Jumaat, 6 Disember 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk bimbang kesan sosial

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

PENDUDUK berdekatan bimbang pembangunan komersial di sebelah Masjid Wilayah Persekutuan akan menimbulkan kesan negatif kepada mereka selain terpaksa berhadapan dengan kesesakan jalan raya.

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Penduduk Hartamas Heights mendakwa bantahan mereka terhadap cadangan projek pembangunan komersial bersebelahan dengan Masjid Wilayah Persekutuan bukan hanya dilakukan oleh orang Islam di kawasan itu sahaja tetapi melibatkan semua kaum dan penganut.

Menurut mereka, ini kerana mereka mahukan supaya kawasan kediaman itu kekal dalam suasana tenang, yang pasti tergugat dengan pelbagai kesan negatif sosial jika pembangunan komersial dan bercampur yang dikenali sebagai Solaris 3 itu diteruskan.

Wakil penduduk Hartamas Heights, Azim A. Aziz berkata, bantahan penduduk terhadap projek di kawasan seluas kira-kira 20 hektar itu turut melibatkan semua kaum, tidak terhad kepada mereka yang beragama Islam sahaja.

"Penduduk tanpa mengira latar belakang dan agama bakal menerima kesan tidak baik dari projek tersebut. Jadi kami sangat berharap agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu penduduk supaya kami dapat terus tinggal di situ tanpa sebarang gangguan.

"DBKL pernah tidak meluluskan projek pembinaan sebuah kolej swasta di tapak yang sama pada tahun 2003 dengan alasan pembinaan kolej itu boleh menjejaskan aliran lalu lintas serta menimbulkan masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan persekitaran.

"Jika dahulu cadangan mendirikan sebuah kolej telah ditolak oleh DBKL, jadi jawapan yang sama perlu DBKL berikan jika ada mana-mana pihak ingin memajukan tanah tersebut untuk tujuan komersial.

"Sedangkan cadangan pembinaan kolej tersebut hanya membabitkan bangunan setinggi sembilan tingkat sahaja dan ditolak, jadi adakah DBKL perlu menerima projek ini yang bakal mengatasi ketinggian menara Masjid Wilayah dengan bangunan setinggi sehingga 49 tingkat?," Azim mempertikaikan.

Azim berkata demikian dalam sidang akhbar selepas beliau dan sembilan lagi penduduk yang mewakili kawasan perumahan Hartamas Heights menghadiri sesi pendengaran awam di Menara DBKL 1 di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengurus (Teknikal) Bahagian Pembangunan dan Pelaburan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ir. Abdul Karim Mohamed dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa. DBKL pula diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah Perancangan DBKL, Datuk Zulkifli Ibrahim.

Ini merupakan sesi pendengaran awam pertama berhubung bantahan pihak berkaitan terhadap cadangan projek pembangunan di sebelah masjid itu, setelah pihak pemaju memohon kepada DBKL untuk menukarkan status tanah berkenaan daripada kediaman kepada perdagangan.

Menurut Azim, projek tersebut yang dijangka bakal menyediakan kemudahan sehingga 5,000 petak letak kereta akan menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk di kawasan itu.

"Jadi bayangkan jumlah kenderaan yang akan melalui Jalan Changkat Kiara Hartamas. Pasti akan berlaku kesesakan jalan raya yang paling teruk, ini tidak termasuk jemaah yang hendak ke masjid.

"Kesesakan pasti (akan melarat) hingga ke Jalan Duta yang terkenal antara jalan yang paling sesak di Kuala Lumpur," tegasnya.

Menurutnya, beliau telah meminta kepada DBKL untuk mengatur pertemuan antara penduduk dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berhubung bantahan ini.

"Walaupun menteri telah memberikan kenyataan berhubung cadangan projek ini namun diharap dengan pertemuan dengan penduduk, kesemua pihak akan lebih memahami projek ini dan masalah-masalahnya kepada penduduk sekitar dan orang ramai jika tetap diteruskan," katanya.

Penduduk minta Saari Sungib tunaikan janji bela padang UKRC

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

SEBAHAGAIAN penduduk Hulu Klang membuat tunjuk perasaan terhadap Saari Sungib yang didakwa gagal menunaikan janji untuk mempertahankan agar padang UKRC tidak diambil alih oleh MPAJ, di Taman Seri Keramat, Ampang, Selangor semalam.

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Penduduk Hulu Klang, dekat sini, meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib dari Pas supaya menunaikan janjinya untuk terus menyokong ahli Kelab Rekreasi Ulu Klang (UKRC) menguruskan padang tersebut.

Menurut penduduk, apa yang terjadi kini Saari dilihat mengambil sikap lepas tangan apabila Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil alih padang tersebut pada 1 Oktober lalu.

Menurut seorang ahli UKRC, N. Werasinggam, 62, pada 2008, Saari berjanji kepada penduduk jika dicalonkan menjadi ADUN beliau akan memastikan padang tersebut akan terus diuruskan oleh UKRC.

"Padang itu diurus oleh kami (UKRC) sejak 1958 lagi, dan MPAJ sewenang-wenangnya mengambil alih padang itu. Di mana janji Saari untuk membela kami?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tunjuk perasaan secara aman bersama-sama penduduk Hulu Klang di hadapan pejabat Saari yang didakwa gagal menunaikan janjinya untuk mempertahankan padang UKRC daripada diambil oleh MPAJ di Taman Seri Keramat, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Rizal Abdullah, 50, berkata, sebagai penduduk di situ dia kesal kerana sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat, Saari langsung tidak menunaikan janji-janji yang dibuat sebelum dipilih menjadi ADUN.

"Biarpun kami telah menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai pengambilalihan padang tersebut, namun sehingga kini tiada apa-apa tindakan diambil oleh beliau.

"Saari seolah-olah sengaja melepaskan padang UKRC kepada MPAJ," katanya.

Yong Cheng Soon, 46, pula berkata, MPAJ mengambil tanah tersebut tanpa mematuhi syarat yang sepatutnya iaitu mereka harus memberi tempoh 14 hari dan bukannya empat hari seperti yang dilakukan baru-baru ini.

"Malah tindakan MPAJ yang menutup padang tersebut selama dua bulan (selepas mengambil alih) menyebabkan banyak pasukan bola sepak terpaksa membatalkan perlawanan mereka pada saat-saat akhir," ujarnya.

Saari yang ditemui berkata, beliau masih menunggu keputusan MPAJ berkenaan pengambilalihan padang tersebut.

"Namun jika ada penduduk atau ahli UKRC yang masih tidak berpuas hati dengan saya mereka boleh mengambil tindakan undang-undang," katanya.

150 pengarah syarikat pelancongan domestik, luar negara dibawa melawat I-City

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

NG Yen Yen (depan, lima dari kanan) bersama delegasi syarikat pelancongan dalam dan luar negara yang dibawa melawat I-City di Shah Alam, Selangor, semalam.

SHAH ALAM 6 Dis. - Seramai 150 pengarah syarikat pelancongan dari dalam dan luar negara telah dibawa melawat ke negara ini dengan salah satu lokasi dipilih ialah taman tema I-City di sini hari ini.

Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, program yang diadakan sempena menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 itu sebagai lokasi-lokasi menarik di negara ini termasuk taman tema tersebut bagi meningkatkan jumlah pelancong datang bercuti di negara ini.

Beliau berkata, melalui lawatan 150 pengarah itu dijangka dapat membawa kemasukan 36 juta pelancong pada tahun depan.

"Kami sangat berbangga dapat membawa pengarah-pengarah syarikat pelancongan dari dalam dan luar negara ini untuk menjadi duta kepada Malaysia bagi mempromosikan produk pelancongan di negara ini," katanya kepada pemberita ketika mengiringi lawatan pengarah-pengarah pelancongan tersebut di I-City semalam.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong.

Dalam program itu, pelawat dibawa melawat tarikan-tarikan di I-City, antaranya ke Red Carpet iaitu muzium lilin pertama di negara ini.

Antara negara yang terlibat dalam program itu ialah Jepun, Amerika Syarikat, Switzerland, Laos, Indonesia, Britain dan Itali.

Sementara itu, Mirza berkata, Kementerian Pelancongan telah mengubah format dan kandung struktur pentadbiran mereka untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

"Kementerian kini memberi penekanan kepada pengiklanan dan berhubung terus kepada industri pelancongan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved