Ahad, 10 November 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Gangguan air di Rembau, Tampin 12 November

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

SEREMBAN 9 Nov. - Penduduk di sekitar kawasan Rembau dan Tampin bakal mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Gemencheh, Tampin pada 12 November ini.

Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Zulkifli Ibrahim menjelaskan, pihak Sains akan menjalankan penutupan sementara bekalan air yang akan mengakibatkan gangguan di sekitar kawasan terbabit bermula 8 pagi (12 November) sehingga 8 pagi keesokan (13 November).

Katanya, di kawasan Rembau gangguan air melibatkan seluruh kawasan Kendong, Kota, Gadong, Legung Ulu, Legung Hilir, Bongek, Chengkau, Nerasau, Penajis, Miku, Selemak, Astana Raja, Air Melintang, Kampung Kuala Dadih, Semerbok, Kampung Durian Daun, Kampung Pulau Besar, Kampung Pulau Bukit, Kampung Pulau Mampat.

Ia juga melibatkan Kampung Fajar Harapan, Kampung Batang Nyamor, Kampung Chenong Ulu, Kampung Lada, Mukim Tanjung Kerling, Batu Hampar, Taman Seri Rembau Fasa 1,2,3 dan kawasan tanah lot, Kampung Chuai, Pekan Rembau, Sena Ulu dan Hilir, Kampung Rendah Kayu Ara, seluruh Kampung Senama.

Desa Permai Mampong, Kampung Mampong, Petronas Rembau, Shell Rembau, Pejabat Daerah Rembau, Majlis Daerah Rembau, Kampung Mulia, Kampung Seberang Sawah, Kampung Perigi Jernih, Kampung Tebing Tinggi, Kediaman Rasmi Undang Rembau dan Kuarters Pejabat Rembau akan turut terjejas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, di Tampin pula, kawasan terlibat ialah Kampung Keru, Taman Repah Baru, Kampung Repah, Kampung Seri Repah, Kawasan Industri Repah, Taman Gunung Mas, Kawasan Industri Gunung Mas, Taman Woon, Taman Bahagia, Taman Tampin, Kampung Baru.

Turut terlibat Hospital Baharu Tampin, Kampung Tampin Tengah, Kampung Dusun, Taman Tampin Jaya, Rumah Rakyat Repah, Kampung Kolam Air, Taman Bukit Tampin, Taman Sri Berlian dan Taman Rasa Sayang.

Di Gemencheh pula katanya, kawasan terlibat ialah Taman Orkid, Taman Gembira, Taman Gemencheh Baru, Ladang Regent, Taman Regent, Taman Muhibbah, Kawasan Batang Melaka dan Kampung Punggor.

Beliau menjelaskan, bekalan air akan disambung semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat.

Bagaimanapun, katanya, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami gangguan lebih panjang memandangkan pemulihan bekalan air sepenuhnya akan mengambil masa.

Beliau meminta pengguna yang memerlukan perkhidmatan pada hari berkenaan supaya menghubungi talian bebas tol 1-800-88-6982.

Warga Bangladesh maut lori dipandu terbabas

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

MAYAT Md. Taizuddin Khan (kiri) di tempat kejadian setelah lori yang dipandu terlibat dalam kemalangan di kilometer 30 Jalan Bahau-Kemayan, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

JEMPOL 9 Nov. - Seorang pemandu lori warga Bangladesh maut manakala kelindannya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di simpang Lui Selatan malam tadi.

Kemalangan pukul 8.45 malam di Kilometer 30, Jalan Bahau-Kemayan itu menyebabkan Md. Taizuddin Khan, 41, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, kelindan lori itu merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Jempol.

Katanya, kemalangan berlaku apabila lori dipandu mangsa dari arah Kemayan dipercayai cuba memotong sebuah lori.

"Selepas memotong kenderaan itu mangsa cuba masuk ke laluan asal namun bahagian belakang kenderaannya bergesel dengan lori dipotongnya lalu terbabas ke bahu jalan kiri dan hilang kawalan.

"Lori itu kemudian terbalik dan masuk ke laluan bertentangan. Ketika itu muncul sebuah lori lain dan bertembung dengan lori mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tukiman berkata, mangsa yang cedera parah terpaksa dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bandar Seri Jempol.

Katanya, mangsa yang telah berkahwin dengan wanita tempatan serta mempunyai anak itu baru mengambil bekalan barang makanan mentah untuk jualan.

"Berikutan keadaan lori dipandu mangsa yang terbalik, bekalan barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran bertaburan di atas jalan.

"Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata beliau.

Pelajar perubatan ditemui mati

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

KUALA PILAH 9 Nov. - Seorang pelajar lelaki tahun tiga jurusan perubatan di sebuah universiti awam ditemui mati dalam bilik ibu bapanya dengan kesan jerutan di leher di Taman Bukit Pilah Perdana di sini kelmarin.

Mayat Loo Alvern, 21, ditemui ibunya yang berusia lingkungan 50-an dalam keadaan tertiarap serta kepala berselubung plastik putih dalam bilik tidur kira-kira pukul 12 tengah hari.

Pelajar terbabit yang merupakan anak sulung daripada dua beradik sebelum itu gagal dihubungi oleh keluarganya.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azmi Abdul Rahim berkata, siasatan awal polis menemukan tali pinggang yang telah terputus dan diikat pada jeriji tingkap bilik itu.

Tali pinggang itu dipercayai terputus menyebabkan mangsa tersembam ke lantai sehingga sebahagian daripada mukanya cedera.

Tiada kecederaan lain atau kesan pergelutan ditemukan malah semua pintu serta tingkap berkunci sebaik sahaja ibunya tiba di rumah," katanya ketika dihubungi hari ini

Azmi menambah, berdasarkan siasatan lanjut polis mendapati keadaan dalam rumah keluarga itu tidak berselerak dan tiada barang-barang yang hilang dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mingguan Malaysia difahamkan, Alvern pulang ke rumah keluarganya sempena cuti semester sejak Ahad lalu. Kejadian ini dipercayai mempunyai kaitan dengan permohonan Alvern untuk menukar jurusan pengajian bidang perubatan kepada bidang lain sejak pertengahan Ogos lalu.

Mayat pelajar terbabit dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved