Jumaat, 6 Disember 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Jenice Lee saman DAP

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

Jenice Lee hadir bersama Harjit Sandhu (kanan) ketika memfailkan satu injuksi bagi mengekalkan keahlian dalam DAP di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ Safiyana Salim

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee hari ini memfailkan saman terhadap DAP bagi memohon pengisytiharan supaya keahliannya dalam parti itu dikekalkan.

Jenice atau nama sebenarnya Lee Ying Ha, 33, memfailkan writ saman itu melalui firma guaman, Tetuan Harjit Sandhu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau menamakan DAP melalui Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng sebagai defendan.

Selain menuntut pengisytiharan keahliannya dikekalkan, beliau memohon perintah injunksi menghalang DAP daripada melucutkan keahliannya.

Ketika ditemui pihak media di lobi mahkamah, Jenice selaku plaintif menyatakan, saman itu difailkan bertujuan membolehkan beliau bertanding pada pemilihan DAP Selangor pada 15 Disember ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Jenice mendakwa, pada 20 April lalu beliau mendapati melalui media, keahliannya dilucutkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendapati pemilihan CEC tidak dijalankan mengikut perlembagaan parti.

Jenice kemudian memfailkan writ saman terhadap DAP supaya keahliannya dikembalikan bagaimanapun menarik balik saman itu selepas disahkan melalui panggilan telefon antara defendan dan peguamnya bahawa beliau masih ahli DAP yang sah.

Pada 7 Oktober lalu Jenice berkata, beliau menerima surat daripada DAP yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti, Tan Kok Wai yang memberikannya tempoh 14 hari bagi mendapatkan penjelasannya mengenai tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Plaintif mendakwa, surat itu tidak sah kerana Kok Wai telah berlepas ke Korea sehari sebelumnya dan tidak mungkin menandatangani surat berkenaan.

Jenice berkata, beliau membalas surat itu melalui surat tunjuk sebab bertarikh 15 Oktober yang diserahkan kepada defendan pada 21 Oktober lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, DAP melalui surat bertarikh 30 Oktober lalu telah melucutkan keahliannya.

Plaintif mendakwa, pelucutan keahliannya tidak sah kerana tidak mengikut proses dan prosedur yang betul antaranya surat balasannya tidak dibalas langsung oleh defendan dan beliau hanya menerima surat tunjuk sebab dan bukannya surat perlucutan jawatan.

Menurut Jenice, secara tidak langsung beliau diberi peluang terakhir untuk merayu kepada CEC dalam masa 14 hari.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui keahliannya dilucutkan melalui satu artikel bertarikh 23 November lalu di sebuah portal berita tetapi tiada surat diberikan kepadanya mengenai perlucutan keahliannya.

Plaintif juga mendakwa, ROS masih belum mengesahkan pemilihan semula CEC pada 29 September lalu dan proses perlucutan keahliannya tidak sah dan pramatang.

Utusan, TV3 mohon N. Surendran tarik diri kes fitnah

Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB), dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) akan memfailkan permohonan supaya peguam N. Surendran menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes saman fitnah berhubung pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah.

Kedua-dua syarikat itu selaku pihak defendan mengemukakan permohonan itu atas alasan Surendran merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar selepas menghadiri pengurusan kes tersebut hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop di kamar hakim di sini.

Latheefa memberitahu, Rosilah menetapkan 25 Februari ini untuk mendengar permohonan tersebut.

Menurut beliau lagi, kes itu sepatutnya dibicarakan pada 9 Disember ini namun ditangguhkan berikutan peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili UMMB menghadiri kes petisyen pilihan raya di Mahkamah Persekutuan pada tarikh berkenaan.

Menurut beliau, mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan pada 14, 15, 22, dan 25 April tahun hadapan.

UMMB turut diwakili oleh peguam Choo Joo Jin manakala TV3 oleh Lim Qi Si.

Pada 8 Mac lalu, Anwar, 66, selaku plaintif memfailkan saman tersebut dengan menamakan UMMB defendan pertama dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak defendan kedua.

Beliau turut menamakan TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif; dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng, sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac lalu di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan? dan di muka surat sembilan pula bertajuk, Tiga kumpulan jadi dalang.

Anwar menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa berita di rangkaian televisyen swasta itu adalah berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh defendan pertama dan kedua.

Anwar mendakwa, perkataan yang disiarkan itu berunsur fitnah dan membawa maksud antaranya beliau seorang yang mengancam keselamatan negara dan bersekongkol dengan musuh negara dan berperang dengan negara.

Dakwanya lagi, perkataan tersebut difahamkan membawa maksud beliau pembelot negara, melibatkan diri dalam aktiviti keganasan dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab serta tidak boleh dipercayai.

Plaintif selain itu mendakwa perkataan tersebut tidak berasas dan berniat jahat telah merosakkan reputasinya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sehubungan itu menuntut ganti rugi am RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan selain memohon perintah injunksi.

Pada 12 Februari lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu menerima laporan pada pukul 8 pagi mengenai pencerobohan 32 lelaki berpakaian celoreng di Kampung Tanduo.

Agensi berita antarabangsa, The Reuters sebelum ini melaporkan dengan memetik sumber tentera Filipina mendedahkan kumpulan bersenjata tersebut menceroboh Sabah selepas diundang parti pembangkang Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved