itu.

Apatah lagi, Presiden UMNO itu juga secara tegas sudah menyatakan dalam ucapan dasarnya bahawa, ''Kita (UMNO) tak boleh bersegan silu lagi dalam terus memperjuangkan nasib bangsa.

Dan Najib juga sudah memberi jaminan bahawa, ''...Selagi hayat dikandung jasa, bercerai nyawa dari badan! Islam akan terus UMNO junjung.''

Oleh itu, sudah jelas kini orang Melayu tidak perlu lagi berasa gusar atau bimbang, tidak perlu lagi gusar untuk memilih dan tidak perlu takut untuk menentukan parti mana yang harus diberikan amanah bagi membela untung nasib mereka.

Ia memandangkan sejarah perjuangan UMNO telah membuktikan bahawa parti itulah perjuang Melayu, pembela Islam dan pelindung rakyat Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved