Ahad, 10 November 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


1,094 sekolah ada internet 4G

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

SEBAHAGIAN daripada pengetua dan guru besar yang menghadiri majlis perasmian Hari Profesionalisme 1BestariNet di UTAR, Kampar, Perak, semalam.

KAMPAR 9 Nov. - Sebanyak 1,094 sekolah rendah dan menengah di negeri ini telah dilengkapi kemudahan internet 4G dan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) menerusi projek 1BestariNet.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, projek itu yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025, bertujuan memudahkan pelajar di sekolah terlibat mendapat akses internet berkelajuan tinggi.

Menurut beliau, menerusinya, pihak sekolah berpeluang menggunakan kemudahan capaian Internet YES 4G, penggunaan aplikasi Frog VLE dan penggunaan teknologi cloud computing yang merupakan yang pertama di dunia.

''Setakat ini hampir kesemua sekolah di negeri ini termasuk melibatkan perkampungan Orang Asli telah dilengkapi sistem 1BestariNet. Kalau adapun yang belum cuma beberapa sekolah rendah di pedalaman.

''Sistem ini secara tidak langsung telah memberi manfaat kepada 41,000 guru, 420,000 murid dan kira-kira 688,000 ibu bapa di seluruh negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Profesionalisme 1BestariNet Pengetua dan Guru Besar Sekolah-sekolah Negeri Perak di sini hari ini.

Hari Profesionalisme yang diadakan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) itu merupakan kali keenam diadakan setelah di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang dan Terengganu.

Majlis tersebut yang bertujuan memberi penerangan khusus berhubung projek 1BestariNet itu turut dihadiri para pengetua serta guru-guru besar dari hampir semua sekolah di negeri ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif YTL Corporation, Datuk Yeoh Soo Keng dan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Muhamat Roli Hassan.

Tambah Zambry, satu manfaat yang sangat penting dan ketara adalah keupayaan 1BestariNet untuk memberikan akses yang sama rata kepada pendidikan yang berkualiti dan bertaraf global kepada semua sekolah-sekolah termasuk di luar bandar.

''Kita tidak boleh mengabaikan teknologi atau penggunaan internet dalam kehidupan seharian begitu juga dalam pendidikan. Untuk itu, kita perlu mengenal pasti bagaimana untuk memanfaatkan teknologi ini bagi membangunkan pendidikan di negara kita secara amnya dan di negeri Perak khususnya.

''Justeru, saya amat menghargai usaha kementerian dalam melaksanakan projek 1BestariNet. Projek ini memberikan ruang dan potensi yang sama kepada semua anak-anak kita tidak kira latar belakang mereka," katanya.

Dalam masa sama, Zambry turut menyeru supaya pengetua dan guru besar memanfaatkan sebaiknya teknologi itu, sekali gus dapat membantu membangunkan taraf pendidikan di negeri ini.

Masa untuk UMNO kembali bersatu - Zambry

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

IPOH 9 Nov. - Semua ketua ketiga-tiga sayap UMNO bahagian di negeri ini diminta kembali menyatupadukan ahli-ahli di tempat masing-masing dan mula menggerakkan aktiviti parti selepas pemilihan bulan lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah tersebut penting bagi memberikan kekuatan kepada parti supaya terus berada di atas landasan untuk berjuang dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini.

"Saya harap mereka akan terus menyumbang dan meningkatkan usaha-usaha untuk memberikan perkhidmatan untuk memenangi hati rakyat dan jangan kita ketinggalan dari sudut aktiviti parti.

"Mereka juga perlu bekerjasama antara mereka dan mewujudkan hubungan yang baik di peringkat baik terutamanya dengan ketua bahagian. Kita seperti sebuah keluarga dan sebagai sayap, mereka mempunyai ketua sendiri iaitu ketua bahagian," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan ringkas dengan semua Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bahagian di negeri ini di Bangunan UMNO Perak di sini semalam.

Pertemuan tersebut merupakan sesi suai kenal bagi Zambry mengenali ketua-ketua ketiga-tiga sayap UMNO dari 24 bahagian di negeri ini yang sebahagian besarnya adalah kepimpinan baharu.

Menurut Zambry, dalam pemilihan lalu, sebanyak 13 daripada 24 ketua Wanita UMNO bahagian di negeri ini terdiri daripada kepimpinan baharu.

"Pemuda pula mempunyai sebanyak 17 ketua baharu manakala Puteri 16 ketua baharu. Ini bermakna, keseluruhannya sebahagian besar kepimpinan ketiga-tiga sayap ini adalah kepimpinan baharu.

"Saya yakin mereka telah tunjukkan dan memberikan komitmen yang tinggi dan sumbangan kepada perjuangan parti," katanya.

YBU henti mohon pinjaman secara online

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

SUNGAI SIPUT 9 Nov. - Yayasan Bina Upaya (YBU) Perak telah menghentikan permohonan bantuan pinjaman makro kredit yang dibuat secara online sejak dua bulan setelah mengesan ada permohonan yang memberikan maklumat peribadi tidak betul.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Sofian menegaskan, pihaknya berjaya mengesan beberapa kes sedemikian yang bertujuan untuk memudahkan pinjaman mereka diluluskan.

"Penipuan maklumat mudah dilakukan kerana menerusi permohonan secara online, pemohon cuma perlu mengisi borang yang disediakan di dalam sistem dan kemudiannya dihantar tanpa perlu pengesahan daripada pihak berkenaan.

"Memang kita berjaya mengesan beberapa kes maklumat peribadi yang disertakan oleh pemohon, tidak benar," katanya selepas program Khidmat Turun Padang Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang di Dewan Terbuka Felda Lasah dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Zolkafly Harun.

Ismail menjelaskan, di bawah skim pinjaman makro kredit, YBU menyediakan pinjaman dari RM20,000 hingga RM60,000 untuk membantu pengusaha atau peniaga kecil meningkatkan perniagaan mereka.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima permohonan secara online, pegawai YBU akan menemui pemohon untuk membuat penilaian lanjut.

"Namun, maklumat yang diberikan oleh pemohon menerusi online tidak sama dengan apa yang kita lihat dan ini mengelirukan, jadi YBU membuat keputusan menghentikan permohonan seumpama itu.

"Jika permohonan dibuat menerusi ketua kampung atau wakil rakyat, mereka boleh membuat tapisan dan mengesahkan seseorang pemohon itu layak atau tidak untuk mendapat pinjaman," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, YBU sedang dalam usaha menarik pihak swasta untuk memberikan sumbangan bagi meneruskan program membantu rakyat.

"Buat masa ini, YBU bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri dan memerlukan sumber kewangan tambahan untuk memberikan khidmat lebih menyeluruh," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved