Ahad, 10 November 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Elemen budaya Shooshie

Posted: 10 Nov 2013 05:06 AM PST

Oleh RASDAN AHMAD
rasdan_utusan@yahoo.com

ANTARA proses yang dilakukan Shooshie dalam karyanya berjudul Sulaiman was a rubber tapper.

PELUKIS seni kontemporari tempatan yang sedang meningkat naik, Susilawati Sulaiman atau dikenali Shooshie telah diundang khas oleh galeri terkemuka dari Jepun, Tomio Koyama Gallery untuk mengadakan pameran solo di salah satu cawangan galeri tersebut di Singapura.

Penghasilan karya yang lebih bersifat peribadi dan terdapat unsur instalasi (binaan) dalam lukisan ini telah menarik minat Tomio Koyama Gallery untuk mengetengah dan mempertontonkan karya Shooshie kepada pencinta seni kontemporari di republik tersebut bermula 23 Oktober sehingga 8 Disember ini.

Pameran berjudul Sulaiman itu Melayu oleh pelukis kelahiran Johor ini merupakan langkah pertamanya untuk terus menempa nama di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, hasil kerja Shooshie pernah terpilih untuk menyertai pameran berkumpulan di luar negara antaranya Art Stage Singapore Biennale (2011) dan The Asia-Pacific Triennial (2009-2010).

Kebanyakan hasil karya Shooshie adalah lukisan yang kecil yang penuh dengan aura dan tenaga sendiri. Berbeza dengan hasil karya instalasi yang kadang kala boleh memenuhi satu bilik pameran yang diterjemah melalui pengalaman artis itu sendiri.

Untuk persembahan solo pertamanya, Shooshie telah menghasilkan karya seni yang memperingati arwah bapanya serta menyelitkan budaya Asia Tenggara dan Melayu melalui seni lukisan kolaj dan laman bertema.

Untuk pameran ini, Shooshie telah menggabungkan sisa tanah dari kubur bapanya dan dicampurkan dengan sisa abu daripada hasil seni beliau yang dikenali sebagai Rumah yang telah dibakar.

Melalui karya itu, Shooshie cuba menerokai hubungan antara manusia dan alam semula jadi sambil menjalankan ritual pemisahan daripada bapanya.

Rumah

Beliau menghasilkan hasil kerja dengan menggambarkan pasca produksi hasil Rumah kepada sejenis pasca proses yang menyelubungi nilai subjek dan kandungan.

Khas untuk pameran solonya, Shooshie turut membawakan instalasi Sulaiman bought a home, replika rumah pertama yang dibeli oleh bapanya. Dinding replika rumah tersebut diukirkan dengan Surah Al-Fatihah serta coretan memorinya ketika kecil.

Shooshie turut membawakan karya Sulaiman was a rubber tapper, kepingan susu getah yang dicetak merupai wajah bapanya dengan susu getah yang diperoleh daripada pokok-pokok getah di rumah keluarganya di Segamat, Johor.

Karya-karya lain yang turut dipersembahkan dalam pameran tersebut termasuk kajian Shooshie pada mata wang kertas Malaysia dari masa Penjajahan Jepun (1941 - 1945) dan kolaj sampul surat yang dilapiskan dengan imej orang Melayu pada masa lalu.

Menyelidiki keperibadian pengkarya ini, beliau yang dilahirkan di Muar mempunyai keturunan Melayu dan Cina. Shooshie pernah melahirkan sebuah karya berjudul Siapa? (emak saya Cina, bapak saya Melayu).

Dalam karya tersebut, beliau menggabungkan elemen Cina dan Melayu untuk mencari identitinya sendiri. Shooshie selalu menggunakan memori, pengalaman dan reaksi sendiri dalam semua hasil karyanya.

Selepas mendapat Ijazah Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1996, Shooshie pernah menerima Anugerah Bakat Muda Sezaman daripada Balai Seni Visual Negara pada tahun berikutnya.

Makan stimbot sampai kenyang

Posted: 10 Nov 2013 05:06 AM PST

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my

PELANGGAN juga boleh cuba sendiri menyediakan air batu campur.

SUHU sejuk dalam musim hujan ini adalah alasan terbaik untuk menikmati stimbot bersama rakan atau keluarga. Rahman Palace Buffet Steamboat & Grill yang menyediakan sehingga 120 jenis hidangan stimbot dan menu lain, sedia untuk dijengah.

Pelanggan diberi pilihan sama ada mahu menikmati stimbot dengan mencelur bahan mentah ke dalam sup ayam atau tomyam, ataupun jadi chef sendiri dengan menggunakan gril yang disediakan.

Rekaan restoran berkonsep terbuka amat sesuai untuk hidangan sedemikian. Tidaklah nanti rambut dan baju berbau asap.

Menurut pengusaha restoran, Mustaqim Abd. Rahman, konsep stimbot dengan gril ini memberi peluang kepada pelanggan menikmati stimbot dengan cara berbeza pada harga yang berpatutan.

"Kebanyakan restoran stimbot tidak mempunyai kuali gril, adapun mungkin agak mahal kerana konsepnya dua dalam satu.

"Untuk gril, kami menyediakan pilihan daging lembu, ayam dan kambing yang telah diperap dengan rempah dan lada hitam untuk memberikan rasa lebih menyelerakan.

"Mentega disediakan untuk pelanggan menggril bahan-bahan mentah seperti daging dan ayam supaya ia lebih sedap dan tidak hangit," ujarnya.

Tegas Mustaqim, restoran keluarganya itu sentiasa memastikan bebola dan daging adalah daripada sumber halal seseperti Hikmah Food Specialities Sdn. Bhd. dan CB Frozen Food Sdn. Bhd. selain makanan laut dan daging yang dibeli dari pasar borong.

Sebanyak enam jenis sos disediakan iaitu sos yong tau fu, lada hitam, cili, tomato, kicap cili api dan kuah asam.

Terletak berdekatan Shell berkembar Taman Melati, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), pelanggan pasti berpuas hati kerana bukan sahaja meja bufet sentiasa dipastikan penuh bahkan tiada had masa untuk mereka menikmati hidangan seperti di kebanyakan restoran stimbot lain.

Lebih menguntungkan pelanggan kerana bukan saja dapat menikmati aneka stimbot, malah pelbagai menu lain seperti laksa, nasi lemak, nasi goreng, mi goreng, nasi putih dengan pelbagai jenis lauk, khas untuk mereka yang kurang menggemari stimbot.

Jika datang dalam kumpulan besar, anda boleh memesan terlebih dahulu makanan lain seperti mi kari atau nasi beriani.

Pelbagai pilihan ais krim turut disediakan sebagai pemanis mulut selain terdapat mesin kisar ais batu bagi memberi peluang kepada pelanggan mencuba sendiri menghasilkan air batu campur.

Hanya RM23 untuk dewasa, RM10 untuk kanak-kanak 6 hingga 12 tahun dan RM15 bagi waga emas berusia 60 tahun ke atas, pelanggan dapat menikmati semua itu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved