Jumaat, 6 Disember 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Solat hajat hindari bencana

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh FANSURINA ABDULLAH
utusanpahang@utusan.com.my

Para jemaah mengaminkan doa selamat yang dibacakan oleh Ustaz Mohd. Khalil Mohd. Zari Alhafiz selepas menunaikan solat hajat memohon dihindarkan daripada bencana lebih buruk sebaik selesai sembahyang Jumaat di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam. - BERNAMA

KUANTAN 6 Dis. - Semua masjid di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi menghindari bencana yang lebih buruk ekoran banjir yang melanda negeri ini ketika ini.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, perkara itu dititahkan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berikutan banjir di negeri ini khususnya di Kuantan menyebabkan ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menyebarkan perkara itu kepada pentadbir masjid di semua daerah bagi tujuan tersebut.

"Musibah banjir yang menimpa Pahang menunjukkan kita tidak terlepas ujian daripada Allah," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat hajat di Masjid Negeri di sini hari ini.

Abdul Rahman yang juga mangsa banjir selepas rumahnya di Taman Sungai Isap di sini turut dinaiki air meminta mangsa terlibat supaya bersabar dengan bencana dihadapi itu.

"Saya berharap supaya solat hajat yang dilakukan nanti akan dimakbulkan Allah bagi meringankan dugaan dilalui oleh semua mangsa banjir," ujarnya.

Dalam pada itu, kira-kira 2,000 jemaah mengadakan solat hajat di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini selepas solat Jumaat yang diketuai Imam Besar, Mohd. Khalil Mohd. Zari.

NGO digesa bantu mangsa banjir

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

JERANTUT 6 Dis. - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan sukarela di daerah ini diminta membantu mangsa banjir, khususnya memindahkan mereka ke pusat pemindahan yang telah disediakan.

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris berkata, selain itu, mereka juga boleh membersihkan rumah mangsa daripada kekotoran yang disebabkan oleh bencana itu.

Menurutnya, ketua kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu lebih aktif memantau kebajikan, khususnya keperluan makanan, selimut, bantal dan peralatan lain untuk mangsa di tempat pemindahan.

"Ada sedikit laporan dan rungutan daripada mangsa tentang kelewatan bantuan makanan serta peralatan di pusat pemindahan sejak tiga hari banjir di sini yang memerlukan kepantasan JKKK menguruskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bilik Gerakan Banjir di sini," katanya ketika melawat pusat pemindahan di Kampung Bukit Genting di sini hari ini.

Katanya, kelewatan menyediakan bekalan makanan merupakan masalah teknikal sambil berharap JKKK dan agensi Jawatankuasa Bencana Alam (Banjir) daerah sudah mengenal pasti semua mangsa untuk disalurkan bantuan.

"Kita juga berharap UMNO cawangan, NGO, persatuan belia dan JKKK berperanan membantu pihak berkuasa serta agensi kerajaan mengatur pemindahan dengan menyalurkan bekalan makanan.

"Persiapan rapi dan pantas perlu kerana keadaan cuaca tidak menentu dan paras air di Sungai Tembeling serta Sungai Pahang di daerah ini masih di paras bahaya, dikhuatiri mencetuskan gelombang kedua," ujarnya.

Ahmad Nazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerantut meminta pengusaha pelancong di Lembah Klang dan bandar ini supaya mengutamakan keselamatan pelancong di Taman Negara Kuala Tahan serta jeti Kuala Tembeling.

"Jika boleh, mereka perlu menghentikan buat sementara waktu pemunggahan pelawat berkenaan ke destinasi dengan menggunakan bot penambang ketika air sungai melebihi paras bahaya, di samping mematuhi peraturan keselamatan dan arahan pihak berkuasa," katanya.

Tidak sangka pondok dinaiki air

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

DUA penghuni Pondok Al-Imaniah di Kampung Jerantut Feri, Jerantut melihat keadaan pondok pengajian mereka yang ditenggelami air, semalam.

JERANTUT 6 Dis. - Lebih 100 penghuni Pondok al-Imaniah di Kampung Jerantut Feri di sini tidak menyangka kediaman mereka ditenggelami air apabila banjir melanda daerah ini sejak dua hari lalu.

Seorang penghuni, Zainab Jusoh, 76, berkata, air mula naik kira-kira pukul 4 pagi kerana pondok tersebut berada berhampiran sungai.

"Ketika itu, kami mula membuat persiapan memindahkan barangan penting kerana kebanyakan penghuni di sini warga emas.

"Saya hanya sempat menyelamatkan pakaian dan periuk elektrik sahaja manakala barangan lain semuanya ditenggelami air," ujarnya yang telah menetap di situ sejak tiga tahun lalu di sini semalam.

Bagi Wan Bidah Wan Bakar, 80, dia hanya sempat menyelamatkan diri dan pakaian sahaja kerana sudah uzur.

"Saya sendiri dipimpin oleh orang lain untuk menyelamatkan diri kerana sudah tidak larat dan tidak sempat mengeluarkan barangan lain termasuk peralatan elektrik yang digunakan seharian," ujarnya.

Wan Bidah memberitahu, dia menghubungi anaknya di Kampung Paya Garuk di sini supaya datang membantunya, namun gagal kerana kampung tersebut terputus hubungan.

Dalam pada itu, Mudir pondok berkenaan, Ahmad Mohamad berkata, kejadian tersebut adalah kali pertama sejak dibina pada 2008.

"Pondok ini menempatkan lebih 100 orang termasuk 25 pelajar tahfiz dan mula beroperasi pada 2010 tetapi tidak pernah berdepan masalah banjir.

"Hampir semua kediaman ditenggelami air dan kami tidak ada pengalaman menyebabkan banyak barang-barang milik penghuni di sini tidak sempat diselamatkan," jelasnya.

Menurutnya, kebanyakan penghuni telah pulang ke rumah mereka dan pelajar tahfiz serta warga emas yang masih tinggal ditempatkan di kawasan lebih tinggi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved